Filem Spilt Gravy on Rice arahan Datuk Zahim Al-Bakri dijulang sebagai Filem Terbaik pada kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) yang berlangsung penuh gemilang di Encore, baru-baru ini.
Spilt Gravy on Rice mengetepikan pesaing lain, termasuk Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan untuk kategori tersebut, sekali gus membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM500,000 berserta trofi.
Filem itu turut unggul dengan tiga trofi lain menerusi kemenangan Zahim dalam kategori Pengarah Harapan Terbaik, Juliana Ibrahim (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik) dan Lakon Layar Terbaik.
Spilt Gravy on Rice turut menambah tiga trofi lagi apabila memenangi kategori Penyunting Terbaik, Rekaan Busana Terbaik dan Penataan Seni Terbaik.
Spilt Gravy On Rice Diangkat Sebagai Filem Kita, Citra Kita
Satu fakta yang terpaksa dipegang adalah ketika kali pertama filem ini dihantar kepada Lembaga Penapis Filem (LPF) pada tahun 2012, ia diklasifikasikan sebagai tidak sesuai untuk tayangan umum.
Selepas beberapa kali filem dengan judul asalnya iaitu Spilt Gravy on Rice ini diubahsuai dan dihantar semula mengikut garis panduan yang ditetapkan, maka akhirnya filem ini diluluskan untuk tayangan pada Mac 2020.
Namun demikian, disebabkan pandemik Covid-19 turut melanda Malaysia, filem ini terpaksa menunggu selama 2 tahun sebelum berjaya ditayangkan sebagai ‘filem kita, citra kita’.
Jika mengkaji filem ini secara keseluruhan, Spilt Gravy on Rice adalah sebuah tentang sebuah keluarga besar dan harapan seorang ayah diambang maut yang mahu bertemu dengan anak-anaknya untuk kali terakhir.
Tetapi yang kurang moleknya, dalam kalangan ramai anak-anak itu, salah seorang daripadanya ditampilkan menjalani kehidupan songsang yang hampir sama dengan kisah umat Nabi Luth AS iaitu bercinta sesama jantina.
Dalam erti kata lain, pengarah Spilt Gravy on Rice tanpa segan silu memartabatkan gaya hidup LGBTQ kononnya sebagai salah satu gaya hidup masyarakat moden yang berjaya dan ia diterima juri FFM32.
Bukan sahaja diterima juri FFM32, malah seluruh wartawan serta media tempatan beraliran arus perdana mengangkat filem Split Gravy on Rice yang majoritinya adalah pelakon Melayu sebagai filem terbaik.
Ditambah pula filem ini masih ditayangkan di Netflix, berduyun-duyunlah penggemar seni yang mahu menonton ‘filem kita, citra kita’ meluangkan masa sekitar 115 minit untuk melihat sendiri isi kandungannya.
Kelu Akal Fikirkan Ideologi Juri FFM32
Disebabkan filem ini mengangkat tajuk berbahasa Inggeris yang membawa maksud ‘ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi’, filem Split Gravy on Rice sebenarnya sangat bertentangan dengan norma rakyat Malaysia.
Paling merisaukan, para wartawan dan editor media arus perdana yang hadir ke acara FFM32 itu pun belum pernah menonton filem tersebut namun tampil membuat berita ‘sebagai filem terbaik’ secara membuta-tuli.
Kesannya, masyarakat yang tidak tahu, akan tahu.. yang tidak pernah terlepas, akan terlepas.. dan risau jika ia ditonton generasi genius yang boleh menyembunyikan kebatilan, lebih banyak kerosakan akan berlaku!