Sejarah Bangsa Melayu merakamkan bahawa orang lelaki Melayu bersongkok sebagai sebahagian daripada jati diri bangsa.
Hilangnya budaya bersongkok adalah hilangnya satu rupa Melayu pada diri seseorang.
Zaman sekarang kita melihat ramai orang-orang Melayu terutamanya anak-anak muda Melayu yang tidak lagi bersongkok semasa bersolat.
Jikalau ada pun, mungkin hanya pada waktu tertentu seperti ketika perayaan atau ketika memasuki masjid, namun itu pun semakin berkurangan.
Penulis merasakan sudah tiba masanya untuk pemakaian songkok dipopularkan semula di kalangan orang Melayu.
Kenapa dan apa istimewanya songkok ini?
Ikuti kupasan berkenaan songkok dan sejarahnya yang mempunyai kaitan rapat dengan tentera kerajaan Turki Uthmaniyyah.
Songkok Daripada Sudut Sejarah
Songkok merupakan sejenis pakaian atau hiasan kepala tradisional yang biasa kita lihat di negeri-negeri Nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, selatan Thailand dan Singapura. Ia telah dijadikan sebagai budaya setempat bagi semua kaum lelaki di Nusantara.
Songkok akan dipakai sehari-harian ketika keluar rumah atau ketika menghadiri upacara keagamaan atau keramaian.
Di Malaysia, songkok telah menjadi sebahagian daripada pakaian kebangsaan negara dimana ia dipakai oleh kaum lelaki sebagai pelengkap kepada baju kebangsaan iaitu Baju Melayu.
Kita akan dapat melihat kemegahan pakaian tradisional Baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok contohnya ketika sambutan hari raya Aidil Fitri, Aidil Adha atau ketika sambutan Hari Kebangsaan Malaysia.
Namun, apa yang kita tahu tentang asal usul songkok dan hukum pemakaiannya.
Daripada sudut tradisi, Songkok, Tengkolok dan Tanjak tergolong dalam jenis perhiasan kepala orang Melayu yang dikenali sebagai Destar.
Pada zaman moden, songkok diperbuat daripada kain kapas, flanel atau baldu berwarna hitam. Ia dilipat dan dijahit pada lapisan kertas keras yang memberikannya bentuk bulat lonjong dan rata di bahagian atasnya.
Menurut catatan sejarah, pemerintah negeri Johor iaitu Sultan Sir Abu Bakar sebagai menghargai hubungan baik negeri Johor dengan Sultan Abdul Hamid II daripada Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah berkenan mengambil Fez (Tarbus) yang menjadi pakaian rasmi tentera Uthmaniyyah lalu diubah menjadi songkok.
Fez pula diriwayatkan berasal daripada Qalansuwah iaitu penutup kepala yang kerapkali dipakai oleh Nabi Muhammad S.A.W. bersama-sama lilitan serban Baginda.
Dalam catatan Syair Siti Zubaidah juga ada menyebut perihal songkok di Johor.
Songkok Daripada Sudut Sunnah
Daripada sudut sunnah pula, terdapat ayat al-Qur’an yang menyuruh kepada memakai pakaian atau perhiasan iaitu Surah Al-A’raf ayat 31, “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang),…”
Perhiasan di sini turut difahami sebagai merujuk kepada songkok yang dipakai di kepala.
Juga terdapat hadith riwayat Muslim, At-Tirmizi dan Ibnu Majah yang meriwayatkan daripada Jabir R.A. dengan lafaz bermaksud “Bahawasanya Nabi S.A.W. memasuki kota Makkah dengan memakai serban hitam.”
Jadi difahami bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W. ketika itu memakai songkok atau kadang-kadang disebut kopiah berwarna hitam dengan serban hitam.
Oleh itu, pemakaian songkok merupakan sunnah pemakaian Rasulullah S.A.W. yang turut menjadi tradisi turun temurun orang-orang Melayu di Nusantara.
Songkok Dan Kaitan Dengan Tentera Turki Uthmaniyyah
Terdapat satu kisah menarik dimana seorang lelaki yang berasal dari Malaysia menceritakan pengalamannya semasa bersongkok Melayu di kota Kaherah, Mesir pada tahun 1991.
Beliau telah ditegur oleh seorang lelaki tua tempatan yang bertongkat ketika mereka sama-sama menunggu bas.
Lelaki tua tersebut menanyakan berkenaan songkok Melayu yang dipakainya sambil kelihatan terharu ketika membelek-belek songkok tersebut.
Lelaki tua tersebut kemudiannya memberitahu kepada beliau bahawa songkok tersebut mirip songkok tentera berkuda Sultan Muhammad Fatih yang membuka kota Konstantinople.
Beliau menerangkan kepada lelaki tua tersebut bahawa songkok Melayu itu banyak dipakai di Nusantara sejak turun temurun.
Kemudian lelaki tua tersebut menceritakan bahawa tentera berkuda Uthmaniyyah Turki pada abad ke-16 Masihi turut serta dalam peperangan dengan Majapahit membantu Wali Songo dalam pembukaan kota Demak.
Pakaiannya termasuk songkoknya diambil para sultan dan raja Nusantara dijadikan pakaian kebangsaan rasmi sebagai tanda penghargaan orang Melayu kepada tentera Uthmaniyyah.
Oleh yang demikian, dapatlah kita katakan bahawa pemakaian songkok di kalangan lelaki Nusantara merupakan sunnah dan juga tradisi yang diwarisi turun temurun.
Adalah diharapkan, sunnah dan tradisi ini akan berkekalan dan berpanjangan oleh orang Melayu di Nusantara.