Budaya ‘memondan’ yang melibatkan naluri seseorang lelaki itu mahu menjadi wanita ‘bagaikan’ kekal sebagai bukan ancaman akidah, rohani mahu pun fizikal bagi segelintir pihak yang memiliki jawatan yang tinggi.
Sedangkan hari ini di Malaysia sendiri, banyak sahaja kandungan daripada golongan ‘memondan’ sebenarnya yang boleh diambil tindakan tegas namun rakyat melihat sebaliknya dan kritikan banyak bertebaran.
Di Malaysia, salah agensi harapan rakyat yang difikirkan sesuai untuk menghapuskan budaya ini adalah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana mereka mempunyai bidang kuasa khas.
Namun sepanjang menyoroti perjalanan dan gerak kerja SKMM, selain bertindak sebagai badan penasihat kepada rakyat mengenai bahayanya dunia digital, agensi itu hanya pernah memerangi laman judi atas talian.
Walau bagaimanapun, terdapat seperkara lagi yang harus dipandang serius oleh SKMM jika mahu hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mewujudkan komponen Keluarga Malaysia disambut baik.
Caranya, SKMM perlu mengambil tindakan tegas ke atas content creator yang sering membuat kandungan berunsur jelek, mengandungi elemen LGBT dan mempromosikan fahaman baharu hidup pada zaman moden.
Mungkin pada mereka, golongan ‘memondan’ ini sekadar membuat kandungan di laman peribadi sedangkan kesannya adalah amat buruk kepada banyak generasi dan perlakuan mereka jelas melanggar hak asasi manusia.
Ini kerana yang pertama perbuatan mereka ibarat mempromosikan gaya hidup songsang dan menggalakkan lebih ramai orang Melayu bersikap terbuka ke atas generasi baharu yang melanggar hukum Allah SWT.
Bagi rakyat yang tiada kuasa namun sanggup beratur semasa pilihan raya umum, harapan rakyat tidak banyak dan tidak melampau iaitu laksanakanlah amanah dan tanggungjawab mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Baru-baru ini, usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman tampil dengan satu video baharu seolah-olah sedang beronani dan kelakuan itu dikecam netizen.
Namun kecaman netizen tetap tidak memberi apa-apa makna sekiranya SKMM sekadar memanggil bagi tujuan siasatan dan nasihat namun tidak disulami dengan pengajaran yang keras seperti penutupan kekal akaun mereka yang melanggar undang-undang dan norma masyarakat Malaysia!