Ibarat sebuah periuk masak gulai yang mempunyai pelbagai rencah dan rempah, begitu jugalah Tanah Melayu atau Nusantara yang mempunyai pelbagai bangsa dan etnik mendiami bumi ini. Jadi siapakah orang Rao ini? Adakah wujudnya mereka di tanah Malaysia ini? Yang biasa kita dengar ialah etnik Jawa, Bugis, Minangkabau, Sunda dan sebagainya.
Orang Melayu Rao atau juga dikenali sebagai Melayu Rawa merupakan sekumpulan anak dagang Melayu yang berasal dari Sumatera Barat. Di Malaysia, mereka banyak menggelarkan diri mereka sebagai ‘Ughang Rawo/Rao’ atau ‘Rao’. Di Sumatera Barat, terdapat sebuah kawasan bernama Rao yang dipercayai tempat asal usul Orang Rao ini. Menurut tulisan Prof Dr. HM Bukhari Lubis (UPSI) dan Afriadi Sanusi (UM), Melayu Rao ditakrifkan sebagai beragama Islam, bermastautin di Rao, berasal dari keluarga Rao melalui hubungan darah atau persemendaan tanpa batas sempadan, berbahasa Rao dan mengamalkan adat budaya Rao.
Terdapat juga kepercayaan yang asal usul orang Rao ini adalah orang Champa yang merupakan suku bangsa Lubu atau ras Mongolite yang datang berhijrah ke Sumatera pada abad ke-2 Masihi dan kemudian pada abad ke-6 Masihi. Di Lubuk Godang atau Ranjau Batu, Sumatera, mereka membuka kampung dan berjumpa dengan orang asli di pedalaman Sumatera yang disebut sebagai suku Leco. Mereka ini tidak berpakaian namun dikatakan kuat walaupun tubuh mereka rendah sahaja. Nama ‘Rao’ ini dikatakan diambil dari perkataan ‘manggarao’ yang bermaksud bertelanjang di dalam bahasa Lubu. Apabila orang Lubu yang baru tiba di Lubuk Godang ternampak orang asli Sumatera tanpa seurat benang, mereka menggelarkan tempat yang mereka terokai itu sebagai ‘manggarao’ yang kemudiannya dipendekkan menjadi Rao setelah peredaran zaman.
Orang Rao ini sebenarnya sudah lama menjejakkan kaki ke Semenanjung Malaysia. Dikatakan pada tahun 5 Masihi, orang Rao yang terdiri daripada para petani dan pemburu emas sudah mula datang ke sini. Pada zaman dahulu, Tanah Melayu juga dikenali sebagai Semenanjung Emas jadi oleh kerana itu ramai orang berhijrah ke sini. Kemudian ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melaka pada abad ke-15 Masihi yang menggalakkan perdagangan bebas juga memudahkan mereka untuk merantau, berdagang lalu menetap di Semenanjung Tanah Melayu. Sudah adat rumpun Melayu untuk merantau untuk mencari makan dan meningkatkan taraf hidup. Tambahan lagi apabila terdapat persamaan adat, budaya dan agama membuatkan mereka terus menetap di sini.
Baca juga>> Gabungan 12 Kerajaan Melayu Segenting Kra
Kemudian lebih kurang pada tahun 1816 hingga 1833, Orang Rao berhijrah ke Tanah Melayu beramai-ramai kerana tewas dalam Perang Paderi ketika pemerintahan Belanda. Kebanyakan yang berhijrah itu terdiri dari golongan orang istana, ulama, cendekiawan, panglima, pendekar dan sebagainya. Melalui kajian, Orang Rao sudah berhijrah ke Seri Menanti, Negeri Sembilan pada tahun 1773 dan ke Sungai Ujong pada 1848. Kemudian ke Sungai Hulu Pahang sekitar tahun 1857-1863 dan ke Sungai Selangor serta Sungai Klang sekitar tahun 1867-1873. Terdapat juga daripada mereka yang ke Perak pada tahun 1875-1876 dan juga berhijrah ke Kelantan.
Kini suku Orang Rao banyak di Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Selangor dan beberapa negeri lain. Di Gopeng, terdapat sebuah perkampungan yang terkenal dengan Orang Rao yang masih mengekalkan adat dan tradisi serta bahasa etnik mereka selama beratus-ratus tahun. Antara adat yang terkenal dengan orang Rao adalah ‘Adet Berjojak’ (Adat Berjejak) di mana ia merupakan satu upacara untuk kanak-kanak. Ia dikatakan ada sesetengah bayi tidak boleh menjejak tanah (atau nanti mereka akan kena tulah) sehingga cukup usia yang dibenarkan.
Ramai yang menganggap orang Rao dan orang Minangkabau adalah sama namun bukan sebenarnya. Terdapat persamaan dari segi bunyi dan dialek tetapi terdapat perbezaan pada bahasa Rao dengan bahasa Minangkabau. Bagi bahasa Rao, imbuhan akhiran banyak menggunakan ‘kuak’, ‘sang’ dan ‘tang’. Contohnya seperti:
“Bak mana tang,” bermaksud “bagaimana boleh terjadi”.
“Ompek ringgit sang,” yang membawa makna “empat ringgit sahaja”.
“Nyonyo nak bergolek kuak,” bererti “mungkin dia mahu tidur”.
Mereka juga mempunyai masakan mereka tersendiri dan pastinya tidak sama dengan masakan orang Minangkabau. Makanan seperti Kelamai, Asom Iken Koli dengan Gulai Nangko antara lauk-pauk istimewa dikalangan orang Rao. Kelamai atau Kelemai misalnya merupakan hidangan seakan-akan dodol yang dimasak di dalam buluh seperti lemang.
Sekitar tahun 1830, terdapat 25 000 orang Rao yang ada di Lembah Rao namun pada sekitar tahun 2009 jumlahnya menurun dan tinggal sekitar 60 000 orang sahaja kerana ramai yang sudah berhijrah ke Malaysia dan Singapura.