Orang Melayu suatu ketika dahulu sangat dipandang tinggi oleh orang luar biar pun mereka cuba untuk menjelajah Tanah Melayu.
Misalnya menurut catatan Duarte Barbosa, dia menyifatkan orang Melayu sebagai satu bangsa bersih serta berketurunan baik.
“Orang Melayu sangat gemar akan muzik, memiliki keperibadian yang sangat penyayang dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.
“Selain dikenali sebagai satu bangsa yang menjulang agama Islam, orang Melayu juga mempunyai bahasa yang khas,” catat Barbosa.
Catatan Barbosa itu dibacakan Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh.

Wan Hashim yang juga Mantan Pengarah Institut Alam & Tamadun Melayu ATMA membacakannya semasa menjadi panel Perbincangan Rakyat Demi Melayu dengan topik ‘Siapa Itu Melayu?’.
Kata Wan Hashim selain Barbosa, pada abad ke-18 terdapat seorang warga Belanda, Vletjine memiliki rasa kagum terhadap bangsa Melayu.
“Valentine melihat orang Melayu sangat baik, sangat cerdik, sangat pintar dan manusia yang sangat bersopan-santun di seluruh Asia.
“Lebih pembersih dalam cara hidupnya dan pada umumnya begitu rupawan sehingga tidak ada yang boleh dibandingkan dengan mereka,” baca Wan Hashim.
Selain itu, Valentine turut mencatat orang Melayu mempunyai kebiasaan dan keghairahan mempelajari bahasa mereka iaitu Bahasa Melayu.
“Dalam masa sama, orang-orang Melayu juga gemar berusaha untuk perluaskan pengetahuan selain gemar mempelajari bahasa Arab,” tulis Vletjine.