Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempopularkan agendanya untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN wajar disokong dan dipuji.
Namun untuk menuju ke arah itu, Perdana Menteri harus dimaklumkan bahawa wujudnya kelompongan dalam negara yang melecehkan bahasa Melayu.
Hal ini demikian kerana masih ramai pengamal undang-undang lebih selesa menggunakan perundangan berbahasa Inggeris yang maksudnya mungkin bercanggah.
Hak Penjagaan Anak Selepas Ibu Bapa Bercerai
Misalnya dalam kes yang melibatkan anak-anak berusia di bawah 18 tahun, hak penjagaan kepada diberikan kepada salah seorang sama ada ibu atau bapa, selepas bercerai.
Maka sama ada ada untuk mengIslamkan anak-anak berusia di bawah 18 tahun itu adalah tertakluk kepada ibu atau bapa yang mendapat hak penjagaan.
Menurut Bahagian Pendaftaran Muallaf dan Pembangunan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), Majlis Agama Islam Selangor, syarat mengIslamkan individu berusia di bawah 18 tahun cukup jelas:
- Hanya perlukan Mykad / Mykid / Siil Kelahiran / Pasport Dan Visa yang masih sah laku
- Mendapat keizinan daripada ibu dan bapa (bagi yang masih berkahwin)
- Mendapat keizinan daripada ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan penuh (sole custody) ke atas kanak-kanak melalui perintah hak jagaan anak dari Mahkamah (Jika berkaitan)
- Surat perakuan hak penjagaan atau Sijil Pengangkatan anak angkat (Jika berkaitan)
- Gambar 2 keping
- Mykad 2 orang saksi lelaki beragama Islam
Begitu juga dalam Perlembagaan Persekutuan (edisi bahasa Melayu), Perkara 12 (4) secara bertulis menerangkan dengan jelas bahawa :
“Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.”
Namun demikian, ada pejuang undang-undang yang berada di Malaysia, membicarakan kes dalam mahkamah Malaysia, menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi bahasa Inggeris sebagai sumber rujukan tertinggi.
Ikuti Edisi Bahasa Melayu Atau Ikuti Edisi Bahasa Inggeris?
Hal ini dalam Perlembagaan Persekutuan edisi bahasa Inggeris dalam Perkara 12 (4), ayat dan perkataan yang ditulis berbunyi:
“For the purpose of Clause (3) the religion of a person under the age of eighteen years shall be decided by his parent or guardian.”
Melihat pada perkataan yang ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan edisi bahasa Inggeris, jelas ia memberikan maksud yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan edisi bahasa Melayu.
![Perbezaan perkataan dengan maksud yang berbeza bagi Perlembagaan Persekutuan edisi bahasa Melayu serta bahasa Inggeris](http://i0.wp.com/demimalaiu.com/wp-content/uploads/2022/05/WhatsApp-Image-2022-05-26-at-3.08.08-PM-1.jpeg?resize=708%2C398&ssl=1)
Lainlah jika ia ditulis sama ada “.. shall be decided by his / her mother or father or guardian” (menyamai maksud dalam Perlembagaan Persekutuan edisi bahasa Melayu).
Namun yang diangkat oleh Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh memberi konotasi “.. shall be decided by his / her mother and father or guardian” (jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan edisi bahasa Melayu).
Akhirnya, Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh membatalkan perintah Mahkamah Syariah yang memberi hak penjagaan kanak-kanak itu kepada Muhammad Riduan selepas memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah hak penjagaan apabila satu pihak (ibu) bukan beragama Islam.
Pada Februari 2016, Mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman Indira Gandhi bagi mendapatkan perintah bahawa sijil penukaran agama kanak-kanak itu adalah tidak sah dan batal.
Tak Yakin Pada Kekuatan Punca Bahasa Melayu Bakal Lenyap
Profesor Antropologi Sosial, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Sarjit Singh, berpendapat untuk memartabatkan atau memajukan bahasa Melayu, ia perlu diangkat di universiti terlebih dahulu.
Baginya, bahasa Melayu sekarang dalam keadaan tenat, bukan sahaja kerana diambil alih oleh bahasa Inggeris, tetapi juga kerana tumpuan kerajaan terhadap soal penarafan dan pengantarabangsaan di peringkat universiti.
“Sekiranya mahu majukan bahasa Melayu, martabatnya perlu diangkat di universiti dahulu. Jika di universiti masih lagi memperlekehkan bahasa Melayu, maka tak perlulah menyalahkan etnik lain yang tidak menggunakannya.
“Kita tidak mahu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti di negara sendiri, tetapi pada masa sama, Perdana Menteri berjuang untuk mengangkatnya di persada antarabangsa. Pada saya, ini satu kontradiksi dan cabaran besar yang perlu ditangani,” katanya.
Sarjit berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pelestarian Kearifan Setempat: Peranan dan Cabaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu’ pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.
Perdana Menteri Harus Bertegas Secara Serius
Jadi kepelbagaian masalah ini bukan perkara kecil dan disebabkan Perdana Menteri sedang memartabatkan bahasa Melayu di peringkat tertinggi, baik dari segi perundangan atau lain-lain hal harus mengikut rentak serupa.
Tak salah jika Perdana Menteri menunjukkan kuasa penuh untuk menguatkuasakan betapa rasminya bahasa Melayu di bumi berdaulat ini sebelum menjelangnya Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 misalnya.
Jika tidak, masih ada segelintir rakyat berpendapat Malaysia masih dijajah oleh bahasa Inggeris dan kerajaan semasa juga tidak begitu kuat dalam membanteras saki-baki penjajah yang cuba meratah kedaulatan tanah air.
Semoga Perdana Menteri kekal dalam landasan memperjuangkan bahasa Melayu di peringkat global dan semoga kelonggaran dalam aspek perundangan dalam dihapuskan secara strategik!
Mahu mendapatkan kisah-kisah eksklusif terus ke Telegram anda? Sertai kami di Telegram Demi Malaiu!