Majoriti rakyat Malaysia sudah tentu menghafal lagu Negaraku bermula sejak dari bangku sekolah sehingga memasuki alam pekerjaan.
Boleh dikatakan jika ada rakyat Malaysia masih tidak tahu menyanyi dan tidak menghafal liriknya, merekalah kelompok rakyat paling pelik.
Namun bagi kita yang cakna akan kepentingan lagu Negaraku, apakah kita benar-benar menghayati dan mengetahui mesej penting yang ada?
Mari kita perhatikan lirik lagu Negaraku di bawah ini untuk rujukan bersama:
Negaraku
Tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta
Secara keseluruhan lagu Negaraku menekankan konsep taat setia dan perpaduan dalam kalangan rakyat untuk kemajuan serta kemakmuran negara.
Lagu ini juga berperanan dalam membangkitkan semangat patriotik dan cinta akan tanah air sekali gus mengakui kepentingan peranan Institusi Raja-Raja Melayu.
Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz menjelaskan kepentingan peranan institusi itu boleh dilihat pada empat baris yang terakhir.
Jika diperhatikan, pada lirik lagu Negaraku ada perkataan yang menyebut ‘Rahmat bahagia Tuhan kurniakan, Raja kita selamat bertakhta’.
Untuk baris perkataan itu sahaja, ia diulang sebanyak dua kali sekali gus memberikan mesej rakyat sentiasa berdoa untuk memastikan institusi beraja terpelihara.
Dalam erti lain, rakyat Malaysia janganlah hanya beri penghormatan ke atas lagu tersebut dengan menghafal kata-kata yang sampai ke halkum sahaja.
Seharusnya mesej dalam setiap baris lirik lagu Negaraku itu diserap dalam sanubari dan dihayati dalam diri setiap individu termasuklah mana-mana parti politik dalam negara.