Alam Melayu merupakan peradaban yang sangat masyhur sejak berkurun lama dahulu kerana di bumi ini wujudnya bangsa mandiri serta pejuang yang tinggi adab dan budi yang kaya dengan ilmunya lebih-lebih lagi dalam teknologi pembuatan.
Tidak hanya melakar keagungan sifat bangsa yang murni tetapi alam Melayu turut meninggalkan aset yang bernilai tinggi dari segi pelbagai teknologi yang harus diketahui.
Kehebatan teknologi di alam Melayu suatu ketika dahulu bukan hanya sekadar cerita kosong tetapi ia disokong dengan fakta sejarah yang dikaji oleh pengkaji-pengkaji sejarah negara.
Teknologi perkapalan Melayu
Naib Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Prof. Datuk Wira Dr. Hj. Mohd. Jamil Mukmin berkongsi kisah mengenai sejarah teknologi perkapalan alam Melayu.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Melaka (PSMCM) merujuk buku Salalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah mengatakan kehebatan teknologi perkapalan orang Melayu bermula sejak abad ke-13, ke-14 dan ke-15.
“Orang Melayu memang begitu handal dalam membina kapal-kapal yang besar termasuklah jong-jong dan sebagainya.
“Mereka ini memang mempunyai kepandaian serta kepakaran yang sangat hebat dari segi teknologi perkapalan ini,” katanya.
Mohd. Jamil berkata demikian mengulas tajuk ‘Keagungan Teknologi Melayu : Mampukah Kita Bangkit Semula?’ dalam Perbincangan Rakyat Demi Melayu (PRDM) Siri 11 yang lepas.
Empat sifat utama herba Melayu
Mengulas teknologi perubatan tradisional, Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan Manuskrip Melayu (Perdiman), Ustaz Muhammad Nasiruddin Mohd. Sobri berkongsi empat sifat utama herba Melayu.
“Jika tengok dari segi ilmu perubatan Melayu tradisional, terdapat empat sifat utama pada herba Melayu iaitu panas, sejuk, basah dan kering.
“Konsep keseimbangan herba dalam alam Melayu ini bermain dengan perkara yang berlawanan, jika penyakit itu jenis panas, herba yang digunakan perlulah bersifat sejuk,” kata Nasiruddin.
Tambah beliau lagi, antara herba orang Melayu seperti yang diketahui umum ialah kapur barus, geharu, cendana, kemenyan, tongkat ali, kacip fatimah dan lain-lain.
Teknologi pertukangan besi
Manakala Pengarah Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam, Ustaz Hasanuddin Yusof pula merungkai secara ringkas mengenai teknologi pertukangan besi yang mula bertapak di Kedah Tua.
“Seawal abad kedua masihi kerajaan Kedah Tua itu telah pun ada dan kerajaan Kedah Tua sangat kaya dengan lombong dan ini terbukti dengan pencatatan daripada Arab.
“Terdapat pencatatan Arab mengatakan antara Pahang dan Kedah terdapat banyak lombong antaranya lombong timah dan lombong perak,” kata beliau.
Tambah beliau lagi, orang Melayu juga handal dalam mengklasifikasikan jenis-jenis besi dan mereka mempunyai kepakaran serta formula tersendiri untuk menghasilkan besi yang terbaik dalam teknologi pembuatan besi.
Begitulah hebatnya teknologi yang dimiliki alam Melayu sejak berabad lamanya. Tidakkah kita bangga dengan keagungan teknologi Melayu yang telah dibangunkan nenek moyang kita dahulu?
Jika teknologi ini tidak diteruskan dan diangkat, maka mungkin kita perlu bersedia untuk terhapusnya ‘perlambangan’ Melayu di tanah sendiri.
Tonton rakaman penuh PRDM Siri 11/2021 dengan tajuk ‘Keagungan Teknologi Melayu : Mampukah Kita Bangkit Semula, dengan menekan pautan.
Anda juga boleh menonton Kapsul PRDM, klik link berikut >> https://www.youtube.com/playlist?list=PLdfK8byeoni6XQIq6Lvia5okbfBvdHE8o