Artikel PRDMRaja-RajaSejarah

Sultan Bertaraf Aulia, Penyumbang Kedaulatan Islam

Menurut Kamus Dewan dan Pustaka, aulia adalah kata jamak bagi wali. Ia bermaksud orang yang dipilih Allah SWT untuk mendapatkan pertolongan-Nya dengan dirapatkan kehadiran kepada-Nya. Dalam konteks artikel ini, Sultan juga bermaksud aulia kerana tugasnya menjadi pelindung, pemelihara dan pemerintah.

Ketika zaman dahulu, peranan Sultan sebagai aulia adalah untuk memastikan rakyatnya memahami ilmu agama Islam sepenuhnya. Caranya, Sultan mengadakan kelas-kelas agama dan mengaji pada setiap hari Jumaat. Pintu istana dibuka luas supaya rakyat datang masuk dan belajar agama.

Sultan juga membentuk rakyat dari segi pakaian. Sultan Melaka telah memperkenalkan baju Melayu buat lelaki. 3 poket (1 di atas, 2 di bawah) melambangkan Islam, Iman dan Ihsan. Baju Melayu juga mempunyai 5 butang baju memberi maksud pada 5 rukun Islam. Butang atas sekali adalah simbolik pada mengucap 2 kalimah syahadah (rukun Islam pertama) kerana ia paling dekat dengan tenggorok.

Dengan ini identiti Melayu dan Islam takkan dapat dipisahkan. Oleh sebab itu setiap hari Jumaat rakyat harus mengenakan baju Melayu dan juga songkok, mengikut titah Sultan.

Selain itu, seorang pemerintah juga harus turun padang sendiri untuk menunjukkan contoh kepada rakyat. Mereka sendiri harus mengamalkan ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ dan bukannya menunggu bawahan mereka untuk melaksanakannya.

Kisah yang selalu didengari oleh kita adalah kisah Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Melaka yang ke-7. Baginda dan Hang Isap menyamar sebagai rakyat biasa pada waktu malam dan meronda kota Melaka. Sultan Alauddin Riayat Shah mendapat inspirasi dari Saidina Umar al-Khattab RA di mana Saidina Umar juga pernah menyamar sebagai rakyat biasa di waktu malam untuk meronda kota pemerintahannya.

Malangnya apabila datangnya penjajah, terdapat anasir jahat untuk menjauhkan Sultan dan rakyat dengan Islam. Rakyat semakin sukar untuk bertemu dengan Sultan. Sengaja diletakkan pelbagai protokol yang kadangkala tidak masuk akal supaya Sultan tidak dapat bersemuka dengan rakyat jelata. Peranan Sultan sebagai aulia menjadi terbatas kerana itu. Akibatnya terdapat rakyat yang sudah mula lupa dengan Islam sehinggakan ada lupa bagaimana cara untuk berwuduk dan salah bacaan Al-Fatihah mereka.

Bukan saja dari segi agama, malahan kesukaran untuk Sultan bertemu rakyat telah menyebabkan penjajah berjaya menimbulkan kucar-kacir dalam negeri seperti membuat khabar angin tentang pemberontakan rakyat, fitnah pada para ulama dan juga Sultan serta maklumat yang dipalsukan oleh orang tengah.

Namun, Sultan Zainal Abidin III Muazzam Shah ibni Almarhum Sultan Muazzam Shah II, Sultan Terengganu yang ke – 11 berjaya mematahkan ‘jarum’ penjajah yang cuba memporak-perandakan agama Islam serta budaya Melayu dalam negeri itu.

Oleh yang demikian, Sultan sebagai aulia iaitu orang yang dipilih oleh Allah SWT mempunyai tanggungjawab sangat besar. Peranan Sultan penting dalam menjaga kedaulatan Islam serta memelihara agama dalam jiwa rakyat.

Baca juga:

>> Negara Malaysia berikrar memelihara Islam sepanjang masa

Untuk tontonan video penuh:

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker