Sejarah

Rumah Negeri Sembilan Bukan Ikut Seni Bina Minang Tetapi Riau Sumatera

Tidak ramai yang sedar rumah tradisional Negeri Sembilan bersebelahan Istana Ampang Tinggi di Muzium Negeri sebenarnya adalah rumah milik anak kepada YTM Dato’ Klana Petra, Allahyarham Tunku Syed Ismail.

Tunku Syed Ismail adalah anak lelaki ketiga kepada YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman Undang Luak Sungei Ujong dengan isterinya Cik Kundur Wan Jaebah.

Rumah yang sarat dengan seni bina halus Negeri Sembilan ini dibina pada abad abad ke-18. Asalnya terletak di Kampung Air Garam di Mambau (kini sudah tiada) pada kedudukan strategik berdekatan Sungai Linggi yang menjadi laluan pengangkutan utama ketika itu, sebelum dipindahkan ke Taman Tasik Seremban (dahulu dikenali Lake Garden) pada awal 1990-an dan kini diletakkan di Muzium Negeri.

Ia pernah dibuka dan dipasang semula sekurang-kurangnya empat kali sejak kira-kira 150 tahun lalu dan rumah tradisional ini pernah dipamerkan lebih setahun di London, United Kingdom pada 1924. Masih berada dalam keadaan kukuh dan sempurna di Muzium Negeri, rumah itu yang diangkat sebagai Rumah Contoh Negeri Sembilan dan diiktiraf sebagai Bangunan Warisan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) pada 2013.

Pengiktirafan itu sesuai dengan nilai sejarahnya yang penting kepada jati diri masyarakat negeri ini kerana dibina sebagai kediaman pemerintah Sungei Ujong dengan falsafah dan seni bina Melayu Negeri Sembilan yang tinggi.

Rumah yang dibina menggunakan kayu berkualiti tinggi seperti cengal dan jati ini sangat unik kerana tidak menggunakan paku, sebaliknya menggunakan tanggam dan pasak, sekali gus membolehkan ia dibuka dan dipasang semula tanpa merosakkan struktur dan seni binanya.

Antara bahagian penting dalam rumah tradisional Negeri Sembilan itu adalah serambi, ruang ibu, bilik kelamin dan loteng, selain dapur yang berada di belakang rumah di bahagian luar.

Pintu rumah direka agak kecil dan rendah, manakala bilik pula sengaja tidak dibina banyak di dalam rumah, sesuai dengan falsafah dan amalan gaya hidup Melayu lama Negeri Sembilan.

Tujuan pintu dibina rendah supaya setiap tetamu yang masuk terpaksa menundukkan kepala, menandakan hormat kepada tuan rumah. Rumah tradisional ini hanya ada satu bilik untuk pasangan pemilik atau anak perempuan sahaja kerana kebiasaannya anak lelaki lebih banyak meluangkan masa, termasuk tidur di masjid untuk mendalami agama Islam, sebelum keluar merantau apabila dewasa.

Bahagian serambi yang dikhususkan untuk orang lelaki dibahagikan kepada dua iaitu serambi hujung menempatkan pembesar atau pemimpin masyarakat, manakala serambi pangkal untuk orang muda ketika majlis keraian atau mesyuarat.

Ruang rumah ibu atau ruang tengah dikhaskan untuk golongan wanita, manakala loteng wajib ada untuk dijadikan stor bagi menyimpan bekalan makanan serta barangan berharga, selain menjadi tempat persembunyian anak perempuan dan ibu jika diserang musuh.

Rumah berkenaan memainkan peranan penting sebagai rujukan utama identiti sebenar rumah tradisional Negeri Sembilan, yang berbumbung panjang dengan sedikit bentuk lentik di hujungnya. Ia juga bukti artifak perbezaan rumah seni bina Minangkabau dengan rumah Melayu Negeri Sembilan.

Rumah tradisional Negeri Sembilan bukan berbumbung lentik seperti tanduk kerbau atau dikenali sebagai bumbung gondang kerana bentuk itu sebenarnya adalah rumah Minangkabau yang banyak terdapat di Payakumbuh, Sumatera Barat.

Ramai orang menyangka rumah Minangkabau sama seperti rumah Negeri Sembilan. Itu tidak tepat kerana bumbung rumah Negeri Sembilan berbentuk panjang dan hanya lentik sedikit pada bahagian hujung.

Nota 1: Tunku Syed Ismail mendapat pendidikan di Sekolah Tinggi Melaka dan Raffles Institution Singapura. Beliau berkahwin dgn anak perempuan Tunku Ahmad Tunggal dan anak saudara kepada Dato’ Bandar Sungei Ujong.

Nota 2: YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman mempunyai empat anak lelaki iaitu 1)Syed Muhammad; 2)Syed Ali; 3)Syed Ismail; 4)Syed Hassan

Nota 3: Dipamerkan juga gambar Balai Undang Sungei Ujong kepada YTM Dato Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusoff Dan YTM Dato Klana Petra Maa’mor terletak di Pantai Batu 7

Nota 4: Dipamerkan juga gambar Balai Undang Sungei Ujong kepada YTM Dato Klana Petra Bador, YTM Dato Klana Petra Leha Dan Juga YTM Dato Klana Petra Kawal terletak di Pantai Batu 9

Nota 5: Dimana pula boleh mengatakan ia senibinaan minangkabau??? 🤔

Sumber penceritaan:
1) Rumah 150 tahun masih teguh, Ifwan Tun Tuah, Berita Harian, 31 Mac 2016
2) Bangunan warisan kebangsaan, laman web rasmi Majlis Bandaraya Seremban, 2022
3) Mendapat pengiktirafan Oleh Jabatan Warisan Negara 2013 sebagai Rumah asal melayu Negeri Sembilan dan disahkan hasil seni dan binaan ada persamaan dengan senibinaan Riau.
4) Balai Undang di Negeri Sembilan 1933-2004, Faridzwan Abdul Ghafar, 2019
5) Pengenalan umah tradisional melayu, NA Halim
6) Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/08/877177/sedia-rm4-juta-perbaiki-bangunan-dan-rumah-warisan

Kredit : Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button