Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Wilayah Persekutuan, Dato’ Abd Zarin Mohd Yasin meluahkan rasa tidak setuju ke atas sebuah kandungan azan.
Ia adalah azan laungan Sheikh Abdulkarim Almakki yang dipetik dari siri animasi Upin & Ipin, disiarkan sejak 2017 dan mendapat ulang siar sehingga 134,442,864 juta tontonan di YouTube.
Bagi Abd Zarin, kandungan tersebut sangat tidak wajar ‘terlepas’ lebih-lebih lagi apabila ia digunakan sebagai azan Maghrib menandakan masuknya waktu untuk berbuka puasa.
“Sudah berzaman tak tengok TV. Maghrib hari ini (1 April 2023), saya berbuka puasa di kedai makan biasa sahaja. Dan bila masuk waktu. TV Astro berkemundang azan.
“Saya terperanjat azan dilaungkan oleh kartun (Sheikh Abdulkarim Almakki). Kenapa jadi begitu ‘content’ diluluskan?” soal Abd Zarin dalam satu kenyataan.
Baginya, stesen TV harus menyiarkan azan dengan latar belakang yang indah biar pun tidak menunjukkan wajah pelantun azan berkenaan.
“Kepada saya tidak wajar azan itu dikartunkan. Apakah tidak ada bahan hidup hendak ditunjukan seperti masjid yang ada seperti masjid indah di Sendayan dan Gua Musang?
“Saya tidak faham kenapa perkara azan dikartunkan tidak ditegur oleh bijak agama. Kenapa diam dan menonton begitu tanpa berfikir? Atau azan ini untuk dengar oleh budak-budak?
“Selaku YDP Perkasa Wilayah Persekutuan, saya mendesak Kementerian Komunikasi dan Digital meminta Astro menarik balik siaran itu serta-merta,” ujar Abd Zarin.
Animasi Azan Tak Jadi Kesalahan, Tak Jatuh Haram Hukumnya
Sementara itu, Pencetus Ummah (PU) Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Mohd Haneefa ketika dihubungi Demi Malaiu menjelaskan penggunaan animasi azan.
“Pertama sekali dalam kaedah usul fiqh disebut setiap sesuatu hukumnya adalah harus. Melainkan datang dalil mengharamkan, barulah dia jadi haram.
“Sebabnya kalau kita lihat bahawa melalui program TV, ia adalah lebih kepada pendidikan yang bersifat mendidik seperti laungan azan dalam siri animasi Upin & Ipin misalnya.
“Laungan azan pun adalah laungan azan sebenar, bukan laungan azan tipu. Secara asas, bagi pandangan saya ianya tidak salah,” jelas PU Hafiz.
Ditanya mengenai keafdalan dan hukum mengenai kandungan azan yang dianimasikan sejak 2017 itu, berikut adalah jawapan PU Hafiz.
“Kalau dari segi adab mungkin kita boleh sebut, adabnya lebih baik orang yang betul dengan azan yang betul. Maknanya kalau kita nampak wajah pelantun azan itu lebih afdal.
“Jadi persoalannya, salah ke tak salah perkara ini? Bagi saya ia tidak menjadi kesalahan dan tidaklah sampai jatuh haram hukumnya. Wallahualam,” balasnya sebagai pencerahan.