Ramadan adalah sebuah bulan paling mulia namun bagi tahun 1444 Hijrah atau 2023, mata dan pemikiran rakyat Malaysia dicemari dengan kes curang serta berita selebriti bercerai-berai.
Ramai umat Islam berjaya menahan diri daripada rasa lapar dan dahaga namun gagal mengawal hawa nafsu untuk sama-sama ‘tumpang komen’ menambah kepincangan masyarakat.
Boleh dikatakan jika melihat dalam dunia media sosial ini, seperti hampir majoriti tidak rasa berdosa setelah tewas dengan hawa nafsu untuk mengutuk, mengecam dan sebagainya.
Minda Orang Sihat 2023 Bakal Terjejas
Membaca pula kes curang, baik sesama agama atau berbeza agama, atau pasangan selebriti bercerai-berai, ia menjadi asbab minda orang sihat 2023 bakal terjejas.
Perkara-perkara buruk ini ibarat barah dan sekiranya Kerajaan tidak membendung secara undang-undang, lebih ramai anak-anak menjadi mangsa keluarga yang berpecah.
Anak-anak yang menjadi mangsa keluarga yang berpecah ini emosinya tidak stabil, kurang kasih sayang, perlukan lebih perhatian dan mudah memberontak.
Maka bayangkan untuk tempoh 10 tahun akan datang, mereka akan membesar sebagai belia, orang dewasa, ketua keluarga, ahli politik dan sebagainya.
Bagaimanakah rupa Malaysia pada ketika itu jika Kerajaan hari ini gagal mencipta anak-anak muda negara yang stabil emosinya dan meletakkan Allah SWT sebagai sebagai keutamaan?
Tauhid & Rukun Ihsan Tidak Disemai
Kebobrokan yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada sistem pendidikan nasional 20 tahun lepas yang tidak menekankan soal tauhid kepada Allah SWT dan keperluan mendalami rukun ihsan.
Masing-masing menjadi pelajar atau mangsa eksperimen sekolah yang kononnya ingin cemerlang di atas kertas, menerusi hafalan dan dimuntahkan atas kertas peperiksaan.
Namun subjek untuk mencipta insaniah yang mampu menerajui negara dengan lebih baik dan seimbang tidak begitu difokuskan kecuali menerusi kelas-kelas agama secara asas.
Jelas Kerajaan terdahulu seperti meletakkan niat, “Nanti kalau budak ini sudah besar, pandai-pandailah dia cari kelas agama untuk belajar agama dengan lebih mendalam.”
Namun realitinya, yang konon pandai kerana mampu menghafal masuk ke universiti, dapat kerja bagus dari aspek duniawi, bertemu jodoh sekufu, sibuk uruskan keluarga dan juga tidak sempat belajar agama.
Jadi selain ibu bapa, siapa yang bertanggungjawab untuk membina semula insan ini? Jika lambat dicegah, tidak akan ada sesiapa pun bergembira dengan kerosakan generasi muda Malaysia.
Baca Qunut Pun Tak Reti, Inikah Rupa Ketua Keluarga?
Cuba tanya kepada mana-mana lelaki yang sudah pun menjadi ketua keluarga pada zaman ini, berapa ramai di antara mereka yang bangun awal untuk solat Subuh berjemaah bersama keluarga?
Jika ukhwah ini pun gagal dibentuk atau diterapkan dalam institusi kekeluargaan, bukan sahaja toleransi, komunikasi pun tidak dapat dibentuk dengan baik.
Maka datanglah zaman pasangan copy & paste, “Kami bercerai kerana tiada persefahaman” dan para netizen terus gatal tangan untuk komen tanpa pandang keluarga sendiri.
Bagi yang sedang membaca artikel ini, anggaplah ia suatu tarbiah diri sama ada untuk penulis sendiri serta anda yang dibuka pintu hati oleh Allah.
Semoga Ramadan ini menjadi asbab untuk kita berubah menjadi lebih baik, memimpin keluarga untuk hilangkan rasa cinta dunia, tetapi kuat mencari aset demi kesenangan akhirat yang kekal selamanya.