“Pemimpin-pemimpin Islam ataupun bukan Islam di negara Malaysia ini sebenarnya tidak begitu menghayati prinsip Rukun Negara. Prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan itu sebenarnya percaya kepada sumpah Wallahi, Wabillahi, Watalallahi,” ujar Profesor Perlembagaan dan Kenegaraan, UNISZA, Terengganu, Dato’ Prof Haji Mahamad Naser bin Disa.
Menurutnya, perkara itu bukan bermaksud “percaya kepada mana-mana tuhan” dalam konteks bernegara. Ini kerana negara ini hanya menganut agama Islam, maka tuhan negara ini semestinya Allah! Inilah asas kepada kewajipan melafazkan Sumpah Rabbani dan Bai’ah Hifzuddeen oleh Baginda YDPA menurut Perkara 3(1) Perlembagaan.
Jelasnya, perkara lain yang dianggap sebagai tuhan oleh rakyat negara ini bukan tuhan negara ini. Mengiktiraf Jesus sebagai tuhan atau anak tuhan tidak memartabatkannya sebagai tuhan negara ini.
Tambah beliau, anggapan kononnya setiap rakyat berhak menganggap tuhannya sebagai tuhan negara ini adalah satu kesilapan besar. Itu tak betul kerana negara ini sudah pun mempunyai Tuhannya sendiri iaitu Allah SWT.
Malah, menjadi kewajipan kepada kerajaan untuk memperkukuh prinsip ketuhanan Allah SWT untuk negara ini. Bukan menyengutukanNya dengan berbagai bentuk pemikiran Pluralisme atau Liberalisme.
Jelas beliau lagi, seluruh rakyat sepatutnya menerima dan faham bahawa prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan bermaksud bahwa tuhan negara ini adalah Allah kerana Yang di-Pertuan Agong diwajibkan bersumpah dengan lafaz Wallahi, Wabillahi, Watalallahi sebagaimana yang terkandung ataupun diwajibkan di bawah Perkara 37 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru pemimpin bukan Islam tidak boleh bersumpah dengan mana-mana tuhan yang mereka anggap sebagai tuhan mereka. Itu tidak boleh. Dalam konteks bernegara ini sesiapa pun kena akur dan tunduk kepada tuhan Allah dan itu yang terkandung di dalam perlembagaan,”tegasnya.
Ujar beliau, tetapi sejak merdeka lagi hak kemanusiaan dan kebebasan itu dilebih-lebihkan hingga menggugat prinsip-prinsip utama negara.
Oleh kerana itu, pemimpin politik sama ada yang beragama Islam apatah lagi penganut-penganut agama lain tidak mempeduli atau menghormati Allah sebagai tuhan negara ini. Inilah dia permasalahan dan cabaran TERBESAR kepada negara kita TERUTAMANYA kepada umat Islam.
Begitu juga dengan prinsip kedua, iaitu Kesetiaan Kepada Raja, Rakyat di negara ini kebanyakkannya masih lagi ragu-ragu akan Ketuanan Raja-Raja Melayu yang sebenarnya Raja-Raja Melayu ini dari zaman dahulu kala, daripada zaman Melaka lagi berjuang mempertahankan keimanan kepada Allah SWT sebagai teras kesultanan Melayu ataupun teras Tanah Melayu, Negeri-Negeri Melayu.
Beliau berkata, inilah prinsip TERTINGGI bagi negara ini, iaitu prinsip utama Keimanan. Sebaliknya, hari ini apabila berkembangnya pengaruh pemikiran Islamophobia, ramai yang menganut pemikiran Islamophobia ini. “Bukankah ini satu bentuk Penderhakaan yang jelas dan nyata?”soalnya.
Menurut Dato’ Prof Haji Mahamad Naser, Islamophobia ini sebenarnya menentang dan menghina Islam misalnya, apa yang berlaku di Sweden itu sebenarnya adalah satu perkara yang pada mereka ianya menjadi satu keseronokan, kebanggaan dan kemegahan kepada mereka dan sebagai bukti Islamophobia mereka,”katanya.
Jadi, oleh kerana mereka tidak memahami dan menghayati unsur-unsur elemen Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara. Maka, mereka langsung tidak sensitif atau tidak merasa apa-apa sangat jika tercetus apa-apa yang berkaitan dengan Islam ini dihina, dicerca dan dikutuk, diketepikan, disisihkan seperti apa yang berlaku sekarang inilah.
“Kita mempertahankan negara kita daripada penjajahan. Agenda penjajahan, agenda 3G penjajahan itu gagal kerana apa? kerana kekuatan kita mempertahankan keimanan jadi kalau lemah keimanan kita maka makin mudahlah kita dijajah kembali,”tegasnya.
Agenda SEPLIS Jajah Pemikiran, Melonggarkan Keimanan
Jadi, saya cukup ragu-ragu dengan agenda SEPLIS ini kerana apa? Kerana SEPLIS bermaksud SEKULARISM, PLURALISM dan LIBERALISM ia melonggarkan keimanan kita dan akan memudahkan proses penjajahan pemikiran itu berterusan berlaku. Islamophobia itu bakal berlaku dengan mudah sebaliknya prinsip Hak Asasi Manusia akan disanjung tinggi, Hak Kebebasan Manusia dari ketuhanan akan disanjung tinggi.
Maka, sebab itulah saya agak ragu-ragu dengan mana-mana dasar yang memberi penekanan secara MELAMPAU kepada KEBEBASAN kemanusiaan dan juga apa yang dikatakan sebagai kesejagatan, ataupun universalism.
Memahami Lima Prinsip Rukun Negara
Justeru, kita perlu memahami lima prinsip Rukun Negara ini berdasarkan huraian yang saya namakan sebagai 20 TERAS PATRIOTISME NEGARA iaitu huraian kepada 5 prinsip Rukun Negara. Ia berteraskan kepada perlembagaan dan undang-undang yang ada di dalam negara kita.
Kalau kita gagal memahami dan menghayati 5 prinsip Rukun Negara ini berteraskan kepada Undang-Undang Perlembagaan Negara kita maka kita akan jadi liberal dan kita akan menerima prinsip-prinsip yang dikatakan kononnya prinsip sejagat.
Prinsip-prinsip yang khusus, contohnya seperti beriman kepada Allah SWT kita tak mahu terima. Kerana apa? Sedangkan, prinsip keimanan ini yang berjaya mempertahankan keutuhan, Kedaulatan Tanah Melayu, yakni negara kita daripada dulu kini dan selamanya dan kekuatan keimanan ini juga telah kita warisi daripada dahulu kala lagi.
Justeru, kita perlu berhati-hati, kalau kita gagal memahami perlembagaan ini contohnya kita gagal memahami prinsip Keluhuran Perlembagaan yang saya huraikan sebagai;
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
Amati bersama Asas Kedaulatan;
Mantap kefahaman teguh keluhuran;
Agama Dijunjung Hakis ancaman;
Lengkap Kedaulatan Negara dan Watan.
“Perlu kita memahami bahawa agama dalam perlembagaan ini adalah sesuatu yang dijunjung dan disanjung tinggi jadi kalau kita nak melonggar-longgarkan prinsip keagamaan Islam dan kita nak memakai prinsip kesejagatan kebebasan mutlak maka tidak lama lagi negara kita pasti akan dijajah kembali.”
“Terbukalah laluan penyempurnaan agenda penjajahan 3G (gold, glory and gospel) yang dibawa oleh imperialis Barat dan agendanya digalas oleh kelompok masyarakat yang mereka tinggalkan sebagai agen penerus agenda 3G itu,”jelas beliau mengakhiri kenyataan.