Selain Covid-19, ada satu lagi marabahaya yang sedang melanda masyarakat Malaysia, malah lebih parah daripada virus Covid-19, iaitu penyakit rosak akhlak.
Kayu ukur kepada masalah ini adalah jika dilihat kebanyakan generasi kini, mereka telah mula hilang sifat malu; berani memunculkan diri dengan memperlihatkan tubuh badan mereka dan beraksi ghairah di depan skrin.
Tidak kurang juga yang berani membuat kandungan-kandungan di media sosial dengan mempermainkan budaya Melayu, lantang menghina institusi beraja, berjenaka dan merendahkan hukum-hukum agama.
Belum lagi dilihat kepada tingkat yang lebih tinggi, pengamalan rasuah yang berleluasa kini seperti menjadi satu tabiat yang wajib ada di kalangan pemimpin.
Di satu sudut yang lain pula, para agamawan juga kurang memainkan peranan, sesetengahnya hanya memikirkan untuk mendapatkan kedudukan dan harta.
Persoalannya disini, mengapa mereka ini berani memperlakukan sedemikian rupa? Adakah persekitaran dan ekosistem di dalam negara ini yang memberi peluang kepada mereka untuk bertindak sebegitu?
Siapa yang perlu dipersalahkan?
Kurangnya pengamalan ajaran agama Islam dan juga budaya Melayu merupakan salah satu faktor yang besar menjadi asbab perkara ini berlaku.
Dengan dunia yang tiada sempadan dan era globalisasi ini, kerosakan akhlak memang menjadi tujuan bagi mereka yang mahu mencipta satu peradaban yang sama, memaksa manusia untuk mengikut telunjuk supaya manusia senang dikawal.
Mungkin kerana terlalu terpengaruh dengan media sosial adalah salah satu punca penyakit rosak akhlak ini berleluasa.
Ibu bapa pula terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak mereka sehinggakan perihal anak pun ibu bapa tidak ambil peduli.
Kebanyakan ibu bapa pada zaman ini juga amat tidak menitik beratkan adab-adab yang diamalkan dalam budaya melayu, apatah lagi hal-hal agama yang amat jauh sekali diamalkan.
Amat mengecewakan apabila ramai ibubapa kini lebih gemar untuk mendidik anak mereka untuk berbudaya barat daripada berbudaya Melayu itu sendiri kerana takut digelar kolot dan ketinggalan zaman.
Sehinggakan ada anak-anak Melayu yang tidak tahu berbahasa Melayu langsung walhal di dalam kad pengenalan mereka tertera ‘Melayu’.
Bukan ibubapa sahaja yang harus dipersalahkan dalam hal ini, para pemimpin juga tidak memainkan peranan mereka untuk menangani masalah ini. Rata-rata di kalangan mereka tidak menunjukkan minat mungkin kerana hal ini tidak mendatangkan apa-apa kelebihan.
Isu yang lebih besar daripada ini adalah apabila pemimpin yang membiarkan anak bangsa mereka terus hanyut ke dalam kancah kerosakan ini juga tidak ditegur.
Tugas untuk menegur pemimpin sebenarnya diletakkan ke atas bahu para-para ulama. Inilah yang sepatutnya diamalkan di dalam sebuah negara Islam.
Lebih mengecewakan, ulama kini tidak mempunyai kualiti sehebat ulama-ulama terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan bangsa dan negara mereka.
Lihat sahaja seperti Mat Kilau, Dato Bahaman dan Tok Janggut. Mereka ini berjuang sehingga ke titisan darah dan keringat terakhir untuk menegakkan agama Islam, bangsa dan tanah air mereka.
Kebanyakan ulama kini hanya berdiam diri akan hal-hal yang berlaku tanpa mengeluarkan apa-apa kenyataan terhadap pemimpin yang tidak mempedulikan masyarakat.
Namun demikian, ada juga ulama yang sangat prihatin akan hal ini tetapi mereka pula tidak diberi peluang untuk menegur para pemimpin.
Jika ada yang berani berbuat demikian, mungkin, ulama tersebut esoknya akan dihumban ke dalam penjara atau periuk nasi mereka pula akan ditutup.
Satu lagi faktor adalah kerana ulama yang popular dalam kalangan masyarakat sesetengahnya merupakan ulama yang palsu. Ulama yang bertopeng-topeng di depan masyarakat.
Namun apabila topeng mereka dibuka, perilaku mereka akan berubah 360 darjah. Para ulama yang palsu inilah yang telah menconteng arang dan merosakkan nama institusi agama.
Segelintir mereka pula ada yang terpalit dengan isu rogol, ada yang terbabit dengan isu melobi duit-duit haram dan sebagainya dan seterusnya menyebabkan masyarakat mula beralih arah dan tidak mempercayai institusi agama ibarat kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Akibatnya, telah ada golongan–golongan yang sudah berani tampil menghina agama Islam baik dari orang Islam itu sendiri mahupun orang-orang Islamofobia.
Hentikan virus dari terus merebak
Untuk menyelesaikan perkara ini sebelum ianya terus menjadi virus menghancurkan umat, beberapa perkara mestilah diambil kira.
Kawalan kendiri itu perlu, bukan sahaja untuk mengelakkan virus Covid-19, bahkan ianya amat perlu untuk memastikan penyakit rosak akhlak ini tidak terus menular di dalam diri individu dan masyarakat.
Pertama, ulama-ulama yang sebenar mesti bebas dan tidak terikat dengan mana-mana institusi mahupun institusi beraja, tiada gaji yang diberi kepada mereka yakni istilah bekerja itu tidak ada.
Namun, pemimpin-pemimpin bebas untuk berjumpa dengan mereka untuk mendapatkan nasihat, seperti apa yang terjadi semasa zaman Imam Ghazali.
Keduanya, mereka juga bebas untuk menegur mana-mana pemimpin yang memuat kesalahan. mereka tidak sepatutnya dikenakan hukuman di atas teguran membina yang mereka ingin utarakan.
Kata Imam Ghazali, ciri-ciri dari ulama akhirat adalah istiqamah aqidah, ibadah, akhlak dan dakwahnya, takutnya hanya pada Allah.
Sebaliknya, ciri ulama duniawi adalah selalu menginginkan kekayaan (hidupnya bermewah-mewah) dan kehormatan duniawi. Celakanya, mereka tidak segan-segan berkhianat pada hati nurani, asalkan tujuan mereka tercapai.
Ulama tersebut bergaul bebas dengan raja-raja dan pegawai pemerintah, penguasa, serta memberikan sokongan moral terhadap tindakan mereka, tak peduli baik atau buruk.
“Sesungguhnya, rosak rakyat kerana rosaknya pemimpin, rosaknya pemimpin kerana rosaknya ulama. Dan kerosakan ulama disebabkan cintanya kepada harta benda dan kedudukan.”