Sejarah

Siri Tokoh Pahlawan Melayu: Rosli Dhobi – Tegakkan Maruah Sarawak Seawal Usia 16 Tahun!

Sehingga 1990, tidak banyak perihal kisah perjuangan Rosli Dhobi didedahkan, kecuali di wilayah tengah negeri ini sehinggalah proses pemindahan kuburnya dari Penjara Pusat Kuching ke Sibu mendapat liputan meluas pihak media.

Malah, masih ramai kabur mengenai sejarah perjuangannya, terutama dalam kalangan generasi muda sedangkan beliau antara tokoh pejuang kemerdekaan yang amat dikagumi, bukan saja di Sarawak, bahkan di seluruh negara.

Manakala, beberapa rakan seperjuangan beliau yang turut ditangkap dan dipenjarakan aras dakwaan terbabit dalam komplot pembunuhan ejen dan pentadbir Koloni British yang dikenali sebagai Rukun Tiga Belas terus disisih dan dihina atas status sebagai banduan.

Rosli antara tokoh yang berjuang pada usia muda, bahkan perjuangannya turut dikagumi Ahmad Boestamam yang dipenjarakan di Penjara Changi, Singapura kerana rusuhan Natrah.

Bagi Ahmad, Rosli disifatkan seorang pejuang `paling berani’ pernah dikenalinya, bukan sahaja disebabkan usianya yang muda, tetapi kerana melakukan tindakan pembunuhan nekad dan protes secara berdepan dan menggunakan pisau.

Rosli menikam mati Gabenor Koloni British Kedua di Sarawak, Sir Duncan George Stewart pada 3 Disember 1949 ketika pemimpin penjajah itu masih baharu di Bumi Kenyalang sebelum disahkan meninggal dunia di Singapura seminggu kemudian.

Dilahirkan di Sibu, anak kepada Dhobi Buang, seorang lelaki keturunan Melayu Palembang dan Habibah Lamit. Rosli belajar di Methodist School Sibu dan menjadi guru sekolah rakyat pada sebelah petangnya.

Beliau menjadi guru lantaran peletakan jawatan begitu ramai guru dan kakitangan awam yang membantah Circular No 9 – yang melarang kakitangan awam menyokong penyerahan Sarawak kepada Koloni British.

Perjuangannya semakin membara apabila beliau menyertai Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) Sibu pimpinan Sirat Yaman, dan kemudiannya menjawat dan memangku beberapa jawatan terpenting termasuk Penolong Setiausaha Agung.

Ketika itulah, beliau bertemu Awang Rambli Matserudin yang juga Setiausaha Agung PPM.
PPM amat aktif membakar aspirasi `anticession’ dan Awang Rambli antara moderator kepada perjuangan ini.

Beliau menulis dalam akhbar Utusan Sarawak bersama-sama Johari Anang dan Ikhwan Zainie mengenai perlunya kemerdekaan dan bangkangan penyerahan Sarawak kepada Koloni British.

Bahkan, mereka sebenarnya mahupun pentadbiran keluarga Brooke diteruskan dengan harapan akan membantu ke arah menyediakan kerajaan sendiri kemudiannya.

Awang Rambli memainkan peranan penting kerana beliaulah pembakar semangat Rosli untuk melaksanakan misinya selain mengetuai beberapa komplot untuk bertindak kepada kerajaan penjajah ketika itu walaupun kebanyakannya hanya bersifat rundingan dan perbincangan.

Sebagai seorang yang dikategorikan sebagai `pemikir yang pendiam’, Rosli sebenarnya begitu menjiwai perjuangan biarpun pada usia yang muda.

Rosli mewakili PPM dalam banyak persidangan dan perjumpaan di seluruh Sarawak dan ada antaranya, sehingga dijemput untuk berucap di beberapa majlis di Kuching.

Malah, beliau turut menulis artikel perjuangan, termasuk sajak yang popular, PanggilanMu Yang Suchi menggunakan nama samaran Lidros dan diterbitkan Utusan Sarawak.

Sebagai seorang yang taat agama dan taat kepada orang tua, Rosli sebenarnya seorang yang nekad dan berkeyakinan tinggi. Nekad kerana beliau tidak berkira-kira dalam segala tindakannya.

Baginya, jihad perlu dilaksanakan biarpun beliau tahu implikasinya adalah nyawanya sendiri. Beliau sedar akan hal ini dan beliau sanggup mengorbankan dirinya.Ketika melaksanakan pemnbunuhan, beliau tidak berundur.

Bahkan, beliau meneruskan juga tindakannya biarpun langkah awalnya tersasar dan tersandung.

Menggunakan pakaian hijau Sukarno ketika melaksanakan tugas pembunuhan itu, yang di dalamnya mengandungi kalimah-kalimah suci, yang disahkan oleh anak saudaranya,

Bolhassan Ainnie yang masih menyimpan baju tersebut.

“Inilah nekad pengorbanan untuk negara yang perlu kita renungi,” katanya.

Pada 2 Mac 1950, sebelum Subuh, Rosli telah menjalani hukuman gantung bersama-sama Morshidi Sidek, di Penjara Pusat Kuching. Hukuman itu disusuli terhadap Awang Rambli dan Bujang Suntong kemudiannya.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker