Seperti yang ramai tahu sebelum wujudnya negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura, dahulunya Nusantara ini mempunyai pelbagai kerajaan dan tanah jajahan. Sebelum tertubuhnya kerajaan Siak, wilayah ini di bawah kuasa Kesultanan Johor. Namun selepas Kesultanan Johor jatuh, hampir 100 tahun Siak tiada kuasa pemerintahan. Daerah ini diberi kuasa dan dijaga oleh Syahbandar untuk memungut cukai hasil laut dan hutan. Nama ‘Siak’ dikatakan diambil dari nama tumbuhan siak-siak yang banyak di situ.
Kerajaan Siak Sri Indrapura atau lebih dikenali dengan nama Kerajaan Siak adalah sebuah kerajaan Melayu yang wujud pada sekitar tahun 1723 hingga 1946 di Riau, Indonesia. Kesultanan Siak telah diasaskan oleh Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah I, Raja Kecil dari Kerajaan Pagaruyung dan Johor. Baginda merupakan putera kepada Sultan Mahmud Syah II dan isterinya Encik Pong dari Kesultanan Johor.
Sekitar awal tahun 1699, Sultan Mahmud Syah II (Sultan Johor) telah dibunuh oleh Megat Seri Rama. Lalu isteri Sultan Johor, Encik Pong yang hamil melarikan diri ke Singapura lalu ke Jambi. Di dalam perjalanan itulah lahirnya Raja Kecil dan kemudian dibesarkan di Pagaruyung, Minangkabau. Kerajaan Johor waktu itu pula diperintah oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Syah.
Pada 1717, Raja Kecil berjaya merampas semula takhta di Johor namun tidak lama apabila pada 1722, muncul Tengku Sulaiman, putera Sultan Abdul Jalil Riayat Syah menyerang untuk merebut kembali takhta kerajaan Johor. Perang saudara yang besar terjadi antara kedua pihak sehingga banyak kehilangan nyawa, merugikan kedua-dua pihak. Akhirnya pihak Johor undurkan diri ke Pahang manakala Raja Kecil undurkan diri ke Bintan.
Kerajaan Siak ini terletak di daerah Siak, wilayah Riau dengan Buantan menjadi pusat pemerintahannya. Namun pusat pemerintahan Siak bertukar-tukar dari Buantan ke Mempura, ke Senapelan Pekanbaru dan terakhir sekali ke kota Siak Sri Indrapura.
Jadi, selepas Kerajaan Siak tertubuh sebagai sebuah kerajaan baru dengan di bawah pemerintahan raja baru, Sultan Abdul Jalil memperluaskan wilayahnya dengan membangunkan pertahanan kapal-kapal perang di laut. Siak berjaya menguasai kawasan perairan timur Sumatera dengan menawan Mempawah di Kalimantan Barat dan mengawal perdagangan timah di Pulau Bangka.
Baca juga>> Kenapa Melayu Masih Mengemis, Ditindas Dalam Negara Sendiri?
Kerajaan Siak juga menjadi pusat penyebaran agama Islam. Sehinggakan ada yang berpendapat perkataan ‘siak’ yang kita selalu kaitkan dengan orang menguruskan masjid atau orang yang ilmu agamanya tinggi ini berasal dari nama tempat kerajaan Siak ini.
Raja-raja Kerajaan Siak:
- Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (1723–1746)
- Sultan Muhammad Abdul Jalil Jalaluddin Shah (1746–1760)
- Sultan Ismail Abdul Jalil Jalaluddin Shah (1760–1761)
- Sultan Abdul Jalil Alamuddin Shah (1761–1766)
- Sultan Muhammad Ali Abdul Jalil Muazzam Shah (1765–1779)
- Sultan Ismail Abdul Jalil Jalaluddin Shah (1779-1781)
- Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah (1781–1791)
- Sultan As-Sayyid Al-Sharif Ali Abdul Jalil Syaifuddin (1791–1811)
- Sultan As-Sayyid Al-Sharif Ibrahim Abdul Jalil Khaliluddin (1811–1827)
- Sultan As-Sayyid Al-Sharif Ismail Abdul Jalil Syaifuddin (1827–1864)
- Sultan As-Sayyid Al-Sharif Kassim Abdul Jalil Syaifuddin I (1864–1889)
- Sultan As-Sayyid Al-Sharif Hasyim Abdul Jalil Syaifuddin (1889–1908)
- Sultan As-Sayyid Al-Sharif Kassim Abdul Jalil Syaifuddin II (1915–1945)
Ketika zaman pemerintahan Sultan Siak yang ke-11, Sultan Syarif Hasyim telah membina sebuah Istana Megah bernama Istana Asserayah Hasyimiah atau Istana Siak. Ketika zaman ini juga dikatakan kerajaan Siak berkembang maju dari segi ekonomi. Malah, Sultan Syarif Hasyim juga berkesempatan melawat negara Jerman dan Belanda di benua Eropah.
Kejatuhan Kerajaan Siak ini pula berpunca kerana kuasa jajahan Belanda yang semakin meluas menawan kawasan timur Sumatera. Ini menjadikan wilayah pemerintahan Siak semakin sempit. Lama kelamaan wilayah taklukan Siak semakin kurang dan Siak banyak kehilangan kuasa.
Akhirnya setelah Indonesia mendapat kemerdekaan pada 17 Ogos 1945, Sultan Siak terakhir, Sultan Syarif Kassim II berhasrat untuk bergabung dengan Republik Indonesia. Baginda juga menyerahkan hartanya seperti mahkota kerajaan dan juga wang 10-13 ribu Gulden bersamaan 69 Juta Euro bagi pembentukan Republik Indonesia.