Isu Semasa

Sorok Barang Keperluan Perlu Didenda Maksimum Elak Kejadian Berulang

Isu sorok minyak masak ini bukanlah perkara baru pun di negara kita kerana setiap kali kesalahan dilakukan denda atau kompaun yang diterima mungkin belum cukup memberi pengajaran kepada pelaku untuk tidak lagi berani melakukan. Maka tak hairanlah jika kes yang sama sentiasa berulang saban tahun.

Terbaru, sebanyak 37,774 kilogram minyak masak berjaya dirampas pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Temerloh dalam operasi bersepadu bersama Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daerah ini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya dalam kenyataannya berkata, sewaktu pemeriksaan di sebuah premis pemborong barang-barang keperluan di Mentakab, mendapati pihak premis menyimpan barang kawalan iaitu minyak masak dalam kuantiti yang banyak serta melebihi had kuantiti yang dibenarkan dalam lesen.

Dalam operasi terbabit, pengurus syarikat berkenaan yang juga seorang lelaki ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kes disiasat di bawah Subperaturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Menurut beliau, akta tersebut mengkehendaki pemborong untuk menjual kepada pemborong atau peruncit ke semua kuantiti barang berjadual dan tidak boleh ada dalam milikannya atau kawalannya barang berjadual yang melebihi kuantiti yang dinyatakan dalam lesen.

Pihakn KPDN, dengan tegas memberi amaran kepada individu mahupun peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, menurut Abdul Razak Yahaya, bagi individu, jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta.

Apabila perkara yang melibatkan kepentingan awam, maka bukan sahaja tindakan tegas tetapi tindakan keras juga perlu diambil kepada mana-mana individu mahupun peniaga yang berani ingkar.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker