Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang mengurniakan umur yang panjang sehingga dapat merasai satu lagi Ramadan dalam hidup kita.
Bulan yang dinantikan oleh hamba-hambaNya yang mendambakan pengampunan dan pahala berganda sebagai bekalan ke akhirat kelak. Adakah ini keterujaan yang kita rasakan?
Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu.
Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan! Terimalah. Wahai orang yang mengharapkan kejahatan! Berhentilah, dan (yang ikhlas) kerana Allah SWT dibebaskan daripada api neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadan.”
(Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Dengan izin Allah SWT kita berdoa agar berjaya menempuh Ramadan kali ini sepenuhnya, apakah perubahan yang diharapkan terhadap diri kita?
Dalam Islam, berpuasa bukan sahaja menahan diri dari lapar semata-mata malah bertujuan mendidik diri dari pelbagai aspek seperti:
Sifat Ikhlas
Puasa merupakan ibadah rahsia antara hamba dan Tuhannya. Seseorang yang berpuasa boleh sahaja berbuka tanpa pengetahuan orang lain tetapi kerana mengharapkan pahala dan redha Allah, dia lebih memilih untuk berpuasa. Inilah keistimewaan puasa dalam mendidik diri menjadi ikhlas dan bertaqwa.
Sabar
Puasa melatih diri supaya bersabar menahan keinginan diri serta godaan luaran yang mungkin boleh mengurangi pahala atau membatalkan puasa. Antaranya perasaan lapar, marah dan nafsu membeli yang melebihi keperluan.
Prihatin dan belas kasihan
Kita sedia maklum bahawa puasa bertujuan untuk melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan terhadap golongan fakir miskin. Di bulan ini juga disyariatkan zakat fitrah sebagai satu kewajipan kepada mereka yang mampu. Pada bulan Ramadhan kita digalakkan bersedekah untuk membantu golongan yang memerlukan. Rasulullah SAW merupakan manusia yang paling pemurah dan dia menjadi lebih pemurah dari kebiasaan apabila tiba Ramadan.
Mengajar Erti Kegembiraan Dan Kejayaan Sebenar
Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya. – Riwayat al-Tirmizi (696)
Kejayaan berpuasa mungkin dilihat kecil tetapi besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Sebagai umat Islam, wajar kita tanamkan dalam diri bahawa melihat Allah SWT merupakan kejayaan yang sebenar.
Memperkukuh Kesatuan Ummah
Ramadan disambut oleh semua umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira bangsa, warna kulit dan keturunan.
Dengan wujudnya media sosial, kita dapat melihat bagaimana Ramadan ini disambut di seluruh dunia.
Ini menambahkan lagi rasa kesatuan apabila kita sama-sama berkongsi perasaan. Tambahan pula, dengan adanya iftar-iftar, tarawih dan Iktikaf berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau akan menguatkan lagi ikatan persaudaraan antara Muslim.
Mudah-mudahan apabila usainya Ramadan ini akan menjadikan kita insan yang lebih baik bukan sahaja sebagai seorang hamba tetapi menjadi rahmat untuk sekalian alam.