Nama Tokku Paloh mungkin sedikit asing bagi rakyat Malaysia zaman sekarang namun tidak bagi orang Terengganu. Nama sebenar Tokku Paloh ialah Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus dan beliau juga merupakan seorang Ulama Besar Terengganu ketika abad ke-19, semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Tokku Paloh lahir pada tahun 1817 (1233 H) dan meninggal dunia pada tahun 1917 (1335 H).
Tokku Paloh hidup sezaman dengan pahlawan Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Gajah dan beliau juga berjihad menentang penjajah Inggeris di Tanah Melayu khususnya Terengganu. Ilmu agamanya tinggi menjadikan beliau tokoh yang disegani masyarakat setempat dan juga digeruni pihak British.
Antara kisah-kisah ‘kehebatan’ Tokku Paloh ini adalah ketika pihak British datang ke rumahnya untuk mengambil Bukit Besar. Mereka diarahkan untuk berjumpa Tokku Paloh oleh Sultan Zainal Abidin III sendiri kerana baginda berkata tanah Terengganu ini ada ‘tuannya’.
Ketika orang-orang British itu datang ke rumahnya, mereka tidak mahu duduk di lantai lalu Tokku Paloh berikan mereka kerusi untuk duduk.
Setelah perbincangan, Tokku Paloh membenarkan British mengambil tanah itu dengan syarat kena ‘muatkan’ Bukit Besar di atas kapal dan bawa pulang ke negara mereka.
Baca juga>> Siri Tokoh Ulama Melayu: Tok Ku Paloh – Generasi Ke-36 Ahlul Bait
Berang dengan ‘gurauan’ itu, orang British cuba bangun dari kerusinya namun tidak berjaya seolah-olah punggung mereka ‘melekat’ di kerusi.
Lantas diperli Tokku Paloh, “Sudahlah tanah kita mahu diambil, kerusi kita pun mahu dibawa diambil juga?”.
Selepas kejadian ‘memalukan’ itu, sekali lagi pihak British cuba berunding dengan Tokku Paloh. Kali ini mereka mengajak Tokku Paloh ke kapal mereka perang mereka. Kononnya cuba menakutkan orang kita dengan menunjukkan kecanggihan serta kebesaran kapal milik mereka yang mampu menghancurkan Terengganu. Ia dipanggil ‘gunboat diplomacy’.
Namun Tokku Paloh menunjukkan pula ‘kelebihannya’. Apabila beliau sengetkan serbannya ke kiri, kapal turut ikut senget ke kiri. Bila disengetkan serbannya ke kanan, kapal pun senget ke kanan. Gentar dengan kekuatan Tokku Paloh, Pihak British segera membatalkan rundingan mereka. Kejadian ini membuatkan British bertambah marah dan pada masa yang sama gentar dengan Tokku Paloh.
Itulah kekuatan luar biasa pahlawan dan ulama Melayu kita, Tokku Paloh yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT. Dengan izin-Nya, perkara yang mustahil juga boleh ‘jadi’. Lagi-lagi apabila digunakan untuk menentang musuh agama dan bangsa. Yang pasti ia bukan tahyul atau mitos semata-mata!
Menarik juga:
Adat Bersanding Budaya Hindu ? – Podcast Demi Malaiu Episod 1 | Pendekar Mat Ali