AKTIVITI kebudayaan berperanan besar dalam melahirkan masyarakat madani yang saling menghormati dan bersatu padu.
Ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, aktiviti itu penting bagi menyuburkan kepelbagaian khazanah seni yang telah diwarisi zaman-berzaman.
“Kerajaan menyediakan dana 25 juta ringgit bagi menyemarak kegiatan kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti.
“Pemerkasaan budaya dimulai dengan budaya iqra’ bagi memupuk minat membaca karya-karya klasik dan agung yang melibatkan khazanah alam Melayu, dunia Islam dan Barat,” katanya.
Dalam masa sama, Kerajaan turut menyokong usaha menyubur dan menterjemah karya agung seperti karya-karya Imam Al-Ghazali, penggagas Maqasid Syariah Abu Ishaq al-Shatibi, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani, dan Nuruddin Ali ar- Raniri, pemikir, sasterawan dan fialsuf Muhammad Iqbal.
“Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan dan menjadikan ia sebagai bahan bacaan yang disukai ramai.
“Aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan juga akan ditingkatkan. Sejumlah 20 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini,” katanya.