Al Allamah Wali Allah Syeikh Abdul Jalil al Mahdani merupakan Mufti Pertama Kedah ( Meninggal Dunia 1782 ).Wali Allah ini merupakan datuk kepada pengarang termasyhur alam Melayu iaitu Syeikh Abdul Samad al Falembani ( Pengarang Kitab Hidayatus Salikin & Sairus Salikin ).
Biografi Ringkas
Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Jalil Bin Syeikh Abdul Wahhab Bin Syeikh Ahmad al-Mahdani dan beliau berasal dari San’a, Yaman. Nama-nama lain untuk beliau ialah Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman.Syeikh Abdul Jalil al Mahdani belayar dari Sana’ah, Yaman ke Palembang, Indonesia sekitar penghujung abad ke 17 .
Setelah enam bulan berada di Palembang, beliau berangkat ke Tanah Jawa bersama muridnya Tengku Muhammad Jiwa Bin Sultan Abdullah – Anak Sultan Kedah Ke 21.
Beliau menyebar Islam di Pulau Jawa tidak lama, lalu berangkat pulang ke India. Muridnya yang berasal dari Kedah itu juga mengikut beliau ke India. Setelah beberapa lama di India, Tengku Muhammad Jiwa mengajak Syeikh Abdul Jalil al Mahdani ke Kedah.
Lalu mereka pun belayar ke Kedah pada tahun 1710 bersama dengan seorang lagi anak murid Syeikh Abdul Jalil bernama Hapisap ( Kemudiannya menjadi Qadi Kedah ) Setelah Tengku Muhammad Jiwa dilantik menjadi Sultan Kedah menggantikan saudaranya Sultan Ahmad Tajuddin Bin Sultan Abdullah ( Sultan Ke 22 ) beliau telah melantik gurunya Syeikh Abdul Jalil sebagai Mufti Kerajaan Kedah. Setelah ditabalkan menjadi Sultan Kedah.
Dalam Pandangan yang lain ,Sultan Muhammad Jiwa melantik tuan guru yang sangat dikasihinya itu iaitu Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani menjadi mufti Negeri Kedah sekaligus penasihat utama buat diri baginda. Manakala Hafiz Sab dilantik menjadi kadi dengan gelaran Dato’ Maharaja Qadi. Setelah ditabalkan menjadi Sultan, baginda tetap tidak boleh berpisah dengan Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani.
Menurut kitab Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah pula mencatatkan Syeikh Abdul Samad bin Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani. Keturunan Syeikh Abdul Samad berasal dari negeri Yaman.
Dicatatkan bahawa ayah Syeikh Abdul Samad, iaitu Syeikh Abdul Jalil telah datang dari Yaman menuju ke Nusantara untuk berdakwah.
Syeikh Abdul Jalil telah ditemukan dengan putera Sultan Kedah, Tengku Muhammad Jiwa (Sultan Muhammad Jiwa bin Sultan Abdullah Muazzam Shah, Sultan Kedah 1710 – 1778). Tengku Muhammad Jiwa telah menjadikan Syeikh Abdul Jalil sebagai guru dan rujukan utama baginda.
Keturunannya :
Setelah beberapa bulan perkahwinan Tuan Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Wan Zainab, tiba-tiba datang seorang muridnya dari Palembang bernama Raden Siran. Muridnya itu mengajak gurunya ziarah ke Palembang kerana murid-muridnya di Palembang sangat rindu kepada beliau.
Di Palembang, Raden Siran berusaha mencarikan isteri untuk gurunya itu, maka terjadilah perkahwinan antara Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Raden Ranti/Rantai.
Hasil perkahwinan Raden Ranti dengan Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani itu, mereka memperoleh seorang anak, Abdus Shamad. Dialah yang dikenal sebagai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani seorang ulama sufi Asia Tenggara yang terkenal dengan karyanya yang terkemuka, Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin yang biografinya akan diperkenalkan kemudian.
Menerusi perkahwinan Syeikh Abdul Jalil dengan Wan Zainab di Kedah pula, beliau mendapat dua orang anak iaitu Wan Abdul Qadir yang menjadi Mufti Kerajaan Kedah dan Wan Abdullah yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa di Kedah.
Ada pun Syeikh Abdus Shamad Palembang itu, maklumat keturunannya hanya diketahui seorang anaknya bernama Fatimah. Mengenai kedua-dua anaknya yang di Kedah, keturunan selanjutnya belum dapat dikesan.
Jasanya pada alam Melayu amat besar khususnya dalam bidang penulisan. Beliau diriwayatkan gugur syahid di Patani menentang kerajaan Siam pada 1828 @ 1838. Riwayat kedua mengatakan beliau meninggal dunia di Mekah.
Kewafatan beliau
Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah. Penulis pernah sampai ke makam itu membuat penyelidikan dalam tahun 1992, memperoleh catatan bahawa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani meninggal dunia tahun 1196 H/1782 M. Kawasan makam sangat luas, sekali-sekali ada orang datang berziarah kerana membayar nazar.
Penulis diberitahu oleh salah seorang penunggu makam bahawa orang-orang India datang ke tempat itu setahun sekali, secara beramai-ramai kerana membuat kenduri dan menyampaikan nazar. Riwayat kedua mengatakan, beliau dimakamkan di Makam Diraja Langgar . Di Tanjung Pauh itu ialah makam suluknya sahaja. Wallahualam.
Info :
Siapa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani
– Ayah kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani
– Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.
– Berasal dari San’a, Yemen.
– Nama-nama lainnya ialah; Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman.
– Berkahwin dengan Wan Zainab (Kedah) dan Raden Ranti/Rantai (Palembang).
– Meninggal dunia pada 1196 H/1782 M.
– Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah.
* Ringkasan Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.
Sumber :
- malaycivilization.com.my/omeka/items/show/138180
- Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah
- archive.org/stream/BULETINVol3/Syeikh%20Abdus%20Samad%20Al-Palembani_djvu.txt
- studentsrepo.um.edu.my/5200/3/BAB_2.pdf
Juga Sertai Whatsapp Sejarah Nusantara
Anda memiliki tulisan mengenai Melayu yang ingin dikongsikan? Hantar di sini.
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!