Syarikat Borneo Utara British (SBUB) memperkenalkan sekurang-kurangnya lima perintah mengarut yang sengaja dicipta untuk mengaut keuntungan.
Antara perintah mengarut SBUB yang dilaksanakan ke atas rakyat Sabah pada ketika itu (1915) adalah seperti
- Mewajibkan keluarga yang memiliki lebih daripada dua orang anak, salah seorangnya harus diserahkan SBUB sebagai buruh paksa tanpa bayaran upah
- Membenarkan hasil hutan tempatan diambil oleh orang luar dengan mengenakan cukai
- Perkenalkan cukai tuak atau air tapai
- Perkenalkan cukai kepala
- Perkenalkan cukai padi
Orang Murut Pelbagai Kawasan Bersatu
Akibat perintah tersebut, Ontoros telah berjaya menyatukan masyarakat Murut untuk menentang SBUB.
Penentangannya bukan sahaja disokong oleh rakyat tempatan, namun turut disertai oleh rakyat yang datang dari Tenom, Keningau, Pensiangan serta Kalimantan dan sekitar sempadan Borneo Utara.
Perancangan taktik serangan, pengintipan dan pembinaan kubu diatur rapi oleh Ontoros sebelum serangan dimulakan terhadap SBUB.
Serangan pertama Ontoros dan pengikutnya bermula di Pensiangan di mana dikatakan seramai 900 orang Murut telah menyerang dan membakar pejabat SBUB tanpa sempat untuk kakitangan atau askar SBUB bertindak balas.
Sebulan selepas itu, serangan disasarkan kepada bangunan dan tempat tinggal kakitangan SBUB di Rundum. Ontoros sekali lagi berjaya memenangi serangan tersebut walaupun SBUB telah bersiap sedia setelah serangan pertama dilakukan.
Walaupun dengan kelengkapan senjata yang canggih, SBUB tetap kalah di tangan pahlawan Murut yang hanya dilengkapi sumpit, tombak dan parang.
Kemudahan SBUB Dibakar, Kakitangan Dihalau Dari Rundum
SBUB bertindak balas dengan menyerang kubu induk Ontoros di Selangit namun serangan yang berlarutan sehingga hampir 6 minggu seperti tiada hujung pangkalnya.
SBUB akhirnya bertindak menawarkan perjanjian damai genjatan senjata bersama Ontoros yang dijadualkan di Rundum.
Walaubagaimanapun, SBUB telah mengkhianati tawaran mereka dengan menyerang hendap rombongan Ontoros.
Ontoros dan pengikut tetap melawan walaubagaimanapun akibat kekuatan askar SBUB yang lebih bersedia, Ontoros dan pengikutnya berjaya ditahan SBUB.
Ilmu Kebal Ontoros Buat British Pening Kepala
Terdapat cerita dalam kalangan warga tempatan, Ontoros mempunyai ilmu kebal yang menghalang segala senjata moden daripada mencederakannya.
Ontoros disiksa dan cuba ditembak dengan jarak dekat, namun segala usaha SBUB gagal.
Tetapi Ontoros terpaksa memecahkan rahsia pantang larang ilmu kebalnya setelah SBUB menggunakan ahli pengikut setia dan keluarganya untuk mengugutnya.
Segalanya kerana dendam SBUB terhadap kelicikan Ontoros melemahkan dan memalukan SBUB.
Akhirnya rahsia ilmu kebal Ontoros terbongkar iaitu dengan membuka ikatan tali di tangan dan kakinya.
Ontoros telah dipancung kepala, pengikutnya dibuang daerah dan ada yang dijadikan buruh paksa tanpa bayaran seumur hidup.
Ontoros dikenang sebagai pahlawan Murut yang berusaha menentang penjajah daripada menekan warga tempatan bagi menurut nafsu serakah mereka.
Kredit: Tawau Kini