Manusia diuji dengan pelbagai penyakit zahir dan batin sebagai sebahagian dari aturan hidup di dunia. Setiap penyakit ada ubatnya melalui pelbagai kaedah dan pendekatan yang berbeza.
Mandi Tabal antara pendekatan yang dilakukan oleh orang Melayu bagi mengubati penyakit panahan mata atau orang Arab sebut sebagai ‘penyakit ain’ dan orang Inggeris menamakan sebagai ‘evil eye’.
Ramai orang berpendapat bahawa ‘Mandi Tabal’ adalah amalan melibatkan jin dan syaitan lalu menamakannya sebagai ‘Mandi Tabal Jin’.
Pandangan serong tersebut mungkin disebabkan andaian yang dibuat hanya berdasarkan pengistilahan dari perkataan Inggeris dan tidak membuat rujukan melalui al-Quran dan hadis.
Kenyataan tersebut merupakan tohmahan terhadap orang Melayu dengan mengatakan mereka mengamalkan ilmu sihir dan syirik serta khurafat.
Maka itu tulisan ini cuba untuk membincangkan beberapa perkara asas mengenai penyakit zahir dan batin serta pelbagai kaedah perubatan yang lazimnya dilakukan oleh orang Melayu terutamanya amalan ‘Mandi Tabal’.
Terdapat pelbagai penyakit yang menimpa diri manusia di mana ia menjadi sebahagian ujian bagi kehidupan manusia di dunia.
Lazimnya terdapat dua jenis penyakit umum yang menimpa manusia iaitu penyakit zahir dan penyakit batin.
Penyakit zahir adalah berkaitan dengan anggota tubuh badan yang disebabkan oleh kuman sama ada virus atau bakteria. Antara lain serangan kuman juga boleh terjadi di luar permukaan kulit dan ianya mudah kelihatan.
Serangan kuman juga berlaku ke atas anggota dalaman badan manusia yang bergerak menerusi aliran darah dengan menyerang sebahagian anggota dalaman yang terdedah dengan kemungkinan jangkitan kuman tersebut.
Namun begitu terdapat juga penyakit zahir dalam badan manusia disebabkan oleh serangan jin dan syaitan yang bertugas untuk merosakkan anggota dalaman badan.
Serangan jin dan syaitan terhadap manusia ialah melalui tiga cara iaitu dalam bentuk saka, sihir dan santau.
Penyakit batin adalah berkaitan dengan roh atau jiwa manusia yang disebabkan oleh gangguan makhluk yang sukar untuk digambarkan melalui peranti atau alatan canggih moden.
Terdapat dua jenis penyakin batin iaitu yang pertama jin dan syaitan dan yang kedua disebabkan oleh sejenis makhluk tertentu yang Allah swt jadikan dan beberapa nama disebut oleh orang Melayu sebagai ‘tulah’, ‘badi’, ‘ain’ atau ‘panahan mata’ dan sebagainya.
Tulah adalah kecelakaan atau kesukaran batin tertentu yang disebabkan oleh kutukan berikutan perbuatan derhaka, tidak taat, tidak hormat seorang anak kepada ibu dan bapa, seorang isteri kepada suami, seorang murid kepada guru dan sebagainya.
Badi pula adalah kecelakaan atau kesukaran batin yang dialami oleh seseorang atas perbuatan membunuh manusia atau haiwan tanpa sebab musabab yang kukuh.
Penyakit batin akibat tulah, badi dan panahan mata tidak melibatkan kesakitan jasad tetapi melibatkan kemurungan dan ketidakselesaan kepada batin yang berkemungkinan menjadi penghalang kepada kemajuan dalam menjalani kehidupan.
Penyakit ‘ain’ atau panahan mata adalah penyakit yang terjadi akibat dari rasa cemburu dalam hati si pemerhati terhadap orang yang diperhatikan atau pemilik barangan yang diperhatikan.
Akibat dari perlakuan tersebut, ia tidak hanya mendatangkan sakit atau penyakit malah akan menimbulkan perasaan gelisah yang mengganggu tumpuan pada pekerjaan, kehidupan, kerjaya dan sebagainya.
Sebagaimana yang diamalkan oleh orang Melayu, ‘Mandi Tabal’ langsung tiada kaitannya dengan jin dan syaitan, namun ia kaitan dengan penyakit yang menyerang roh atau jiwa manusia berikutan rasa iri hati.
Oleh itu kaedah rawatan penyakit ini berbeza dengan rawatan sakit yang disebabkan oleh jin dan syaitan.
Permasalahan penyakit ain ini terkandung dalam firman Allah swt melalui al-Quran, surah Al-Qalam ayat 51 yang bermaksud “Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian)…….”.
Terdapat beberapa potongan hadis yang menyatakan perihal penyakit panahan mata tersebut sebagaimana dalam Sahih Muslim : 2187, Sahih Muslim : 5831 dan sebagainya.
Manakala dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah bin Sahil bin Hunaif dalam Sunan Ibn Majah : 2828, Nabi Muhammad saw yang telah memandikan Sahil bin Hunaif bagi mengubati penyakit panahan mata.
Manakala dalam Sunan al-Nasaie : 10036 ada menyatakan antara kaedah untuk menghindari penyakit panahan mata adalah bertabarruk dengan Surah al-Falaq : ayat 1-5.
Ar. Dr. Mastor Surat,
Kiyai Luhur.