Dengan Nama Allah yang Maha Penyayang,
Pernah M.Nasir menulis satu lagu berkenaan pencariannya sang empunya si hati emas.
Entah ke mana hilangnya hati-hati emas ini tempat bertakungnya pancaran-pancaran cahaya daripada tuhannya.
Dulu orang-orang Melayu berkain pelikat, berbaju melayu teluk belanga dengan songkok senget di kepala.
Berwajah polos memancarkan tulus dan kudusnya hati-hati mereka, membawa panji-panji menentang Malayan Union dengan kesatuan hati di bawah didikan Dato Onn.
Dulu kita miskin tapi hati kita bahagia kerana kita tidak tahu berdusta.
Hari ini kita berimej korporat, berkereta mewah duduk berpangkat di pejabat serba mewah, mempunyai sijil bergelung-gelung melaung-laungkan seruan untuk menjadi kaya dan berkuasa.
Tetapi hati kita kosong dari hidayah.
Bangsa yang dahulunya adalah pemegang-pemegang panji tauhid akhirnya kelam dan kusam dalam perangkap harta benda.
Kita ibarat seekor hamster gemuk yang dikurung dalam sangkar, berbasikal mengayuh tidak ke mana.
Selepas letih mengayuh kita akan diam sebentar dan mengunyah kacang tak habis-habis.
Betapa sedihnya keadaan ini. Benar-benar diri kita telah menjadi musuh bagi diri kita sendiri.
Guru Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam karyanya getaran jiwa melagukan ”walau hanya sederhana, tetapi tak mengapa, moga dapat membangkitkan, sedarlah kamu wahai insan”
Semoga kita dapat mencari titik tenang dan sunyi dalam hati sehingga kita mampu menghapuskan kegelapan yang meraja.
Wallahualam