Menolak Undang-undang yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan satu kesalahan. Melakukan satu kesalahan itu sebenarnya membuka jalan permulaan kepada wujudnya satu perlakuan jenayah yang lebih besar jika tidak dibendung?
Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan Malaysia yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 152.
Bukankah pengusaha sekolah Vernakular juga ingkar Perlembagaan apabila menolak Bahasa Kebangsaan maka, adakah layak dan boleh termasuk dalam kategori penjenayah?
Jika tidak, maka Malaysia mungkin sedang sakit dan tenat dalam soal kepimpinan dan tindakan. Tidak dapat membezakan lagi yang mana penjenayah yang mana pula kepentingan negara dan rakyat awam yang patut dibela.
Buktinya, Kita boleh lihat sedangkan pengusaha sekolah Vernakular yang terang-terang melanggar akta di dalam Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya layak dikecam dan dicop sebagai setara penjenayah namun boleh pula diberi layanan yang sangat baik di negara ini.
Jelas, walaupun tindakan mereka secara terang telah ingkar dan menolak Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Bahkan, diberi peruntukan berjuta pula oleh kerajaan.
Jika ya, maka ada benarlah dakwaan menyatakan bahawa di Malaysia para penjenayah sentiasa dilayan lebih baik berbanding rakyat awam?
Justeru, tidak hairanlah jika statistik pertumbuhan jenayah akan semakin pesat di Malaysia?
Cuba kita perhatikan, sedangkan di dalam perlembagaan sendiri tidak ada disebut langsung mengenai meneruskan sistem pendidikan Vernakular yang jelas mencabul dan memijak Bahasa Kebangsaan.
Malah, Bahasa Melayu lah sebagai satu-satunya Bahasa Kebangsaan yang wajib digunakan untuk urusan rasmi. Kedudukannya dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996).
Perkara ini juga merupakan niat utama para perangka Perlembagaan dan Bapa-Bapa Kemerdekaan terdahulu.
Bukan Semua Perkara Parlimen Berkuasa Pinda
Seperkara yang juga perlu difahami dan dihadam oleh semua penduduk dan rakyat negara Malaysia, walaupun Parlimen mempunyai kuasa meminda dan mengubal pelbagai undang-undang namun itu tidak menjadikan Parlimen sebagai kebal dan berautoriti sepenuhnya untuk menggubal, meminda atau membubar apa-apa sahaja undang-undang yang terkait dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Apa yang kuasa Parlimen terkecuali untuk mengubah antaranya adalah Perkara 3(1) Islam adalah Agama Persekutuan, Perkara 153 Hak Raja-Raja dan Keistimewaan Orang Melayu termasuk Perkara 152 Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan bagi negara Malaysia.
Perkara 153 adalah di bawah tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong. Di mana, Perlembagaan memberi kuasa kepada Raja-raja Melayu untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu. Sebaliknya, Perlembagaan tidak memberikan Parlimen kuasa penuh untuk meminda Perkara 153.
Parlimen sendiri juga tidak mempunyai kuasa mengecualikan kewajipan berbahasa kebangsaan di bawah Perkara 152(1). Maka sudah tentu ia juga tiada kuasa menurunkan perwakilan kepada menteri seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 apatah lagi mengubal atau menyalahgunakannya. Pakar Perlembagaan sependapat dalam soal ini dan tidak perlu disangkal lagi.
Jika kita teliti struktur ayat dan bahasa digunakan dalam Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan sekalipun, jelas Parlimen hanya diberi kuasa menentukan bentuk tulisan namun tidak diberi kuasa lebih daripada itu lagi-lagi kuasa untuk mengecualikan penggunaan Bahasa Kebangsaan, ini jelas melanggar peruntukan di bawah Perkara 152.
Justeru, apa-apa alasan penolakan yang terkait dengan hak Perlembagaan bagi perkara-perkara ini sama sekali tidak akan dapat dijejaskan dan digugat oleh mana-mana pihak kerana telah diberi imuniti kekebalan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia ditambah punca kuasanya berada dibawah payung Raja-Raja Melayu sendiri.
Suruhanjaya Reid juga memberikan jaminan selain menetapkan bahawa Bahasa Melayu satu-satunya Bahasa Rasmi selepas kemerdekaan.
Bahkan, Kerajaan Ratu UK sendiri telah menolak cadangan Suruhanjaya Reid untuk membenarkan Bahasa Cina & Tamil Diguna Bagi Tempoh 10 Tahun.
Hansard Parlimen pada 1957 membentangkan berkenaan cadangan-cadangan bagi penubuhan Perlembagaan Persekutuan. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak dibantah oleh mana-mana pihak.
Malah, secara terang Bahasa Cina dan India adalah tidak dibenarkan di dalam Parlimen, dan Ahli Parlimen disarankan untuk menggunakan satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Kebangsaan sebagai medium utama komunikasi untuk memudahkan urusan pihak-pihak.
Penggunaan Bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa di Parlimen menunjukkan kepentingan dan kedudukan Bahasa Melayu yang diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan. Maka antara perkara itu juga secara jelas menjadikan Bahasa Melayu sebagai Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, berdasarkan pernyataan itu, maka benarlah jika ada pihak yang ingkar dan cuba berniat mengubah atau menafikannya hak-hak Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan maka mereka bukan sahaja pihak yang tidak memahami Perlembagaan malah boleh dianggap sebagai golongan penjenayah yang sepatutnya dikenakan hukuman setimpal.
Menyentuh mengenai kedudukan, ketinggian, serta kesucian Bahasa Kebangsaan, secara jelas juga telah mengikat mana-mana institusi pendidikan yang ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Kesemua institusi pendidikan adalah tertakluk kepada kewajipan menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, dan mana-mana institusi pendidikan yang menggunakan bahasa selain daripada Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama telah melanggar dan bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.
Persoalannya, apakah jaminan bahawa keingkaran mereka yang tidak berniat menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam pembelajaran sekolah ini bahawa mereka tidak akan dan tidak mampu menyalahgunakan untuk menghasut pelajarnya?
Bukankah antara tindakan yang boleh diambil dan disiasat kepada pihak yang jelas-jelas ingkar, menolak serta Anti Bahasa Kebangsaan ini di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, misalnya?
Justeru, apakah keterlaluan jika mereka yang melanggar dan ingkar serta Anti Bahasa Kebangsaan ini dicap sebagai penjenayah?