Isu Semasa

Sebelum Pembentukan Malaysia Lagi Tanah Melayu Sudah Sekular

Betul ke?

Orang Melayu perlu sedar bahawa dia hanya bergelar orang Melayu apabila dia beragama Islam.

Buktinya, Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan orang Melayu sebagai “mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan Bahasa Melayu…”.

Orang Melayu sahajalah satu-satunya bangsa yang mempunyai syarat dimana untuk bergelar Melayu mestilah beragama Islam, dan ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dan Perlembagaan Persekutuan sendiri ruhnya adalah Islam.

Ini terbukti melalui sumpah Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 37 Bahagian 1 Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan di mana Baginda harus melafazkan,

Wallahi: Wabillahi: Watallahi:

… Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.”

Manakala semua Raja-Raja Melayu adalah Ketua bagi Agama Islam di negeri dan jajahan takluk masing-masing.

Maka, sudah terang lagi bersuluh, faktanya, Melayu mesti Islam, tidak dapat dipisahkan. Ini kerana budaya dan nilai hidup Melayu sendiri adalah berpaksikan pada nilai-nilai dalam Islam.

Sehingga terbit kata-kata biar mati anak, jangan mati adat. Setiap sisi kehidupan orang Melayu adalah berpandukan adat yang sentiasa berpaksi kepada syarak Islam.

Begini bunyi kata-kata tersebut:

Biar mati anak jangan mati adat,

Adat bersendikan syarak,

Syarak bersendikan Kitabullah,

Syarak mengata, adat memakai,

Cermin yang tidak kabur,

Pelita yang tidak padam.

Dalam solat, kita membaca doa iftitah di permulaan solat yang membawa maksud “Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanya pada Allah tuhan seru sekelian alam…”.

Itulah perjanjian antara seorang hamba dengan Pencipta-Nya yang menunjukkan orang Melayu sentiasa mendahulukan perintah-perintah Allah dalam agama dan kehidupan.

Kehidupan seorang Melayu Islam tidak dapat dipisahkan antara kehidupan dunia dengan agama. Jika tidak keIslamnya akan menjadi tanda tanya.

Menurut catatan Portugis ketika menjajah Melaka menyatakan orang Melayu sangat kuat berpegang kepada al-Qur’an dan al-Hadith.

Catatan sejarah juga menukilkan bahawa Orang Melayu di Tanah Melayu semenjak dahulu tidak pernah menyembah berhala atau patung malah mereka berpegang kepada agama tauhid berakidah Hanif.

Malah kajian arkeologi di Tanah Melayu juga tidak menemui sebarang bentuk patung pemujaan.

Cara hidup orang Melayu adalah cara hidup bermuafakat dan bertoleransi tinggi sepertimana peribahasa Melayu “seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak”.

Perbuatan-perbuatan yang bercanggah syarak seperti sumbang mahram, hubungan sesama jantina atau pengguguran anak secara haram jelas merosakkan nilai-nilai harmoni dalam masyarakat Melayu yang berpaksikan syarak.

Berasaskan realiti sejarah pembentukan negara ini, jati diri orang Melayu jelas menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan bukan negara sekular.

Oleh yang demikian, adalah sangat menghairankan apabila Haris Ibrahim menyatakan bahawa Tanah Melayu sepatutnya menjadi sebuah negara sekular.

Beliau harus ingat, prinsip pertama dalam Rukun Negara ialah “Kepercayaan kepada Tuhan”.

Baca juga: Melayu Moden Terputus Ilmu Tasawwuf Menepati Agenda Licik Pentaksub Dajjal
Tonton: Hiburan Dan Jati Diri Bangsa? 
Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker