Isu Semasa

Sistem pendidikan nasional perlu ditambah baik, sifat ihsan tiada dalam diri pelajar

Pernahkah anda dengar kata-kata begini?

“Kau ni tak ada belas ihsan ke?” atau,

“Saya mohon belas ihsan encik untuk bantu saya dalam hal ini,”

Apakah maksud ihsan sebenarnya?

 

Ihsan boleh didefinisikan sebagai perbuatan yang baik, kemurahan hati dan kebaikan. Manakala di dalam Islam pula ihsan membawa maksud beribadat pada  Allah dengan perasaan seperti kita melihat-Nya dan juga dengan perasaan Allah sentiasa melihat kita. 

Ihsan yang ingin ditekankan pada penulisan kali ini adalah definisi yang pertama iaitu kebajikan, perbuatan baik yang ikhlas, dan murah hati. 

Semakin hari semakin ramai di kalangan manusia yang mula hilang sifat ihsan tersebut. Pelbagai berita dan cerita sadis dan mengecewakan yang kita boleh dengar berkaitan dengan hal ini. 

Tak perlu tengok jauh atau ulas isu yang berat. Ambil contoh seperti ketika berada di dalam pengangkutan awam. Berapa ramai dari antara kita yang akan bangun dari tempat duduk dan berikan kerusi kepada yang memerlukan? 

Pernahkah kita memberi laluan kepada orang lain untuk membayar dulu ketika membeli belah? Menolong orang kurang upaya untuk melintas? Bukan itu saja, ihsan yang asas seperti sedekahkan senyuman sesama manusia dan bersikap sabar juga makin susah dilihat terutamanya pada anak muda zaman ini. Ini ditambah lagi kata-kata carutan yang sudah sebati dalam pergaulan mereka sehinggakan mereka terasa canggung kalau tak hamburkan kata makian walaupun dalam bentuk gurauan.

Sistem pendidikan sekarang lebih tertumpu pada ilmu pengetahuan namun sifat ihsan manusia semakin berkurang. Mata pelajaran Sivik ada diperkenalkan di sekolah untuk melahirkan generasi yang memiliki akhlak mulia dan keperibadian tinggi. Namun subjek ini bukanlah subjek teras oleh itu kebanyakan murid belajar dengan sambil lewa. Sepatutnya kerajaan harus menekankan subjek ini supaya anak-anak muda kita tahu apa itu adab dan sopan santun. 

Kita ambil contoh seperti di Jepun. Di sekolah rendah, selain dari subjek teras, anak-anak diajar subjek kaligrafi, subjek sastera yang berkaitan tradisi dan budaya mereka. Mereka juga diajar untuk membersihkan bukan saja dalam kelas malah pekarangan sekolah serta tandas mereka sehinggakan mereka tiada tukang cuci di sekolah. 

Mereka diajar juga adab ketika berkomunikasi dengan orang tua, ketika berkomunikasi dengan rakan dan sebagainya. Selain belajar dalam kelas, mereka banyak lakukan lawatan sosial supaya anak-anak kecil sudah mula menyumbang pada komuniti lokal.

Oleh itu, sebaiknya kita juga bermula dari tadika dan sekolah rendah. Kerana dalam jangka waktu ini, mereka mudah memahami dan menyerap segala ilmu dan tingkah laku yang ditunjukkan pada mereka. Terapkanlah segala adat budaya ketimuran yang semakin pupus pada anak-anak kecil kita. 

Mata pelajaran seperti Sivik, Pendidikan Moral, Pendidikan Islam serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan perlu diberi perhatian terutama pada anak-anak dari darjah 1 hingga 3. Subjek-subjek ini penting untuk perkembangan ‘EQ’ (emotional quotient) iaitu kecerdasan emosi supaya mereka membesar menjadi individu yang pandai mengendalikan emosi diri dan orang sekitar.

Benar, dunia semakin maju dan kita tidak harus ketinggalan namun sifat kemanusiaan dalam individu janganlah kita lupa. Dalam mengejar arus kemodenan, sifat seperti rasa simpati, empati, bertanggungjawab  dan ihsan patut sebati dalam diri kita. Jika hilang semua sifat ini, semaju mana sesebuah negara itu, pastinya akan kecundang kerana rakyatnya bukan lagi ‘manusia’.

 

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button