Isu SemasaRaja-RajaTokohWorld

Siri 1: Sultan Abdullah Tak Pernah Setuju Serahkan Pulau Pinang Kepada Francis Light?

Pulau Pinang Adalah Sebahagian Dari Tanah Melayu?

Isu kedudukan Pulau Pinang yang semakin hangat diperkatakan kini wajar dibawa ke meja perundingan setelah kajian terperinci dari aspek sejarah, perundangan serta dari aspek kedaulatan dan pajakan dibuat dengan lebih teliti.

Memandangkan, setakat isu ini dibangkitkan, tidak ada sebarang dokumen mengenai pelepasan Pulau Pinang daripada Kedah ditampilkan. Ditambah dengan Sultan Kedah iaitu Sultan Abdullah sendiri tidak pernah bersetuju menyerahkan Pulau Pinang Kepada Francis Light.

Maka, sebarang pindaan kepada status negeri Pulau Pinang di luar kerangka sedia ada perlu juga dibawa semula kepada Majlis Raja-Raja kerana ia melibatkan isu pokok semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Dalam satu kenyataan, Pakar Perlembagaan, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, setakat ini belum ada dokumen yang menunjukkan berlaku penyerahan secara sah kedaulatan Pulau Pinang kepada British.

Katanya, serahan kedaulatan Pulau Pinang kepada British secara kekal hanya sah jika maksud tersebut jelas termaktub seperti ciri dan bentuk dokumen yang ada pada zaman semasanya.

“Tanpa ada dokumen yang menunjukkan berlaku serahan kedaulatan oleh Sultan Kedah sebelumnya, maka apabila Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 5 Ogos 1957, kuasa kedaulatan Pulau Pinang masih kekal pada Sultan Kedah yang meletakkan kuasa tersebut pada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perlembagaan Pulau Pinang yang dilampirkan dalam Perjanjian tersebut.

“Proses tersebut berlaku dengan perkenan Sultan Kedah setelah enakmen berkaitan diluluskan oleh Dewan Perundangan Negeri Kedah.”

“Namun begitu, tanah Pulau Pinang kekal menjadi milik Kesultanan Kedah berdasarkan Fasal 5 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Perkara 166 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyentuh pewarisan tanah yang terikat dengan perjanjian sebelum Hari Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang popular sebagai Hari Merdeka,” katanya.

Jelasnya, implikasi status pajakan yang masih berkuat kuasa menyebabkan Geran Tanah Pulau Pinang harus mencatatkan tanah kekal milik Negeri Kedah di bawah pajakan besar kepada Kerajaan Pulau Pinang.

Justeru tegas beliau, Kerajaan Pulau Pinang yang perlu membayar pajakan kepada Kerajaan Kedah dan bukannya oleh Kerajaan Persekutuan.

Tambah beliau lagi, liabiliti itu diperuntukkan oleh Perkara 166 (1) dan (2), namun begitu, semakan perlu dibuat sebab fasal (1) dan (2) kepada Perkara 166 dimansuhkan berkuat kuasa Ogos 1963 sebelum penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak sebagai tiga buah negeri baharu dalam Persekutuan yang dinamakan Malaysia.

“Pajakan perlu tertakluk kepada undang-undang semasa melainkan peruntukan khusus digubal dalam Kanun Tanah Negara berhubung pajakan Pulau Pinang.”

“Tanah adalah bidang kuasa negeri, jika dilihat Pulau Pinang sebagai tanah pajakan milik negeri Kedah, kedudukan ini dijamin oleh Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Namun begitu, dari aspek kuasa eksekutif ia boleh ditadbir oleh Kerajaan Pulau Pinang kerana fungsi kuasa kedaulatan telah diletak pada Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 1 Perlembagaan Pulau Pinang.

Katanya, sejarah perundangan dan peruntukan yang ada menunjukkan fungsi kuasa kedaulatan Yang di-Pertuan Agong yang diwakilkan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang masih tertakluk kepada syarat pewarisan tanah yang diperuntukkan oleh Fasal 5 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Isu ini berbangkit apabila baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor seperti yang dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah kerana kedua-dua negeri itu tidak mempunyai sempadan.

Katanya, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Sebahagian Rentetan Peristiwa Sejarah Yang Pernah Tercatat

Mengikut catatan sejarah, pada tahun 1786, Sultan Abdullah Mukarram Shah yang memerintah Kedah pada ketika itu, menyerahkan Pulau Pinang kepada wakil dari Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), Francis Light melalui satu perjanjian penyewaan. Light kemudian menamakan semula Pulau Pinang sebagai Prince of Wales, juga merupakan pangkalan British yang pertama pernah ditubuhkan di Tanah Melayu.

Timbul persoalan, adakah penyerahan Pulau Pinang menerusi perjanjian penyewaan ini sah di sisi undang-undang antarabangsa?

Kedah Adalah Kerajaan Tertua Di Kalangan Kerajaan-Kerajaan Melayu

Menurut sejarah, Kedah telah diasaskan pada tahun 630 Masihi dan lebih dikenali sebagai Kadaram pada ketika itu. Sebelum menjadi sebuah negara yang dikenali sebagai Malaysia ia pernah dikuasai oleh beberapa kerajaan Melayu pra-penjajahan seperti Srivijaya, Majapahit, Kedah, Melaka, Brunei, Johor dan Aceh. Bagaimanapun, Kedah adalah kerajaan tertua di kalangan kerajaan-kerajaan Melayu ini.

Kedah juga pernah menjadi penguasa yang berpengaruh melampaui kawasan-kawasan yang kini menjadi wilayah negeri Kedah sekarang ini. Sewaktu era kegemilangannya, Kedah mempunyai pelabuhan yang kaya-raya dan catatan Tamil lampau memberikan Kedah julukan ‘Kota Segala Kebahagiaan’.

Pengiriman Bunga Emas Sekadar Tanda Persahabatan

Menjelang kurun ke-18 Masihi, Kedah dikatakan muncul sebagai sebuah negeri Timur yang agak lemah apabila diapit oleh jiran-jirannya yang lebih berpengaruh iaitu Burma dan Siam. Kedua-dua kuasa serantau ini amat agresif dan sering berperang lalu mengancam kelangsungan Kesultanan Kedah.

Sewaktu pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah, Kedah dikatakan telah mula mengirim bunga mas kepada Siam sebagai tanda mengiktiraf ketuanan Siam ke atas Kedah. Amalan ini telah dimulakan sejak tahun 1781. Namun begitu, terdapat juga pendapat menyatakan bahawa pengiriman bunga mas oleh Kedah kepada Siam hanyalah sebagai tanda persahabatan di antara kedua-dua kerajaan dan tidak sama sekali menghakis kedaulatan Kesultanan Kedah.

Kedah mula berhasrat untuk meminta pertolongan sebuah kuasa baru, perlindungan dari kuasa Eropah yang lebih unggul iaitu British kerana dikatakan enggan menerima nasib yang sama seperti Kesultanan Pattani yang dihapuskan oleh kerakusan Siam pada tahun 1785.

Francis Light yang pada ketika itu dikatakan sedang mengembara ke seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Melayu mencari tapak yang sesuai untuk dijadikan pangkalan perdagangan. Ketika itu, Light dipercayai telah gagal meyakinkan pihak SHTI untuk menduduki Jung Ceylon, atau nama asalnya, Ujung Salang di Pulau Phuket.

Light kemudiannya, memberi fokus kepada Pulau Pinang, sebuah pulau yang berlokasi strategik di pintu masuk utara ke Selat Melaka. Di mana menurut catatan sejarah Pulau Pinang itu juga adalah sebahagian daripada wilayah Kedah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Dapatkan Kandungan Demi Malaiu Sekarang!
Terima Notifikasi Setiap Kali Kami Siarakan Kandungan Baru