Dalam Islam, terdapat dua hadis sahih mengenai saranan Baginda, Nabi Muhammad SAW untuk kita semua sebagai umatnya mempelajari memanah.
Misalnya daripada Salamah bin al-Akwa’ RA berkata:
مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى نَفَرٍ مِنْ أَسْلَمَ يَنْتَضِلُونَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ارْمُوا بَنِي إِسْمَاعِيلَ، فَإِنَّ أَبَاكُمْ كَانَ رَامِيًا ارْمُوا
Maksudnya: “Nabi SAW telah berjalan di hadapan sekumpulan daripada suku Aslam yang sedang berlumba (dalam menunjukkan kemahiran memanah)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Panahlah, wahai bani Ismail kerana sesungguhnya nenek moyang kamu adalah ahli dalam memanah maka panahlah”. [Riwayat al-Bukhari (2899) (3373) (3507)]
Sementara itu, daripada Uqbah bin Amir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ [الأنفال: 60]، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ
Maksudnya: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah)”. [Riwayat Muslim (1917)]
Disebabkan saranan baginda, Nabi Muhammad SAW adalah jelas, maka ramai umat Islam daripada satu zaman kepada satu zaman yang lain menghidupkan budaya ini dengan objektif semoga memperoleh pahala.
Kompbat Tertubuh Di Batu Pahat, Johor
Di Johor, Komuniti Pemanah Batu Pahat (Kompbat) ditubuhkan atas galakan Riadhah Sunnah kerana sabda Baginda, Nabi Muhammad SAW menjanjikan dalam sunnah pasti ada kejayaan.
Ujar Pengasas Kompbat, Azhar Aziz, Kompbat adalah sebuah komuniti pemanah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan bersatu dalam persahabatan serta Riadhah Sunnah Memanah.
Konsep Riadhah Sunnah Memanah menjadi asas aktiviti Kompbat dan ia berkesinambungan dari galakan dan rangsangan komuniti pemanah serantau di seluruh negara.
“Komuniti ini bukan sekadar berada dalam Malaysia atau di negara jiran seperti Indonesia malah masyarakat harus tahu jaluran aktiviti ini turut rancak dimainkan sehingga ke Turki dan Eropah,” katanya.
Nabi Muhammad SAW Sanggup Ke Gelanggang Berbeza
Baginda, Nabi Muhammad SAW meraikan pertandingan memanah sehingga jika terdapat dua gelanggang pertandingan memanah berlainan lokasi, Baginda sanggup hadir ke kedua-dua gelanggang itu.
Mesejnya cukup jelas bahawa Baginda, Nabi Muhammad SAW sendiri sanggup turun demi ihtiram (memuliakan, menghormati, meraikan) pelawaan para sahabat yang juga bertanding dalam pertandingan memanah.
Dari sudut ini, Kompbat menggerakkan persaudaraan komuniti pemanah (ukhuwah) yang berada dalam daerah Batu Pahat, Johor dengan pendekatan sunnah dalam bersahabat.
“Kami sedar bahawa kami berbeza dan kadang-kala berkhilaf juga sebagai mana biasanya sebuah keluarga besar yang berbagai-bagai perangainya.
“Namun segala perbezaan itu kami raikan dengan semangat ukhuwah saudara pemanah yang teguh berpaksikan sunnah berjemaah dan bersahabat seperti amalan Baginda, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat,” katanya.
Allah SWT Hadirkan Hambanya Membentuk Satu Pasukan
Mengulas perjalanan awal sebelum Kompbat ditubuhkan, Azhar menjelaskan bahawa semuanya bermula dengan aktivitinya menjual busur dan panah sehingga dapat berkenalan dengan ramai pemanah lain.
“Setelah beberapa tahun, saya lihat sendiri bagaimana aktiviti sunnah memanah yang disulami persahabatan kerana Allah SWT dan RasulNya itu terus subur dengan harmoni khususnya apabila setiap aktiviti diisikan dengan pengisian kerohanian seperti tauhid serta sirah Baginda, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
“Saya kurang pandai dari segi bab itu sebenarnya namun Allah SWT hantarkan dalam kalangan sahabat pemanah dan pelanggan, ada orang-orang yang terbuka hatinya untuk saling berkongsi ilmu-ilmu al-Quran dan sunnah dengan pegangan ahlus sunnah wal jamaah,” ujar Azhar.
Kongsi Azhar lagi, ada ramai juga ahli perguruan seni silat dan insan berilmu dalam bidang agama menyertai komuniti ini bermula dengan bersahabat serta minat yang sama iaitu memanah.
“Setiap kali berkesempatan ketika sesi berlatih bersama-sama di lapangan sasar, kami cuba isikan dengan sedikit perkongsian Tazkirah Hadis Dan Sunnah Rasulullah serta tafsir ayat-ayat al-Quran secara Talaqqi,” katanya.