Sejarah

Siri Tokoh Pahlawan Melayu: Leftenan Adnan – 1,714 Askar Jepun Terkorban

Leftenan Adnan bin Saidi adalah antara orang pertama menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ketika penubuhan RAMD pada tahun 1933. Beliau ketika itu baru berumur 18 tahun.

Pada tahun 1936 beliau dinaikan pangkat sebagai Sarjan dan merupakan pegawai tentera Melayu pertama memegang jawatan itu.

Pada tahun 1937 beliau terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI dan pada tahun 1937 juga dinaikan pangkat sebagai Kompeni Sarjan Mejar.

Mengikuti kursus di Singapura seterusnya dinaikan pangkat sebagai Leftenen dan dilantik mengetuai Platun 7 Kompeni C RAMD.

Pada Disember 1941 semasa perang dunia ke-2, Jepun telah mendarat di Pantai Timur Tanah Melayu seterusnya mara ke Selatan dan berjaya menakluk semenanjung dalam masa hampir 2 bulan, memaksa tentera British berundur ke Singapura.

Pada 7 Februari Jepun telah sampai ke Singapura dan antara 13 dan 14 Februari 1942 berlakunya Pertempuran Pasir Panjang.

Pertempuran Pasir Panjang merupakan pertempuran besar yang terakhir antara pasukan pertahanan British di bawah Leftenan Jeneral Arthur Percival dan pasukan penyerang Jepun (Tentera Darat Ke-25) yang diperintah Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita di pulau Singapura.

Kompeni C RAMD di bawah pimpinan Leftenen Adnan di arahkan untuk bertahan di Bukit Candu. Pertempuran di Bukit Candu ini menjulang nama Rejimen Askar Melayu menjadikannya satu pasukan tentera yang disegani di kalangan pasukan tentera Komanwel.

Pertempuran ini juga menampilkan keberanian askar Melayu, khususnya Leftenan Adnan yang sanggup berkorban semasa memberikan tentangan habis-habisan kepada Jepun.

Pertempuran di Bukit Candu pimpinan Leftenen Adnan berlaku pada lewat malam, bersambung pada keesokkan paginya dan petangnya.

Leftenen Adnan berjaya mematahkan serangan berhelah Jepun yang menyamar sebagai tentera Sikh.

Dua jam selepas Jepun berundur, Jepun hadir semula dengan membawa pasukan tentera yang lebih ramai untuk serangan penghabisan.

Kompeni C RAMD di bawah pimpinan Leftenen Adnan kehabisan peluru dan semakin ditekan oleh tentera Jepun, namun tidak dapat berundur kerana tali air yang dicemari minyak terbakar memisahkan mereka dengan barisan belakang.

Leftenen Adnan mengarahkan pasukannya untuk melawan Jepun dan mempertahankan tanah air hingga ke hujung nyawa.

Akhirnya Leftenen Adnan yang telah cedera parah ditangkap Jepun, diseksa dan digantung pada sebatang pokok ceri lalu ditikam dengan bayonet sehingga menemui ajalnya di usia 27 tahun.

Biar pun Jepun berjaya menakluki Singapura pada esok harinya (15 Februari 1942), pertempuran itu menyaksikan hanya 158 askar Melayu terkorban manakala bagi pihak Jepun pula, 1,714 askar Jepun terkorban.

Keberanian dan semangat juang Leftenen Adnan diakui oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita yang mengatakan “ Jika ada 10 orang lagi seperti Leftenen Adnan, Jepun memerlukan 10 batalion lagi untuk menakluk Tanah Melayu.”

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker