Usai menonton Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dalam tayangan perdananya semalam, penulis berpendapat filem ini sarat dengan tamparan jati diri bangsa.
Boleh dikatakan, inilah filem pertama yang berjaya membuatkan penulis menangis dalam tempoh 10 minit pertama sebelum ia memasuki fasa yang laju.
Fasa yang laju terjadi kerana filem ini sudah bermula dengan ketegangan apabila Bristish termasuk askar-askar upahan membunuh orang-orang Melayu.
Baik dari segi lontaran dialog, ekspresi muka, saat babak yang berjalan, jika anda menonton sebagai seorang Melayu dengan penuh penghayatan, anda mungkin boleh menangis.
Tahan Geram Sehingga Menangis
Hal ini demikian kerana penulis sendiri cukup terasa, menahan geram dan air mata yang mengalir itu ibarat betapa bencinya penulis ke atas kekejaman British.
Sungguh.. penulis tidak malu untuk berkongsi kisah bahawa penulis menangis sebanyak dua kali sepanjang filem ini berlangsung, kerana ia tangisan memikirkan nasib bangsa Melayu.
Dari segi naratif filem atau jalan ceritanya, penulis boleh katakan ia langsung tidak santai. Hampir 80 peratus jalan cerita filem ini sarat dengan aksi persilatan dan pertarungan.
Ia bukanlah sebuah filem yang sempurna tetapi boleh dikatakan cukup bagus kerana sutradara tidak meninggalkan beberapa falsafah penting mengenai warisan orang Melayu.
Misalnya apabila hulu keris berada di dalam bermaksud, seseorang itu datang secara aman dan tidak mahu diganggu atau menimbulkan sebarang pergaduhan.
Namun sebaik sahaja hulu keris dipusingkan ke hadapan, ia memberi mesej, empunya diri sudah tercabar dan sedia untuk bertarung demi agama, bangsa dan tanah air.
Mungkin generasi hari ini tidak begitu memahami perkara ini namun harapnya dengan perkongsian kecil ini, carilah ia semasa menonton Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan kelak.
Peringatan Akidah Dan Tauhid Yang Kuat
Filem ini adalah berkisarkan inspirasi kehidupan seorang pahlawan Melayu yang dikenali sebagai Mat Kilau. Maka suka atau tidak, akan ada beberapa perkara tetap perlu diangkat.
Misalnya Mat Kilau diangkat untuk mengetuai pasukan perang menentang kekejaman British kerana dua perkara iaitu penguasaan ilmu persilatan serta ilmu keagamaan sebagai tunjang.
Ramai orang hari ini mengangkat budaya, warisan serta sejarah orang-orang Melayu namun kita tertinggal pada bahagian yang penting, iaitu mengangkat sama ilmu tarekat dan tasawwuf.
Kebanyakan umat Islam hari ini terlupa tentang rukun agama yang perlu dipasakkan dalam diri serta rohani kerana ia merupakan satu kunci yang takkan terkalah.
Rukun agama mencakupi rukun Islam, rukun iman dan rukun ehsan namun majoriti umat Islam khususnya bangsa Melayu moden tiada ilmu tentang rukun ehsan.
Disebabkan inilah wujud pelbagai masalah kerana kita cuma melaksanakan rukun Islam dan rukun iman, itu pun banyak yang rongak sehingga nafsu lebih menguasai diri berbanding rohani.
Melayu Tak Dipandang Pada Budaya Dan Warisan
Uniknya seseorang Melayu itu bukan hanya dipandang pada budaya dan warisan malah jika kita sekadar mengangkat budaya dan warisan sahaja, kita adalah bangsa yang cukup rugi.
Hal ini demikian kerana seseorang Melayu itu harus menyerahkan diri sebagai hamba Allah SWT mengatasi segala perkara yang ada demi keredaan dan kekuatan yang luar biasa.
Amat malang jika kita sekadar menjadi Melayu yang pandai melihat kemungkaran, kekejaman namun tidak berani bertindak untuk menegakkan keadilan serta kebenarannya.
Ia sedang terjadi hari ini apabila ramai bangsa Melayu melihat kuasa ke atas dunia ini hanya dimonopoli golongan elit dan filem ini jelas memberi tamparan yang cukup besar.
Kerisauan mereka tentang nasib anak bangsa pada hari ini semakin menjadi realiti apabila kita dilemahkan dengan permainan orang luar serta sikap suka berpecah.
Lakonan Mantap & Tak Sesuai Dipertikaikan
Dari segi lakonan, tiada banyak perkara yang sesuai dipertikaikan kerana yang berlakon semuanya orang-orang yang lama serta berpengalaman dalam industri seni di Malaysia.
Paling berjaya hidupkan emosinya, sudah pastilah Beto Kushairy yang menjayakan watak Wahid dan berdepan dengan konflik sebagai seorang suami dan mahu berjuang sebagai keutamaan.
Dari segi pengucapan dialog, ada beberapa bahagian yang boleh dikatakan Datuk Adi Putra yang memegang watak Mat Kilau berjaya meremangkan sanubari.
Lebih-lebih lagi ketika Mat Kilau beristighfar, istighfarnya itu sampai ke telinga kita yang mendengar, lalu terserap ke hati dan kita juga terasa dengan kemarahan sang pejuang itu.
Filem Mat Kilau Wadah Bangkitkan Jati Diri
Kepada anda yang sedang mencari jiwa Melayu yang sudah lama hilang dari dalam diri anda, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan cukup sesuai ditonton.
Namun jika anda sekadar mencari filem untuk berseronok, penuh dengan gelak-tawa atau bersantai-santai, lupakan sahaja hasrat itu kerana kita berada dalam fasa yang genting.
Filem ini cukup serius dan ibaratnya, kita juga turut sama dalam perjuangan itu dan bagi yang menghayati, pasti akan sama-sama terasa kebangkitan pahlawan dalam diri.
Semoga Allah SWT beri rahmat kepada kita yang mencari Allah SWT dan semoga filem ini berjaya menyuntik jiwa bangsa Melayu yang merupakan tuan di Tanah Melayu berdaulat ini.
Tontonlah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan bermula 23 Jun 2022 di pawagam berdekatan dengan kawasan anda!