Sejarah

Sebelum Wujud Malaysia, Sabah Sudah Sertai Sukan Olimpik

Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun bakal disambut beberapa hari lagi.

Ia adalah sambutan bagi meraikan pembentukan negara berdaulat Malaysia yang terdiri daripada 3 komponen utama iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Pembentukan Malaysia telah diisytiharkan secara rasminya pada September 1963 setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold disiapkan dan dibentangkan pada tahun sebelumnya.

Namun, terdapat satu fakta menarik yang mungkin tidak diketahui umum iaitu, Sabah pernah menyertai Kejohanan Sukan Olimpik iaitu sebuah kejohanan bertaraf dunia.

Sabah telah menyertai Kejohanan Sukan Olimpik Tahun 1956 yang diadakan di Melbourne, Australia sebagai sebuah negara dengan menggunakan nama rasminya ketika itu, iaitu Borneo Utara.

Sabah sebagai Borneo Utara ketika itu ialah sebuah negara berstatus negara protektorat di bawah lindungan Great Britain.

Dan benderanya juga mempamerkan bendera kecil Great Britain di sudut atas kiri dan logo rasmi Gabenor Koloni Mahkota British Borneo Utara.

Sabah telah menghantar 2 orang atlet pada kejohanan berprestij tersebut dan kedua-dua atlet tersebut bertanding dalam acara Lompat Kijang.

Mereka berdua ialah Gabuh Piging dan Sium bin Diau mewakili keseluruhan kontingen negara Borneo Utara.

Kedua-dua atlet tersebut pulang tanpa membawa sebarang pingat namun rekod mencatatkan bahawa mereka berjaya mara sehingga ke pusingan akhir dan berada dalam kedudukan bawah 30.

Ia merupakan pencapaian yang membanggakan pada ketika itu dan Gabuh adalah pemegang rekod kebangsaan Malaysia acara lompat kijang selama 23 tahun.

Gabuh yang berasal dari Tambunan, Sabah mencatatkan rekod tersebut pada tahun 1963 setelah pembentukan Malaysia.

Kini, atlet-atlet Sabah menyertai Kejohanan Sukan Olimpik di bawah satu bendera  dan satu nama sebagai sebahagian daripada kontinjen atlet Malaysia.

Maklumat sebegini seharusnya diwar-warkan kepada umum sebagai satu cara untuk kita menghargai kepelbagaian yang menjadikan negara kita Malaysia, sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni.

Sempena Hari Malaysia yang bakal disambut dalam beberapa hari lagi, marilah kita semua bersatu padu dan bergerak maju ke hadapan di bawah satu payung dengan slogan “Keluarga Malaysia”.

Baca juga Kemahuan Rakyat Sabah & Sarawak Membawa Kepada Pembentukan Malaysia

Tonton Adakah Kita Pernah Dijajah?

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker