Lorong Haji Taib yang berada di Kuala Lumpur sememangnya cukup popular seperti nama-nama lorong terkenal yang lain seperti Jalan Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Jalan Masjid India dan sebagainya. Generasi kini hanya mengenal nama jalan, tetapi jika ditelusuri sejarah di sebalik pemilik nama lorong tersebut, orang Melayu pastinya berbangga mempunyai tokoh ekonomi hebat seperti beliau.
Lorong Haji Taib diambil sempena ketokohan usahawan Melayu yang bernama Haji Mohamed Taib bin Haji Abdul Samad. Beliau adalah seorang pedagang dari Batu Sangkar, Sumatera Barat, Indonesia yang berketurunan Minangkabau. Beliau lahir pada tahun 1858 dan meninggal dunia pada tahun 1925.
Ketika beliau berusia 18 tahun pada tahun 1876, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur bagi mencari peluang perniagaan dan perdagangan. Beliau dikatakan yang terawal melopori perniagaan bijih timah dan membongkar Kuala Lumpur sebagai penempatan awal orang Melayu. Kekayaannya dilaburkan kepada perlombongan bijih timah bagi menghidupkan penguasaan orang Melayu dalam bidang perlombongan. Di samping itu juga, beliau merupakan pedagang barang hiasan, memiliki tanah perkebunan, mengusahakan rumah kedai yang pasti membentuk ekonomi luar biasa pada ketika itu.
Baca juga>> Peristiwa Parang Terbang 13 Mei 1969
Hasil daripada kekayaan, kepimpinan dan pengaruh Haji Taib, beliau berjaya menjadikan Kuala Lumpur sebagai kawasan yang begitu membangun dan meninggalkan jasa kepada komuniti Melayu terutama dalam sektor ekonomi. Oleh kerana keperibadiannya sebagai usahawan dan hartawan, Raja Melayu ketika itu berkenan menamakan kawasan itu sebagai Lorong Haji Taib bagi memperingati sumbangannya kepada masyarakat.
Kini legasi perniagaan beliau diwarisi kepada 10 orang anaknya yang turut mahir dalam perniagaan. Lorong Haji Taib kini terus hidup dengan pelbagai aktiviti perniagaan seperti restoran, kedai runcit, pasar malam dan sebagainya. Sebagai seorang Melayu harus kita mengambil pengajaran dan mencontohi Allahyarham Haji Taib yang bijak memanfaatkan kekayaannya bagi pembangunan sosial-ekonomi masyarakat yang kesannya dapat dilihat hingga kini. Harus di antara kita menerapkan semangat saling bantu-membantu bagi memastikan keperluan asas manusia tetap bertahan dan berkembang sehingga ke generasi akan datang.