SIAPA sangka, sebuah lagu rakyat yang dicipta berdekad lamanya, kini diraikan semula. Penyanyi, Roslan Madun tentunya insan paling gembira apabila lagu yang judulnya Lemak Manis itu tular dan disambut baik generasi sekarang.
Lagu tersebut menyimpan cerita dan sejarahnya sendiri. Sebelum dirakam pada tahun 2002, ia sudah menjadi antara lagu yang sering dipersembahkan Roslan dalam acara dan keramaian.
“Sebenarnya, lagu ini sudah lama saya nyanyikan, sejak tahun 1982 lagi. Masa itu, saya persembahkan hanya dengan iringan pukulan rebana.
“Malah ia juga menjadi antara lagu rakyat yang saya nyanyikan ketika membuat persembahan di luar negara seperti Jepun, Indonesia dan Brunei.
“Versi sebelum ia dirakam pada 2002 tidaklah sama dengan apa yang kita dengar sekarang. Liriknya sebelum ini memuatkan pantun-pantun berlainan, yang saya selitkan secara spontan ketika mempersembahkannya. Dalam versi rakaman, saya selitkan tiga pantun yang dikarang penyair, T. Alias Taib untuk menyempurnakan lagu itu,” katanya kepada saya, baru-baru ini.
Roslan menganggap sambutan generasi sekarang terhadap Lemak Manis sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka. Katanya, dia tidak pernah menduga lagu itu tular selepas lebih dua dekad ia disempurnakan.
“Keadaan ini saya ibaratkan seperti roda yang berpusing. Siapa sangka ia popular semula. Inilah yang dikatakan rezeki.
“Bukan lagu ini sahaja, bahkan lagu lain juga. Contoh seperti lagu Umpan Jinak di Air Tenang yang dinyanyikan Datuk Ahmad Jais kini dipopularkan semula oleh Dayang Nurfaizah.
“Sebab itu saya mahu terus istiqamah memperjuangkan lagu rakyat dan tidak akan beralih kepada genre lain,” ceritanya.
MINAT SEJAK KECIL
Minat terhadap nyanyian dan syair tertanam dalam diri anak kelahiran Temerloh, Pahang ini sejak dia kanak-kanak lagi.
“Ketika darjah empat, saya antara pelajar yang sering diminta cikgu untuk menyanyi di hadapan pelajar lain sebelum kami semua dibenarkan pulang. Memang saya seronok menyanyi.
“Tapi, saya bukanlah lahir dalam keluarga berdarah seni. Ayah saya guru agama yang juga seorang Qari. Dia tidaklah menggalakkan saya menyanyi namun tidak juga melarang.
“Ketika usia belasan tahun, saya mula menyanyi bersama band kugiran membuat persembahan sempena majlis perkahwinan. Waktu itu muzik Pop Yeh Yeh sangat popular,” katanya.
Roslan berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1983 dan bekerja sebagai wartawan di sebuah akhbar sehingga tahun 1989.
Sepanjang penglibatan, Roslan pernah menulis tentang penghibur kesayangan ramai, Allahyarham Sudirman Arshad yang juga anak kelahiran Pahang.
“Allahyarham membaca artikel saya dan menggunakan saranan-saranan yang saya tulis di dalamnya.
“Arwah selepas itu mengundang Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said membaca puisi dalam satu acara kelolaannya,” kongsi Roslan.
Dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai wartawan, Roslan tidak melupakan kecintaannya terhadap teater dan persembahan lagu rakyat.
Malah, dia semakin aktif sehingga membuat persembahan ke luar negara termasuk Jepun, Korea, Indonesia dan banyak lagi.
“Saya memutuskan untuk berhenti kerja (wartawan) pada tahun 1989 dan beralih kepada dunia perfileman. Penglibatan awal dalam bidang terebut adalah menerusi filem Riang Tirana sebagai pengurus produksi dan pengarah seni.
“Kemudian saya berjinak-jinak dalam dunia penulisan skrip drama dan melakukan sedikit kerja lakonan sebelum terjun ke dalam bidang pengarahan pada tahun 1995. Drama pertama arahan saya adalah Wajah Kembali dibintangi Wan Hanafi Su dan Asmahani Husin.
“Saya mengarahkan 20 drama sebelum mengundurkan diri pada 2001. Namun, pada 2014 saya kembali mengarah semula,” kongsinya.
MENYANYI DEPAN MAHARAJA JEPUN
Roslan menceritakan kenangan mengharumkan nama negara dalam pertandingan antarabangsa yang disertainya. Antara yang dikongsikan adalah ketika mengangkat nama Malaysia di bumi Rusia.
“Paling istimewa adalah kemenangan di pertandingan lagu rakyat seluruh dunia dekat Rayzan, Rusia pada 2021. Ketika itu saya membawa lagu seloka dengan hanya diiringi alat muzik rebana.
“Selain itu, saya satu-satunya rakyat Malaysia yang diiktiraf kerajaan Indonesia sebagai Maestro Syair Nusantara dalam penganugerahan yang berlangsung pada tahun 2018 di Kota Tanjung Pinang, Riau Indonesia.
“Pencapaian ini mengingatkan saya kepada perjuangan. Saya merantau ke sekitar nusantara termasuk Sumatera dan Riau untuk mengangkat sastera lisan dan persembahan. Ini adalah perjuangan dan bukan didorong oleh pendapatan semata-mata,” katanya.
Dalam perkongsiannya, Roslan turut menceritakan pengalaman membuat persembahan di hadapan pemimpin-pemimpin ternama dalam dan luar negara.
“Yang paling tak dapat saya lupakan adalah menyanyi di hadapan bekas maharaja Jepun, mendiang Hirohito pada 1989. Saya juga tidak dapat lupakan kenangan berkongsi pentas bersama bekas Menteri Besar Pahang, Tan Seri Datuk Seri Adnan Yaakob yang cukup meminati bidang seni.
“Selain itu, kenangan paling berharga adalah ketika berkongsi pentas dengan Almarhum Sultan Ahmad Shah yang juga pencinta lagu-lagu rakyat,” kongsinya.
ISTIQAMAH DAN PERJUANGAN
Besar sumbangan Roslan, 70, dalam bidang seni budaya tempatan. Katanya, perjuangannya tidak terhenti, malah terus istiqamah dalam pembabitan.
“Saya istiqamah dalam bidang sastera tradisi Melayu kerana ia tinggalan para ulama.
“Konteks tradisi pada saya adalah lisan seperti pantun, gurindam, syair, seloka, nazam dan sebagainya. Bila dikaji, saya dapati Gurindam ada ilmu tauhid, nazam ada ilmu fiqah, syair (tasawuf) dan pantun (intelektual Melayu). Kalau nak tengok kecerdikan orang Melayu, bacalah pantun klasik.
“Ini sebabnya saya terus berjuang untuk seni tradisi. Tidak dinafikan, perlu ada pendapatan (wang). Kerana itu, saya jadi pengarah dan penerbit filem, tulis skrip, jadi pelakon dan sebagainya,” katanya.
Tambah Roslan, beliau juga bakal menerbitkan sebuah filem yang dihasilkan untuk tayangan festival luar negara.
“Sebuah filem dokumentari drama bertajuk Pelayaran Sang Maestro yang saya arah dan tulis bersama beberapa ilmuwan tempatan. Ia mengupas tentang sejarah Melayu.
“Pada masa sama, saya sedang menyiapkan skrip filem tentang kerajaan empayar Melaka.
“Mungkin, nama saya tidak glamor atau popular. Namun, saya hadir dalam dunia independent (indie) dan belakang tabir,” jelasnya.
Kredit: Utusan.com.my