Sejarah

PRDM Siri Khas 2 – Raja-Raja Melayu Jati Diri Negara: Apa Tugas Kita?

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (0:40 – 2:15)

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera. Terima kasih kerana masih setia bersama kami, Perbincangan Rakyat Demi Melayu. Jadi, pada hari ini, 29 Ogos 2021, berbaki beberapa hari lagi kita menuju ke tanggal 31 Ogos sempena hari kemerdekaan negara. Topik untuk malam ini yang akan kita bincangkan, kita utarakan adalah berkenaan dengan “Raja-raja Melayu Jati Diri Negara: Apa Tugas Kita?” Jadi, untuk malam ini, kita ada beberapa panel yang cukup hebat dari segi fakta dan olahannya. Yang pertama, kita ada Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin, yang merupakan Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Selamat datang diucapkan kepada Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin. Seterusnya, kita ada Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, yang merupakan pensyarah undang-undang, Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA. Kita juga ada Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Selamat datang diucapkan kepada Yang Berbahagia semua. Assalamualaikum.

Para panel = (2:16 – 2:17)

Waalaikumussalam wbt.

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (2:18 – 3:11)

Baik. Jadi, untuk malam ini kita akan mulakan dengan perbincangan yang agak serius, yang kita boleh katakan sudah tidak ramai generasi muda terutamanya menghayati tentang kepentingan raja-raja. Mereka cuma hanya membaca di buku teks, membaca di artikel-artikel tetapi dari segi penghayatan, mungkin berkurangan disebabkan tidak ada pendekatan yang begitu serius. Jadi, untuk topik dan juga soalan yang pertama ini, kita ingin tujukan kepada Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin. Mungkin Prof. boleh terangkan serba sedikit dari segi sejarah tentang raja-raja Melayu, peradabannya serta bagaimana tamadun ini boleh terbentuk di Tanah Melayu dan sejak bilakah kerajaan berasaskan sistem diraja ini wujud di Tanah Melayu? Silakan, Prof.

Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin (ahli panel) = (3:12 – 15:26)

Baik. Assalamualaikum wbt.

Bukan lebah sebarang lebah,

Lebah hinggap cucuran atap;

Bukan sembah sebarang sembah,

Sembah saya mohon bercakap.

Yang baik datang daripada Allah, yang buruk datang daripada hamba-Nya yang lemah. Yang saya hormati, moderator, rakan-rakan panelis, tuan-tuan dan puan-puan serta warga maya yang sempat hadir pada malam ini. Saya akan cuba mengupas persoalan itu dari sudut pandangan saya, ya, dari sudut pandangan saya sebagai orang adat, sebagai orang budaya. Saya akan melihat sejarah kerajaan sultan Melayu. Sejarah kesultanan Melayu di Malaysia telah bermula dari kerajaan Langkasuka purba dan kerajaan Melayu Melaka. Kebanyakan kesultanan negeri di Malaysia berakar dari kerajaan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1400 Masihi. Walau bagaimanapun, kerajaan kesultanan Kedah terkecuali kerana asal usulnya berasal dari kerajaan Langkasuka, iaitu sebuah kerajaan purba yang diasaskan pada abad ke-2 Masihi. Kerajaan Kedah juga merupakan kerajaan yang paling tua di Malaysia dan berkemungkinan juga kerajaan yang paling tua di dunia, ya, tuan-tuan dan puan-puan. Sebelum kemunculan kesultanan Melayu Melaka, telah muncul beberapa kerajaan yang kecil di Tanah Melayu. Salah satunya ialah kerajaan kesultanan Kedah. Kesultanan Kedah bermula dengan kedatangan Maharaja Derbar Raja di Kedah pada tahun 630 Masihi. Namun demikian, muncul kesultanan Melayu Melaka lebih menyerlah kerana ia telah membina satu empayar besar dan menjadi terkenal seluruh dunia. Malahan, Sultan Kedah kemudiannya pernah meminta nobat daripada kesultanan Melayu Melaka, itu bezanya, tuan-tuan dan puan-puan. Kesultanan Melayu Melaka jugalah yang menghantar anak raja untuk menjadi raja di Pahang. Serangan dari Portugis ke atas Melaka telah meruntuhkan institusi raja di Tanah Melayu. Malahan, kesultanan Melayu Melaka berpindah ke Johor. Setelah kalah pada tahun 1511, berpindah ke Johor dan berulang kali hendak menyerang Melaka dan membentuk kesultanan Johor-Riau. Pada ketika itu, seorang putera raja daripada kesultanan Melayu Melaka, iaitu Raja Muzaffar telah dijemput untuk dirajakan di Perak. Dengan itu, bermulalah kesultanan Perak dengan Raja Muzaffar menjadi sultan pertama dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah. Pelantikan baginda adalah pada abad ke-16. Terkenal dengan cerita bahtera kenaikan baginda telah tersangkut di Beting Beras Basah yang terletak di Kuala Sungai Perak. Raja Muzaffar telah berseru supaya kapalnya baik semula, tidak tersangkut di situ. Apa seruannya? Dalam bentuk trombo lama, “Selingkung tanah Minangkabau, selirik pulau perca, dilengkung ular, setimuna,” katanya. “Perpisahan beta di Selat Melaka, jika sah beta raja berdaulat, lepaskanlah sekalian malapetaka.” Sementara itu, pembunuhan Sultan Mahmud II daripada susur galur keturunan kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1699 membawa satu titik perubahan dalam sistem politik Tanah Melayu. Selepas itu, muncul kesultanan baharu. Sultan Mahmud II dianggap sultan terakhir keturunan Sultan Melaka. Selepas baginda, takhta kerajaan Johor-Riau jatuh kepada Bendahara Tun Abdul Jalil dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah. Pemerintahan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah ini membawa kepada tersebarnya pengaruh Bugis ke Tanah Melayu. Kesan yang dinyatakan tadi ialah kemunculan kesultanan baharu yang berlaku dalam dua fasa penting, abad ke-18 dan abad ke-19. Pada abad ke-18, kesultanan Melayu baharu yang muncul ialah Terengganu. Selepas itu, masuk kesultanan Melayu Terengganu, kesultanan Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan. Kesultanan pertama muncul pada abad tersebut ialah Terengganu. Terengganu telah dianugerahkan oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Shah kepada anak bendahara Johor-Riau, Tun Habib Abdul Majid, iaitu Tun Zainal Abidin, ya, tuan-tuan dan puan-puan. Tun Zainal Abidin mengasaskan kesultanan Terengganu pada tahun 1708. Baginda telah memakai gelaran Sultan Zainal Abidin I. Kalau tidak silap saya, penasihat ialah Tok Ku Paloh pada ketika itu. Kesultanan kedua muncul pada abad tersebut ialah Kelantan. Pada asalnya, Kelantan adalah di bawah pemerintahan kerajaan Patani Besar. Kalau hendak dilihat, yang Kelantan ini ada bermacam-macam versi. Ada yang mengatakan kesultanan ini bermula daripada kerajaan Chermin, misalnya. Ada berbagai-bagai pandangan tetapi saya ambil yang setara seperti ini. Apabila Raja Bahar meninggal dunia, Kelantan terpecah dua. Kelantan hanya dapat disatukan oleh Long Yunus pada tahun 1762. Pada tahun 1776, baginda diiktiraf sebagai pemerintah di Kelantan. Sementara itu, seorang putera Bugis, iaitu Raja Lumu telah mengadap Sultan Mahmud Shah, Perak untuk diiktiraf sebagai Sultan Selangor. Jadi, kalau dapat kita lihat di sini, tuan-tuan dan puan-puan, hubungan raja-raja antara satu negeri dengan satu negeri ada perkaitan yang cukup rapat. Sultan Perak kemudiannya mengiktiraf Raja Lumu sebagai pemerintah Selangor. Pada tahun 1766, Raja Lumu memakai gelaran Sultan Salehuddin Shah. Di seberang selatan Selangor, iaitu Negeri Sembilan pula terdapat kelompok masyarakat Minangkabau yang ditadbir oleh penghulu dan undang untuk menjemput anak raja Minangkabau, iaitu Raja Melewar pada tahun 1773 telah mendapat pengiktirafan Sultan Johor-Riau. Maka, ini timbullah anak buah menjadikan buapak, buapak menjadikan lembaga, lembaga menjadikan penghulu, penghulu menjadikan undang, undang menjadikan raja. Itu kata kuncinya. Pada abad ke-19, munculnya tiga lagi kerajaan baharu, iaitu Perlis, Pahang dan Johor. Antara tiga kerajaan ini, kerajaan Perlis terawal ditubuhkan, iaitu pada tahun 1843. Pada tahun itu, Syed Hussin Jamalullail telah diiktiraf oleh Siam sebagai pemerintah pemerintahan di Perlis. Seperti dijelaskan sebelum ini, Pahang telah pun mempunyai kesultanan yang tersendiri, iaitu daripada jurai keturunan kesultanan Melaka. Tahun 1614, pemerintahan di Pahang diambil semula oleh kerajaan Johor-Riau. Hal ini kerana waris Sultan Pahang kesembilan telah pun mangkat. Pahang kemudiannya dipegang oleh keluarga bendahara Johor sehingga ditubuhkan kesultanan Pahang. Kemunculan kesultanan Pahang bermula apabila seorang keluarga bendahara, iaitu Wan Ahmad ditabal sebagai Sultan Pahang pada 12 Disember 1884. Kesultanan Johor pula muncul pada tahun 1885. Kerajaan Johor-Riau yang berkuasa sekalian lama selepas kejatuhan Melaka mula berpecah. Hal ini membolehkan keluarga bendahara Johor membentuk kesultanannya. Pihak British telah memberi pengiktirafan kepada Maharaja Abu Bakar sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abu Bakar pada ketika itu. Dalam tempoh abad ketujuh hingga abad ke-19 di Tanah Melayu menunjukkan bertahan, muncul dan jatuhnya kesultanan di Tanah Melayu. Dua kesultanan awal muncul sebelum abad ke-18, iaitu Kedah dan Perak menunjukkan ketahanan kerajaan-kerajaan ini menempuh pelbagai cabaran. Manakala kemunculan tujuh kerajaan pada abad ke-18 dan ke-19 menunjukkan sikap dinamik pemimpin Melayu untuk memimpin negeri dan rakyat di wilayah masing-masing. Hanya tamatnya kesultanan Melayu Melaka menghilangkan satu kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Sembilan kesultanan yang tetap bertahan sehingga campur tangan British menjadi landasan utama British untuk membentuk Durbar. Walau bagaimanapun, tempoh penyertaan sultan ini dalam Durbar berbeza-beza. Pada peringkat awal, empat sultan menganggotai Durbar selepas Perang Dunia Kedua. Selepas Perang Dunia Kedua, terlibat juga beberapa sultan lagi menyertai Durbar apabila dibentuk Persekutuan Tanah Melayu. Institusi Durbar di Tanah Melayu seterusnya mengalami perubahan pada tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk menggantikan Malayan Union. Perjanjian Persekutuan 1948 telah memperuntukkan penubuhan Majlis Raja-Raja Negeri Melayu atau dikenali sebagai Conference of Rulers. Menerusi perjanjian ini, Majlis Raja-Raja Melayu ditubuhkan dengan dianggotai oleh raja-raja yang memerintah di setiap negeri Melayu di Persekutuan Tanah Melayu. Sekiranya terdapat raja yang tidak dapat hadir dalam persidangan Majlis Raja-Raja Melayu ini, wakil dari majlis diraja negeri yang terdiri daripada pewaris takhta atau individu yang diberi kuasa oleh raja untuk hadir sebagai pihak yang perlu hadir dalam persidangan yang ditetapkan. Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Melaka dan Pulau Pinang pula turut menjadi ahli Majlis Raja-Raja. Sabah, Sarawak dan Singapura menyertai Majlis Raja-Raja selepas Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963. Melalui sistem ini, raja-raja Melayu dan Majlis Raja-Raja Melayu telah membantu pentadbiran Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Sejak pengasasan kerajaan Kedah pada tahun 630 dan diikuti kerajaan Melaka pada tahun 1262, ini bukti yang terkini. Institusi raja Melayu sudah berusia 1389 ribu tahun di Kedah dan di Melaka 757 tahun. Inilah senarionya yang dari awal saya cuba perincikan hingga sekarang ini yang masih kekal sistem itu. Sekian, terima kasih.

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (15:28 – 16:04)

Baik. Terima kasih diucapkan kepada Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin atas penerangan itu. Nampaknya, usianya bukannya calang-calang. Sangat lama kalau kita hendak lihat balik dari mulanya sampailah ke hari ini. Baik. Untuk seterusnya, kita hendak bertanya kepada Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Pepatah sering mengatakan yang rakyat dan raja berpisah tiada. Apakah yang dimaksudkan dengan rakyat raja-raja Melayu dalam peradaban Tanah Melayu ini? Mungkin Prof. boleh huraikan. Silakan.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (ahli panel) = (16:20 – 17:50)

Baik. Terima kasih, saudara pengerusi, saudara Hakiem Samad. Assalamualaikum wbt. (doa pembuka kata) Insya-Allah, saya menjelaskan pertanyaan itu tadi dengan berbantukan bahan yang saya sediakan supaya dapat sama-sama diperhatikan betapa pentingnya institusi raja-raja dalam konteks peradaban. Kalau ditanyakan raja dan rakyat berpisah tiada, sebelum itu, saya teringat dalam Sulalatus Salatin ataupun Sejarah Melayu, ada diungkapkan perkataan yang lebih kurang, “Raja itu sebagai pohon dan rakyat itu sebagai akarnya. Tanpa akar yang teguh, pohon tidak akan dapat berdiri dengan utuh.” Jadi, demikianlah hubungan rapat, akrab raja dengan rakyat yang dikatakan raja sebagai pohon dan rakyat sebagai akarnya. Baik. Saya perkongsikan sedikit bahan yang telah saya sediakan. (jeda) Sudah dapat dilihat? Belum? (jeda) Sudah ada?

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (17:51 – 17:53)

Belum, Prof. Prof. kena klik.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (ahli panel) = (17:54 – 18:04)

Belum? Saya sudah klikkan. Sudah? Dah keluar?

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (18:05 – 18:08)

Okey. Kena klik. Okey, nampak.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (ahli panel) = (18:14 – 26:08)

Baik. Menyambung sikit penjelasan Datuk Paduka Dr. Rosli itu tadi, bahawa sebetulnya sistem kesultanan, iaitu yang diketuai oleh raja-raja itu telah bermula dengan satu sistem yang lebih asal, lebih tua, iaitu yang dinamakan sebagai sistem kedatuan. Sistem kedatuan yang dalam bahasa Jawa itu disebut “kedaton” yang merujuk kepada negara kota yang bersejarah separa bebas atau pemerintah berdaulat di seluruh maritim ataupun kepulauan Asia Tenggara kuno yang kini meliputi wilayah Indonesia, Malaysia dan bahagian Filipina. Dalam konteks Melayu Malaysia dan Indonesia moden, kedatuan itu dapat digambarkan sebagai pemerintahan beraja atau sebagai sebuah entiti politik. Ini dapat dilihat pada rekod tertua yang menunjukkan adanya istilah kedatuan tetapi waktu itu tidak ada bunyi e pepet, maka bunyinya ialah “kadatuan”. Itu ialah bahasa Melayu kuno pada ketika itu di prasasti ataupun batu bersurat Batu Telaga Batu dan Prasasti Kota Kapur. Inilah prasasti yang telah disimpan di muzium di Jakarta. Saya tidak mahu berpanjang lebar tetapi sekadar hendak meringkaskan bahawa dalam sistem lama dahulu, ada dikatakan alam Datu, iaitu kediaman Datu. Datu sebagai ketua, pemerintah tertinggi bagi sesebuah kawasan yang disebut sebagai kedatuan. Ini satu sistem pemerintahan, gelaran dan kedudukan purba Austronesia, yang kita tahu Melayu ialah cabang ataupun anggota keluarga besar Austronesia. Jadi, sejarah ini sudah cukup lama sekali. Paling tidak pada abad ketujuh memang dirakamkan dalam batu bersurat itu bagaimana Srivijaya telah membentuk pelbagai kedatuan sehingga menjadi satu kedatuan yang besar. Di bawah itu terdapat pelbagai wanua dan Srivijaya itu sendiri dipimpin oleh seorang Datu tertinggi yang disebut sebagai Dapunta Hyang. Kalau kita membaca batu bersurat itu, ada disebut Dapunta Hyang. Kaitan dengan zaman sekarang, masih ada digunakan istilah Datu terutama di Sabah, Sarawak, Brunei, iaitu Datu ialah gelaran kebesaran yang lebih kurang sama dengan Datuk di semenanjung yang diberikan kepada orang-orang yang dianggap berjasa. Jadi, ertinya, ini satu kesinambungan sistem kesultanan yang bermula dengan sistem kedatuan. Dalam konteks raja-raja Melayu sekarang ini, kita melihat bagaimana sistem kesultanan ataupun kerajaan Melayu yang berdasarkan pemerintah, sultan ataupun raja merupakan institusi yang tertua di dunia. Paling tidak, usia ini selama 800 tahun kalau bersandarkan kewujudan kerajaan kesultanan Samudera Pasai pada abad ke-13 hingga abad ke-16. Tetapi dipercayai daripada rekod-rekod sejarah di Acheh sebagai contoh, terdapat kerajaan Melayu yang lebih tua daripada Samudera Pasai, walaupun belum dapat disahihkan oleh ahli sejarah. Ertinya, saya beranggapan, sistem diraja ini telah menjangkau usia lebih 1000 tahun ataupun satu alaf. Antara kerajaan Melayu yang diketuai oleh raja ataupun sultan termasuk Samudera Pasai itu tadi, Melaka, Demak, Sulu, Acheh, Riau, Banten, Manguindanao di Filipina, Patani, Brunei. Kesinambungan di Malaysia sekarang ini ialah sembilan buah negeri yang diketuai oleh sultan kecuali Perlis yang dikenali sebagai raja tetapi itu sama sahaja. Yang di-Pertuan Agong sebagai puncak sistem beraja di Malaysia yang bertukar giliran selama selang lima tahun sekali. Jelas bahawa istilah kerajaan itu sendiri ialah pemerintahan yang diketuai oleh seorang raja Melayu. Maka itu, istilah government dalam bahasa Inggeris, kerajaan itu sebenarnya ialah istilah yang khusus bagi negara yang diperintah oleh pemerintah yang diketuai oleh raja. Jadi, bagi negara lain, sebetulnya istilah yang tepatnya ialah pemerintah sahaja, bukan kerajaan. Kita tidak boleh mengatakan kerajaan Singapura dalam konteks moden sekarang ini walaupun dulu pernah. Ataupun republik itu tidak disebut kerajaan. Itu pemerintah sebenarnya. Ini merupakan antara wasiat raja-raja Melayu yang sangat penting dalam konteks kalau saudara tanyakan hubungan antara raja dengan rakyat, itu jelas kerana raja-raja ini mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa bumi yang kita pijak dan langit yang kita junjung ini merupakan Tanah Melayu walaupun sekarang dikenali sebagai Malaysia. Antara perkara yang ditegaskan dalam wasiat raja-raja Melayu menjelang kemerdekaan pada bulan Ogos 1957 ialah soal tanah simpanan Melayu atau Malay Reserve Land. Ini merupakan satu jaminan yang terletak di bawah kuasa raja-raja yang sepatutnya kita boleh pertahankan. Sekarang kita dapati lebih kurang katanya tinggal 12 peratus sahaja tanah simpanan Melayu. Ini memerlukan saya kira rujukan kepada Majlis Raja-Raja. Demikian juga soal rejimen askar Melayu. Ini juga ditentukan untuk orang Melayu. Kemudian, soal kedaulatan raja-raja sebagai ketua negara dan ketua negeri-negeri di Tanah Melayu ataupun sekarang Malaysia. Dan juga pengisytiharan Islam sebagai agama Persekutuan yang nanti kita lihat dalam Perlembagaan Perkara 3 dimasukkan Islam sebagai agama Persekutuan. Itu juga merupakan wasiat yang ditetapkan oleh raja-raja Melayu. Seterusnya, soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Itu juga sebenarnya di bawah wasiat. Nanti kita dapat melihat di hujung tayangan slaid saya bagaimana soal bahasa sebagai contohnya, tidak boleh diubah-ubah, tidak boleh diganggu gugat kerana meskipun ada dua pertiga suara hendak meminda, itu tidak boleh kerana ada fasal tertentu dalam Perlembagaan yang memelihara kuasa Majlis Raja-Raja untuk mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Begitu juga soal kedudukan istimewa orang Melayu yang disebut dalam Perkara 153, bahasa tadi Perkara 152. Jadi, ini gambar yang saya kira cukup bernostalgia dan cukup bersejarah, iaitu sembilan orang raja ataupun sultan ketika kemerdekaan tercapai dan ini gambaran raja-raja atau sultan kita yang terkini. Insya-Allah, saya kira nanti dalam pusingan kedua, saya akan menjelaskan bagaimana kita katakan raja-raja Melayu itu jati diri negara dan bagaimana harus dipupuk dalam kalangan generasi muda dan juga masyarakat kita keseluruhannya. Jadi, saya kira untuk pusingan pertama, demikian dahulu. Insya-Allah, saya akan sambung dalam pusingan kedua dan pusingan ketiga. Terima kasih, saudara pengerusi.

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (26:09 – 26:46)

Baik. Terima kasih diucapkan kepada Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan seterusnya, kita akan beralih kepada Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz. Soalannya berbunyi, raja-raja Melayu sememangnya kita tahu ada peranan yang tersendiri tetapi tidak semua orang faham walaupun mereka sudah belek-belek buku Perlembagaan Persekutuan dan sebagainya. Jadi, soalannya, adakah raja ini bermaksud ketua utama kepada sesebuah negara atau sekadar berpaksikan sebuah negeri sahaja? Mohon pencerahan.

Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz (ahli panel) = (26:49 – 38:08)

Okey. Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum wbt. Selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan SAW, ke atas keluarga Baginda dan juga sahabat-sahabat Baginda. Saya ucapkan salam kenal, salam silaturahim kepada saudara moderator dan juga hadirin di alam maya ini. Semoga tuan-tuan dalam keberkatan Allah jua, insya-Allah. Baik. Pada pengamatan saya, kita semakin mengenali institusi beraja. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada ahli panel, Datuk Rosli dan juga Datuk Seri Prof. kerana dalam pembentangan sebelum ini, saya telah banyak belajar. Saya akan kongsikan dan hubung kaitkan apa yang telah saya belajar tadi daripada Datuk Rosli dan juga Datuk Seri Prof. Awang Sariyan kerana rata-rata orang masih lagi ragu-ragu tentang kuasa raja ini. Pagi tadi, saya membaca satu makalah yang menyatakan bahawa raja kita ini tidak sama lagi kuasanya dengan yang ada pada raja-raja sebelum kedatangan penjajah. Seperti yang kita dengar daripada pembentangan Datuk Rosli tadi dan juga Datuk Seri bahawa kedaulatan itu adalah daripada rajanya. Jadi, saya perlu sebutkan bahawa kedaulatan raja itu masih lagi dijaga dan dijamin oleh Perlembagaan. Ada dua tempat dijamin, iaitu pada peringkat negeri sebagai raja pemerintah bagi negeri dan ini ada dalam Perkara 70 dan 71 Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga dengan kedaulatan raja-raja, dijamin di bawah Perkara 181. Jadi, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi, yang saya hormati sekalian, kalau kita bercakap tentang kedudukan raja, maknanya raja ini ada tiga institusi sekarang ini. Pertama, raja-raja di negeri. Raja-raja di negeri itu dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan melalui peruntukan Perkara 70, 71 dan kedaulatan baginda itu dijaga di bawah Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan. Yang keduanya, institusi beraja ini juga disebut oleh Datuk Rosli tadi bermula daripada Durbar dan kemudiannya menjadi Majlis Raja-Raja. Majlis Raja-Raja ini dimaktubkan, dimasyhurkan dan dijamin kedudukan dan kuasanya di bawah Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Ia satu entiti yang boleh dikatakan lebih tua, jauh lebih tua daripada Perlembagaan itu sendiri, yang kita tahu seperti yang Datuk Rosli juga sebut tadi, seawal tahun 1948 ia diiktiraf dalam bentuk perundangan bertulis. Tetapi sebelum itu, mungkin seawal pengakhiran abad ke-19, telah timbul Durbar itu. Kemudiannya, kuasa itu dipertegas. Apabila kita hendak membuat Perlembagaan 1957, raja-raja tidak berpuas hati dengan draf yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid. Suruhanjaya Reid tidak memberi kuasa yang banyak kepada Majlis Raja-Raja kecuali kuasa untuk melantik Yang di-Pertuan Agong. Maka, itu mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan raja-raja, iaitu melalui Majlis Raja-Raja. Apabila tidak berpuas hati, maka baginda melalui satu jawatankuasa kerja telah menegaskan perkara-perkara yang dimahukan menjadi kuasa budi bicara bagi Majlis Raja-Raja. Maka, termaktublah dalam Perkara 38 dalam Fasal 6 Perlembagaan Persekutuan tentang kuasa budi bicara baginda semua. Itu satu. Mungkin saya tidak perlu huraikan details, ya, dalam masa yang singkat ini. Cukup sekadar saya nyatakan bahawa kuasa budi bicara ini adalah bermaksud kuasa yang boleh dilaksanakan oleh raja-raja tanpa mendengar nasihat-nasihat daripada orang-orang ataupun pemimpin-pemimpin yang dipilih melalui proses demokrasi. Jadi, kuasa itu termasuklah memilih atau memecat, menurunkan takhta yang di-Pertuan Agong, menentukan persempadanan negeri, menentukan pelantikan-pelantikan yang diberikan kuasa oleh undang-undang kepada baginda semua. Seterusnya, kuasa baginda menerusi Majlis Raja-Raja ini, walaupun bukan budi bicara, iaitu apabila baginda semua boleh ditemani atau diiringi oleh Perdana Menteri bagi Yang di-Pertuan Agong, raja pemerintah di negeri-negeri diiringi oleh Menteri-menteri Besar dan Yang di-Pertua Negeri diiringi oleh Ketua-ketua Menteri, baginda semua berhak untuk menimbang teliti, dalam bahasa Inggeris yang digunakan dalam Perlembagaan ialah to deliberate, menimbang teliti berkaitan dengan dasar negara termasuklah dasar berkaitan dengan imigresen dan juga hal-hal lain yang difikirkan patut bagi Majlis Raja-Raja. Jadi, walaupun baginda semua dikatakan sebagai raja berperlembagaan, telah dijamin kedudukan raja-raja itu dalam kedudukan Majlis Raja-Raja dengan kuasa budi bicara termasuk juga hak untuk membahaskan, untuk meneliti tentang dasar-dasar negara. Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, disebut dalam Perlembagaan itu Perkara 38 dalam Fasal 2 menyatakan raja-raja dalam Majlis Raja-Raja boleh membincangkan, menimbang teliti tentang dasar termasuklah dasar imigresen. Kenapa dasar imigresen ini penting untuk dibahaskan, untuk ditimbang teliti oleh raja-raja? Walaupun pembuatan dasar itu ataupun gubalan dasar itu ialah hak bagi Jemaah Menteri tetapi Majlis Raja-Raja berhak untuk membahaskan, menimbang teliti dasar-dasar tersebut. Ini penting kerana imigresen itu, contohnya dasar imigresen ialah dasar yang melibatkan kedaulatan raja-raja di negeri-negeri. Kalau kita kata kita membentuk sebuah negara Persekutuan, kalau kita tanya, mana negara Persekutuan itu? Mungkin kita jawab, dari Perlis hingga Sabah. Jadi, setiap inci tanah itu sama ada dari Perlis hinggalah Sabah itu, ada tuannya, ada raja pemerintahnya. Kalau di Sabah dan Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang itu melalui wakilnya, iaitu Yang di-Pertua Negeri. Yang di-Pertua Negeri ini, tuan-tuan dan puan-puan, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Walaupun ada peranan orang-orang politik dalam pelantikan itu tetapi oleh sebab mereka boleh dikatakan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan diangkat juga sebagai ahli dalam Majlis Raja-Raja, maka itulah juga menunjukkan bahawa tanah air kita ini tidak terpisah daripada raja-raja atau institusi raja itu. Kalau kita kata, adakah baginda hanya berada pada peringkat negeri? Jawapannya, tidak apabila kita lihat kepada Majlis Raja-Raja itu sendiri. Saya ingin tegaskan kepada rakan-rakan penonton bahawa peranan institusi Majlis Raja-Raja ini kadang kala dipandang ringan oleh setengah-setengah pihak. Pada saya, oleh sebab institusi itu sendiri kurang menunjukkan taring. Saya mengharapkan selepas ini, kita sebagai rakyat, kalau tajuk kita sekarang ini, “Apa peranan kita?”, kita sebagai rakyat meneliti perundangan yang ada. Okey, orang kata, sejarah itu, sejarah? Mungkin sesuai pada masa atau ketika itu tetapi pada saya, sejarah itu telah menjadikan kewujudan Majlis Raja-Raja dan kuasa yang ada pada Majlis Raja-Raja itu ditegaskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka, kita tidaklah boleh membaca Perlembagaan itu dengan kering tanpa meletakkan warna-warna atau nilai-nilai sejarah. Jadi, di sini, itu dua institusi beraja, ya. Pertama, raja di negeri tadi, yang saya katakan dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan. Keduanya, secara ringkas saya menceritakan Majlis Raja-Raja dan peranan Majlis Raja-Raja yang kadang-kadang dipandang ringan atau dipandang sepi oleh kalangan masyarakat. Ketiganya, Yang di-Pertuan Agong. Institusi Yang di-Pertuan Agong ini dicipta hanya pada tahun 1957 bagi menunjukkan bahawa Tanah Melayu ini, ketua utama negaranya adalah daripada kesultanan, daripada raja pemerintah. Maknanya, atas muafakat raja-raja Melayu, maka terbentuklah lagi satu takhta. Pada saya, sangat menakjubkan kerana kita telah mencipta satu takhta yang dinamakan Yang di-Pertuan Agong. Kalau dalam bahasa Inggeris, kita kata, The one who is make lord. Yang di-Pertuankan. Kalau kita dengar cerita dulu-dulu, dari Sang Saka Purba dengan Demang Lebar Daun, apabila Demang Lebar Daun mahu mengangkat Sang Saka Purba sebagai raja, digelarnya Sang Saka Purba itu Tuan Yang di-Pertuan. Jadi, itulah yang pada saya, itu ialah semangat sejarah yang namanya diangkat daripada itu. Namanya institusi itu ialah Yang di-Pertuan Agong. Jadi, Yang di-Pertuan Agong ini menerusi peruntukan 32 Perlembagaan Persekutuan menyatakan baginda ialah Ketua Utama Negara. Kalau dalam bahasa Inggeris, menggunakan istilah Supreme Head of the Federation. Supreme Head of the Federation dalam bahasa Inggeris, maknanya paling tinggi, paling luhur, paling suci, paling agung. Jadi, kalau kita lihat pada fungsi Yang di-Pertuan Agong pula, berkuasanya baginda terletak hak kepada baginda itu ialah kuasa eksekutif. Terletak hak kepada baginda itu beberapa perkara, iaitu hal-hal berkaitan dengan budi bicara baginda. Saya rasa berhenti di situ dahulu untuk kita ketemu lagi dalam sesi kedua, insya-Allah.

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (38:09 – 39:48)

Baik. Terima kasih diucapkan kepada Prof. Datuk Dr. Shamrahayu atas penerangan itu. Kita boleh lihat, kalau dalam media sosial hari ini, pengguna media sosial agak lantang apabila menyentuh institusi diraja ini dan tidak merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan. Itu sebenarnya boleh menjadi racun yang sangat bahaya. Lagi-lagi kita boleh katakan yang memberi komen ini datang daripada fake account dan ia boleh mengganggu gugat. Kita kena ingat, sepertimana yang Prof. sebutkan tadi, raja-raja kita ada taring, cuma tidak tunjuk sahaja. Jangan sampai kita mencabar, kita juga yang susah nanti. Untuk pusingan yang kedua… Sebelum itu, kita akan baca sedikit komen daripada penonton. Antaranya daripada Rorlinda Yusof, “Assalamualaikum, semua ahli panel. Terima kasih perkongsian yang asli ini.” Daripada Supyanbangi Hussin, “Tahniah di atas anjuran webinar ini.” Dan daripada Said Bajerai, “Penerangan yang terang dan jelas, Datuk Dr. Shamrahayu.” Baik. Jadi, untuk pusingan yang kedua. Soalannya adalah kepada Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin. Setakat inilah kita boleh katakan belum ada satu suruhanjaya bebas untuk Majlis Raja-Raja Melayu yang sepatutnya berfungsi untuk membuat kajian agar dapat membantu Duli-duli raja-raja Melayu dalam menjalankan tugas serta membuat keputusan negara dengan lebih tepat dan terperinci. Adakah ia perlu dan apa komen Prof. tentang soalan ini? Silakan.

Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin (ahli panel) = (39:49 – 48:43)

Baik. Untuk soalan ini, saya tidak mahu pergi terus sampai kepada tempat dan sasaran. Saya cuba hendak berjalan jauh dahulu sehingga sampai ke sasarannya, ya, sebab benda ini adalah sangat-sangat penting. Kita kena faham asas dan awalnya terlebih dahulu. Sistem pemerintahan negara menggabungkan dua sistem yang utama, iaitu pada sayalah, sistem raja berperlembagaan dan juga sistem demokrasi berparlimen. Pelaksanaan kedua-dua sistem ini diputuskan dalam rundingan kemerdekaan di London pada tahun 1956/57. Rundingan tersebut melibatkan tiga pihak, iaitu pejabat tanah jajahan, Majlis Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan, UMNO, MCA dan MIC. Ketiga-tiga pihak bersetuju dan memegang erat kewujudan sistem pemerintahan negara pascamerdeka. Kemuncaknya, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di hadapan Majlis Raja-Raja dan rakyat jelata. Rakyat Malaysia perlu memahami realiti dan fakta bahawa sistem pemerintahan beraja atau sistem kesultanan ialah asas dalam peradaban politik Malaysia. Pakar sejarah Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim merumuskan bahawa kesultanan Melayu Melaka ialah pengasas sistem politik dan berkerajaan di Tanah Melayu. Pelbagai kerangka pemerintahan diwujudkan melibatkan bidang kuasa raja, para pembesar dan pemimpin kawasan pemerintahan. Undang-undang digubal, kawasan persempadanan diwujudkan, konsep kerakyatan, sistem pentadbiran dilaksanakan dan hubungan antarabangsa dimeterai. Semua ini menandai wujudnya sebuah sistem kesultanan yang berdaulat. Di sinilah gagasan kedaulatan raja menjadi asas pemerintahan. Dalam perspektif pentadbiran Malaysia mengamalkan sistem persekutuan. Ia menjelaskan bidang kuasa kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Apa yang paling signifikan, kewujudan sistem persekutuan hanya dapat dizahirkan apabila raja-raja Melayu sanggup mengorbankan sebahagian besar kuasa baginda menerusi Perjanjian Persekutuan 21 Januari 1948. Berikutan itu, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah dizahirkan pada 1 Februari 1948. Dari segi struktur pentadbiran, sistem pentadbiran disusun secara sistematik. Ia melibatkan tiga struktur utama, iaitu badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman. Ketiga-tiga ini mempunyai kuasa tersendiri. Sebagai ketua negara, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertindak menaungi ketiga-tiga institusi sistem pentadbiran tersebut. Ini jelas bahawa Agong yang di atas daripada ketiga-tiga itu menurut pendapat tadi. Berdasarkan senario yang dibincangkan, jelas menunjukkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja ialah induk kuasa dalam sistem pemerintahan negara.

Kain pelekat panjang sembilan,

Panjang serta kepalanya;

Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ibarat intan,

Rakyat menumpang sinar cahayanya.

Biar mati anak, jangan mati adab sebab di dalamnya ada adab, adat, budi, sopan dan santun kita kepada raja kita, iaitu untuk melahirkan perasaan sayang kepada raja yang menaungi kita, yang melindungi kita. Malah, institusi tersebut mewarisi legasi kesultanan Melayu yang wujud sejak abad ke-14. Rumusannya, sistem pemerintahan beraja menjadi pelengkap serta semak dan imbang kepada sistem pemerintahan demokrasi. Hal ini jelas dalam isu pelantikan Perdana Menteri, sudah dua kali, tuan-tuan dan puan-puan. Inilah yang menjadi asas kepada kestabilan politik di Malaysia selama ini. Kestabilan politik ini pula menyumbang kepada keharmonian dan kesepaduan sosial, kemakmuran ekonomi dan kesohoran global, tuan-tuan dan puan-puan. Dalam keadaan politik Malaysia yang semakin kompleks, peranan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja semakin relevan dan signifikan.

Pilih-pilih tempat menjadi,

Pertama teluk, kedua pantai;

Pilih-pilih raja terpuji,

Pertama elok, kedua pandai.

Ada eloknya, ada pandainya di situ yang sebenarnya. Peranan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja terserlah dalam dua kali peralihan kepimpinan kerajaan Persekutuan baru-baru ini. Kemelut di Perak selepas PRU 12 menyerlahkan kewibawaan Sultan Perak. Begitu juga di Selangor, sultan berjaya menyelesaikan kemelut politik dengan membentuk kerajaan Pakatan Rakyat dipimpin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim. Tuan-tuan dan puan-puan, begitu juga di Johor. Jelas peranan baginda yang mahu stabilnya politik Johor dan akan membubarkan Dewan jika ada rebutan. Baginda mahu muafakat itu dibuat sebab muafakat itu berkat. Yang penting adalah untuk membantu rakyat. Hal ini menunjukkan raja-raja Melayu mempunyai peranan untuk menstabilkan politik. Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pernah bertitah, mari kita hadamkan titahnya ini. Apa titahnya? “Rakyat negara ini perlu menghormati institusi beraja dan institusi demokrasi kerana kedua-duanya induk sistem pemerintahan negara. Perlembagaan Persekutuan adalah tiang seri kewujudan sesebuah negara bangsa sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.” Dan ini titahnya. Yang ketiga, setiap warganegara berkewajipan menghormati dan merealisasikan Rukun Negara. Ya, kita kena balik semula kepada Rukun Negara. Dalamnya ada kaitan dengan agama, raja, adab, sopan dan Perlembagaan itu yang mesti kita budayakan dengan diri kita. “Semua pemimpin politik…” titah tuanku, “…perlu komited untuk menegakkan integriti politik yang mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi. Fenomena pandemik COVID-19 perlu kesatuan fikiran dan tindakan bersepadu untuk atasi dan bersatu selesaikan masalah rakyat.” Akhir sekali, tuan-tuan dan puan-puan, gencatan senjata politik perlu untuk membangunkan ekonomi negara, kukuhkan perpaduan nasional. Allahyarham Tun Abdul Razak pernah berpesan, “Kurangkan politicking dan dahulukan kepentingan rakyat. Dengan cara ini, baru mereka akan tersanjung.” Jadi, baru saya hendak menjawab kepada persoalan bahawa perlu ada suruhanjaya bebas itu tetapi bergantung pada isunya untuk membuat kajian dan memberi pandangan kepada raja-raja kita, apa yang perlu dan apa yang tidak perlu di situ. Sekian, terima kasih.

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (48:45 – 49:42)

Baik. Terima kasih diucapkan kepada Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin atas penerangan itu. Maknanya, perlu ada suruhanjaya dan sepertimana yang disebut, perlu kurangkan berpolitik dan lebihkan kepentingan rakyat. Insya-Allah, Malaysia boleh menjadi lebih makmur walaupun keadaan sekarang ini, kita lihat semakin seperti ada goyang tetapi kalau hala tujunya betul, insya-Allah, kita akan kembali ke landasan yang tepat. Baik. Seterusnya, soalan kepada Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Melihat generasi hari ini, apakah yang Prof. rasa antara penambahbaikan yang perlu dibuat terutamanya mungkin dalam sistem pelajaran generasi muda untuk memberi kefahaman, sekali gus hendak membuatkan hati orang-orang muda ini terpaut untuk terus menjaga institusi raja-raja Melayu? Kita pun hendak tengok, apa lagi yang Prof. ada sediakan dalam slaid itu. Silakan.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (ahli panel) = (49:43 – 1:04:50)

Baik. Terima kasih, saudara pengerusi, saudara Hakiem. Saya menyambung bicara saya tadi tentang bahawa raja-raja atau sistem kesultanan ini merupakan satu kesinambungan yang sangat penting dalam konteks tamadun Islam. Kita mengetahui bahawa tamadun Melayu seperti yang telah dikaji oleh para arkeologi peringkat antarabangsa seperti Stephen Oppenheimer, Santos dan sebagainya itu, telah puluhan ribu tahun berada di Pentas Sunda yang dahulunya merupakan satu kawasan yang cukup besar yang kemudian melalui proses-proses alam, terjadi penenggelaman bahagian tertentu dan akhirnya kita wujud dalam bentuk satu kepulauan Melayu. Jadi, ertinya dalam tempoh puluhan ribu tahun itu, pasti telah wujud sistem pemerintahan dan seperti yang saya sebut tadi, sekurang-kurang pada awal Masihi, telah dapat dikenal pasti ada sistem yang diberi nama sistem kedatuan. Hal ini merupakan satu kesinambungan penting kerana asas tamadun atau peradaban kita itu sudah cukup mantap. Andai kata kita berusaha untuk memilih ataupun mencuba satu sistem baharu yang belum pasti, tidak ketentuan, saya kira itu satu risiko besar. Kita jangan mempertaruhkan kedaulatan serta kehebatan dan kekuatan tamadun kita dengan cuba mengubah kepada satu sistem lain. Jelas bahawa kajian-kajian di dunia juga menunjukkan negara-negara yang cukup stabil ialah negara-negara yang diperintah oleh sistem raja. Begitu juga dengan konteks Islam. Islamlah yang telah melahirkan sistem kesultanan. Islam sebagai agama rahmat sekalian alam, agama yang maha suci, sesuatu yang perlu dipertahankan. Maka, nanti kita melihat bagaimana peranan raja-raja dalam konteks memelihara agama Islam sebagai agama yang maha suci. Baik. Saya kira dua perkara yang paling penting untuk kita tekankan. Pentingnya raja sebagai jati diri negara. Maka, setiap generasi, saudara pengerusi mungkin mencadangkan apa yang perlu dilakukan untuk generasi muda tetapi seperti dalam senarai saya, saya katakan ini bukan hanya masalah orang muda tetapi ini juga masalah orang yang mantan muda kerana orang yang mantan muda juga tidak faham ataupun kadang kala buat-buat tidak faham tentang keutamaan raja sebagai ketua negara yang perlu dihormati, sebagai payung negara. Jadi, yang penting juga bahawa sistem kerajaan, sistem beraja ini berkaitan dengan soal keseimbangan antara duniawi dengan ukhrawi kerana raja menjaga agama. Jadi, bukan sahaja soal pentadbiran duniawi tetapi soal ukhrawi yang berkaitan dengan peranan raja. Dan juga bahawa institusi raja merupakan sumber kekuasaan, kewibawaan pemerintah, sumber kekuatan rakyat bagi mencari perlindungan, keadilan, kesetiaan dan kecintaan kepada negara. Saya juga merujuk kepada kes yang sama seperti Datuk Paduka Rosli, iaitu dalam kes-kes kemelut yang berlaku, maka rakyat bergantung pada raja untuk penyelesaian. Pimpinan negara, iaitu kumpulan eksekutif sendiri pun tidak dapat menyelesaikan masalah itu, maka akhirnya merujuk atau menyerahkan kepada kebijaksanaan raja-raja. Alhamdulillah, Duli Yang di-Pertuan Agong telah mengadakan sidang dengan raja-raja untuk mendapat pandangan dan penyelesaian. Akhirnya, alhamdulillah, kemelut yang tampaknya meruncing itu dapat diatasi dengan kebijaksanaan dan kewibawaan raja, khususnya Yang di-Pertuan Agong dan juga raja-raja Melayu yang sesuainya memperhitungkan kepentingan negara lebih daripada soal kekuasaan politik. Hal ini juga saya kira yang perlu dipelajari oleh orang politik kerana kita ada tanggungjawab. Kita katakan, negara kita, tanggungjawab kita. Jangan hanya memikirkan kekuasaan politik yang sementara sifatnya. Oleh sebab itu, perhatikanlah bagaimana penghormatan kepada raja dalam konteks menjadi payung negara dan dapat menyelesaikan kemelut-kemelut yang mungkin tidak akan terselesaikan oleh pemimpin-pemimpin politik ataupun kumpulan eksekutif. Oleh sebab itulah, seperti yang disebutkan oleh Datuk Rosli tadi, maka soal raja itu dimasukkan dalam Rukun Negara. Jadi, selain soal prinsip yang pertama, Kepercayaan kepada Tuhan, yang kedua, Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Jadi, kaitan situasi antara raja dengan negara itu sangat rapat. Raja tidak dapat dipisahkan dengan negara dan negara juga tidak dapat dipisahkan daripada raja. Demikianlah Rukun Negara mencatat pentingnya kesetiaan kepada raja dan negara. Kemudian, kita lihat juga bagaimana peranan raja-raja dalam pembentukan Kontrak Sosial. Walaupun Kontrak Sosial istilah yang longgar, istilah ini tidak digunakan dalam Perlembagaan ataupun dokumen-dokumen rasmi tetapi Kontrak Sosial difahami sebagai suatu persefahaman, perjanjian dan persetujuan kumpulan-kumpulan etnik yang ada di negara ini. Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu, melalui pemimpin-pemimpinnya, UMNO, MCA dan MIC pada peringkat awal dan kemudian berkembang lagi dengan masuknya Sabah dan Sarawak dengan puluhan lagi kumpulan etnik. Kontrak Sosial ini penting kerana raja-raja telah memainkan peranan dalam konteks, misalnya meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan yang kemudian menjadi asas penting dalam Perlembagaan. Kedudukan raja-raja Melayu sendiri sebagai ketua tempat rakyat berlindung, tempat melepaskan kasih sayang, tempat rakyat mengadukan hal dalam keadaan kemelut yang tertentu dan juga sebagai satu lambang kedaulatan sebuah negara yang merdeka. Demikian juga soal kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perkara 153. Begitu juga sebenarnya merupakan perkara yang di bawah naungan Ke Bawah Duli-Ke Bawah Duli sekalian memastikan bahawa berlaku keadilan sosial, berlaku keadilan ekonomi antara penduduk watan asal, orang Melayu dan bumiputera dengan penduduk-penduduk daripada kalangan kaum-kaum yang lain. Kita menyaksikan Dasar Ekonomi Baru diwujudkan pada tahun 70-an dan dasar-dasar ekonomi yang kemudian, dasar agenda pembangunan negara dan sebagainya, semua merujuk kepada soal hendak menyeimbangkan pembahagian ekonomi negara, menyeimbangkan kedudukan taraf sosial seluruh warganegara tanpa mengira kaum. Hal ini saya kira bukan hanya soal orang Melayu dan bumiputera sahaja kerana boleh dikatakan Dasar Ekonomi Baru itu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Ertinya, orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Kadazan, orang Iban, orang Murut, orang Sungai dan sebagainya, pokoknya semua rakyat Malaysia perlu diberi bantuan, perlu diangkat agar dapat dibasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan juga untuk menyusun semula masyarakat Malaysia berdasarkan soal ekuiti, soal demokrasi atau kedudukan di bandar, luar bandar dan sebagainya. Jadi, ini saya kira merupakan peranan raja-raja yang kadang kala kurang diberi perhatian. Begitu juga soal kedudukan bahasa Melayu seperti yang saya katakan tadi. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, suatu yang merupakan hak Ke Bawah Duli-Ke Bawah Duli. Tidak ada sesiapa yang merasakan bahawa dengan kuasa dua pertiga dengan mudah mereka hendak mengetepikan soal Islam, soal raja-raja, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera dan bahasa Melayu. Oleh itu, berhati-hati supaya pimpinan politik dan sesiapa sahaja yang hendak merombak, merobekkan atau merosakkan pancang-pancang negara ini, ketahuilah bahawa kita mempunyai raja-raja yang menaungi semua hal ini. Jangan dilupakan dalam Perkara 153 yang saya katakan, soal hak sah kaum-kaum lain itu dipertahankan, soal ekonomi, sosial dan sebagainya. Bukan hanya soal orang Melayu dan bumiputera kerana dalam Perkara 153 telah disebut, selain soal keistimewaan orang Melayu dan bumiputera juga disebut hak-hak sah bagi semua warganegara daripada semua keturunan. Maka, akhirnya kita dapati bahawa empat pancang negara ini yang dinobatkan dalam Perlembagaan hendaklah sama-sama dihormati. Kalau hendak menjawab pertanyaan saudara pengerusi tadi, maka rakyat, golongan muda, golongan mantan muda, perlu diberi penjelasan yang betul tentang peranan raja dalam mempertahankan pancang-pancang kenegaraan. Andai kata pancang ini dirosakkan, dirobekkan, diganggu gugat, maka akan runtuhlah tiang seri negara kita. Ini sambungan yang saya sebutkan tentang Kontrak Sosial. Ya, tentang Islam. Saya menayangkan slaid khas kerana raja-raja merupakan ketua agama Islam, baik pada peringkat Persekutuan mahupun pada peringkat negeri-negeri. Kita tahu bahawa sembilan buah negeri yang diketuai oleh raja-raja, maka majlis agama Islam ialah majlis yang diletakkan secara langsung di bawah pimpinan dan kuasa raja-raja atau sultan manakala negeri-negeri yang tidak bersultan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak itu di bawah payung Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam. Islam sebagai agama Persekutuan yang tidak sama sekali menafikan hak untuk warganegara lain mengamalkan anutan agama masing-masing dengan bebas dan aman. Saya kira ini satu tolak ansur, satu keterbukaan, satu sistem demokrasi yang barang kali tidak berlaku di negara lain. Hal ini perlu diberi fahaman kepada semua warganegara, baik yang Melayu Islam mahupun yang bukan beragama Islam. Tentang bahasa kebangsaan juga, Perkara 152 itu jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan tetapi tidak boleh sesiapa pun dilarang atau ditahan untuk menggunakan, mengajarkan, belajar apa-apa bahasa lain tetapi perlu jelas kepada semua pihak, untuk maksud rasmi, maka bahasa Melayulah yang mesti digunakan. Dalam pentadbiran, bayangkan kalau pentadbiran negara membolehkan bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Iban, bahasa Kadazan, bahasa Murut, bahasa Kenyah, bahasa orang asli diguna dalam pentadbiran, bayangkan betapa kacaunya jentera pentadbiran kerajaan, jentera pentadbiran negara. Oleh itu, ditetapkan bahasa Melayu itulah sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran. Begitu juga dalam sektor pendidikan. Mengapa bahasa Melayu menjadi bahasa utama, bahasa pengantar utama untuk tujuan pendemokrasian pendidikan? Anak-anak generasi muda kita mendapat ilmu dalam suatu wahana atau bahasa yang sama. Itu konsep pendemokrasian pendidikan dalam soal memupuk perpaduan dan juga memupuk jati diri, identiti ataupun keperibadian warganegara melalui bahasa seperti yang disebut dalam Penyata Razak tahun 1956 dan perkara ini harus jelas. Di negara-negara lain, saya sendiri pernah bertugas di negara China, lima hingga enam tahun dan pernah menjadi tamu di Jerman dan beberapa tempat yang lain, dapat dikatakan bahawa setiap negara itu sangat tegas tentang bahasa kebangsaan. Di negara China, universiti tempat saya ditugaskan, Beijing Foreign Studies University, 120 bahasa asing diajarkan tetapi tidak pernah universiti di sana atau mana-mana unit kerajaan mengutamakan bahasa asing, tidak pernah bermesyuarat dalam bahasa asing, tidak ada pengajaran sekolah dalam bahasa asing. Bahasa asing diajarkan tetapi bukan sebagai bahasa pengantar ataupun bukan sebagai bahasa utama. Hal ini yang perlu dipelajari daripada negara-negara besar, negara-negara maju. Rusia demikian juga, Jepun, Korea Selatan, Belanda, Perancis. Jadi, ini semua menunjukkan bahawa kita mempunyai sikap kelenturan tetapi kadang kala kelenturan ini dikatakan seperti orang menangguk di air keruh, tidak bersyukur dan tidak berterima kasih atas kelenturan dan tolak ansur yang diberikan. Saya hendak memetik pandangan sahabat saya dulu, iaitu Prof. Abdul Aziz Bari sendiri bahawa seperti yang saya katakan, Perkara 152, hal bahasa kebangsaan ini tidak boleh diganggu gugat walaupun dengan dua pertiga kerana kata putus tentang perkara ini terletak di tangan Majlis Raja-Raja. Oleh itu, walaupun dikatakan raja-raja berperlembagaan, raja yang berdasarkan Perlembagaan tetapi ada peruntukan tertentu, Perkara 159 (5) tentang hak raja-raja untuk menyelamatkan dan juga untuk mempertahankan, memulihara kedudukan bahasa kebangsaan. Seperti juga soal-soal lain yang saya sebutkan tadi, soal tanah rizab Melayu, soal agama Islam, soal kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera yang tidak juga menafikan hak kaum-kaum yang lain. Jadi, saya kira sangat penting sebagai penutup kalam pusingan kedua ini. Kita mesti mempertahankan sistem beraja yang merupakan kesinambungan mata rantai sejarah tamadun Melayu sejak awal abad Masihi, bahkan lebih awal dari itu. Kemudian, raja sebagai lambang dan asas kedaulatan negara dan raja sebagai payung negara dalam konteks mempertahankan Kontrak Sosial, perpaduan dan perungkai kemelut yang timbul dari waktu ke waktu. Jadi, ini semua mesti didedahkan melalui mata pelajaran Sejarah, mata pelajaran Tatarakyat, mata pelajaran Tamadun. Saya kira, kursus-kursus wajib mesti mengisi hal-hal ini supaya semua rakyat faham akan peranan raja-raja. Kalau kita mengatakan dalam Perkara 3, Keluhuran Perlembagaan tetapi kalau Keluhuran Perlembagaan itu tidak dihormati, tidak dimuliakan, maka tidak ada ertinya kita menghafal Rukun Negara yang ketiga, Keluhuran Perlembagaan. Jadi, demikianlah, tuan pengerusi, untuk pusingan kedua. Insya-Allah, kita sambung dalam pusingan ketiga. Terima kasih. Assalamualaikum wbt.

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:04:51 – 1:05:30)

Baik. Terima kasih diucapkan kepada Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Baik. Seterusnya, kita hendak beralih kepada Prof. Datuk Shamrahayu. Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Dr. Awang sebentar tadi, tentang peranan raja-raja Melayu dan sebagai orang kata pemegang Kursi di Institusi Raja-Raja Melayu, pada pendapat Prof. sendiri, masih ada atau tidak perkara-perkara yang perlu diperjuangkan selain hendak memastikan menjadi ketua yang akan memastikan rakyat ini sentiasa terpelihara? Silakan, Prof.

Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz (ahli panel) = (1:05:35 – 1:13:24)

Terima kasih, saudara pengerusi. Saya melihat ada dua perkara sebenarnya yang kita patut perhatikan. Pertama, untuk menjawab persoalan kita pada hari ini, perbincangan kita ini, “Apa Tugas Kita?” Maknanya, tugas rakyat kepada institusi beraja. Kalau kita lihat pada persoalan tadi ialah tugas raja kepada rakyat. Jadi, saya mahu menjawab persoalan ini dalam dua dimensi. Pertama, dari segi tugas raja kepada rakyat. Sudah tentu kita kata, kalau dalam bahasa Inggeris, kita kata raja itu ialah fountain of justice. Di pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, saya cuba membawa satu hashtag untuk kalangan orang muda bahawa institusi beraja itu ialah pancuran keadilan, fountain of justice. Jadi, di sini apa yang rakyat mahu ataupun warga kita mahu ialah seperti yang kita tahu supaya baginda ini menjalankan pentadbiran secara adil dan saksama. Inilah bab yang kita tahu juga daripada apa yang Prof. sebutkan dari awal tadi ialah raja itu pokok, rakyatnya akar, raja itu umpama pokok jati yang merimbun, yang melindungi seluruh hutan belukar yang lain. Begitulah juga umpama institusi beraja ini supaya rakyat yang berada di bawahnya berasa selamat, berasa tenteram dari segi keselamatannya, dari segi kehidupan sehariannya. Jadi, inilah yang diharapkan oleh rakyat. Bagaimana baginda boleh melakukannya begitu? Pada saya, saya meneliti dalam peruntukan-peruntukan yang ada, dari segi perundangan dan mungkin juga dari segi budaya yang tidak dirangkumkan atau tidak dimaktubkan dalam perundangan yang kita tahu ialah sistem beraja itu atau institusi beraja itu sentiasa menjadi perhatian kepada rakyat. Apa yang perlu dilakukan ialah orang kata, justice is seen to be done. Maknanya, keadilan itu dapat dilihat dan sebenarnya telah dibuat dan dapat dilihat. Bukan setakat dikatakan dibuat tetapi tidak dapat dilihat dan dirasai. Jadi, saya fikir setakat ini, apa yang telah dilakukan oleh institusi beraja dapat dilihat kepentingannya dan telah dirasai oleh rakyat terutamanya dalam episod-episod kemelut politik dalam masa-masa terakhir ini, dalam setahun dua ini, menampakkan kebijaksanaan atau budi raja itu telah dapat dinikmati oleh rakyat. Walau bagaimanapun, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, para penonton, saya dapati cabarannya adalah besar. Bukan sedikit cabaran yang dialami oleh institusi beraja. Walaupun bagaimana kita telah mendengar pembentangan Datuk Paduka tadi, bahawa cabaran yang dilalui oleh institusi beraja terutamanya semasa penjajahan yang lebih ataupun hampir lima abad itu, cabaran-cabaran telah dilalui dan cabarannya semakin hebat kini. Saya nampak cabarannya semakin hebat kini, ya. Kenapa saya kata begitu? Sebabnya, itu sudah terserlah. Nampak dalam media-media sosial wujudnya antimonarki. Mungkin kumpulan ini tidak begitu berani kerana kita mempunyai undang-undang yang boleh menyekat mereka daripada begitu berleluasa. Contoh, kita ada Akta Hasutan. Jadi, ini menunjukkan kita mempunyai perundangan tetapi sampai bila undang-undang ini boleh bertahan? Pada suatu ketika dahulu, pada tahun 2016, saya dapati gerakan daripada beberapa pihak untuk menghapuskan Akta Hasutan ini telah berlangsung dengan begitu berani sekali. Saya tidak yakin bahawa ia boleh kekal sekiranya kita tidak membuat kesedaran yang menyeluruh dalam kalangan orang muda atau dalam kalangan masyarakat keseluruhan. Saya nampak ataupun saya bimbang, bahawa aktiviti-aktiviti antimonarki ini berjalan under current yang tidak dapat dilihat kerana ketakutan mereka terhadap undang-undang ini. Ada beberapa kes yang telah dibawa ke mahkamah dan saya anggap itu mungkin it’s tip of the iceberg. Itu yang saya takutkan. Itu hanya yang nampak, yang timbul. Yang tidak timbul itu, kita tidak tahu. Mungkin kita tidak tahu itu kerana undang-undang yang ada pada negara kita sekarang. Jadi, kita sebenarnya… Satu lagi, yang menjadi kebimbangan saya ialah tentang cendekiawan-cendekiawan Melayu sendiri sebenarnya tidak begitu gemar dengan institusi beraja ini. Saya tidak nafikan bahawa ia tidak wujud. Ia mungkin wujud. Sebabnya, menerusi penulisan-penulisan, kita juga dapat melihat bagaimana pentafsiran pada kedudukan institusi beraja. Ya, betul. Pentafsiran dalam undang-undang ialah hak masing-masing mengikut tafsiran ataupun hujah-hujah. Kalau terutamanya orang akademik, biasanya mereka mencari hujah-hujah. Tetapi bersemangatnya pandangan sebegitu, ia akan mempengaruhi orang awam, orang ramai sekiranya perkara sebegini tidak dibendung. Jadi, pada saya, apa yang penting di sini adalah untuk mempertegas perundangan dan pada masa yang sama meningkatkan dan memperkasakan pendidikan mengenai institusi beraja ini. Ia seperti juga Datuk Seri sebutkan tadi, saya bersetuju bahawa pendidikan itu perlu diperkasa. Ia sebenarnya menerusi semua, across the subject, kesemua bidang pendidikan. Ini bukan tanggungjawab guru Sejarah. Pada saya, ia tanggungjawab setiap pendidik, setiap diri guru itu dan setiap guru itu hendaklah ditanam dengan kecintaan kepada institusi beraja dan kecintaan kepada nilai-nilai warisan seperti bahasa tadi, yang Datuk sebut tadi, yang Datuk Seri sebut. Jadi, saya nampak di sini, beberapa perkara harus kita nilai balik tentang pelaksanaan dan kewibawaan undang-undang, tentang bagaimana penyampaian dalam bidang pendidikan itu dan seterusnya, menjadikan kebudayaan, kesusasteraan dan ditubuhkan juga akademi-akademi yang berkaitan ini, kebudayaan dan kesusasteraan ini atas nama diraja. Jadi, ketegasan ini perlu dilakukan. Satu lagi, seperti saya hendak sambung juga yang saya sebut tadi bahawa melaksanakan kuasa yang ada dalam Perlembagaan itu oleh institusi beraja juga boleh memainkan peranan bagi menjelaskan kepada masyarakat, ini ialah nilai raja berperlembagaan kita. Tidak sama nilai raja perlembagaan kita dengan raja berperlembagaan di negara lain. Kita tidak perlulah teruja berlebih-lebihan dengan amalan-amalan di negara lain kerana kita mempunyai acuan kita sendiri. Wallahuaklam. Terima kasih, saudara moderator.

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:13:25 – 1:14:52)

Baik. Terima kasih juga diucapkan kepada Prof. Datuk Dr. Shamrahayu atas jawapan itu tadi. Sebelum kita masuk ke bahagian kesimpulan, bahagian akhir untuk program ini, kita ingin bacakan antara komen pilihan daripada penonton program kita. Misalnya, daripada Hussein Johari, “Penerangan seumpama perlu diadakan kerap kali dan disiarkan secara langsung di TV1, 2 dan sebagainya. Penglibatan anak-anak muda perlu dilibatkan dalam perbincangan seperti ini begitu penting untuk diketahui.” Mungkin untuk ini saya boleh menjawab sedikitlah. Kebanyakan generasi muda, mungkin kita perlu memerangkap mereka untuk mendengar perbincangan kita ini dalam media sosial, YouTube, Facebook, Instagram, Tik Tok dan saluran-saluran alternatif kerana apa yang ada di kaca tv, mereka sudah kurang di situ. Insya-Allah. Sebelum kita masuk ke bahagian kesimpulan juga, ada satu kenyataan bahawa raja-raja Melayu ini umpama bapa dalam keluarga besar bagi negara Malaysia. Jadi, mungkin dari sudut kesimpulan, di manakah hubung kait yang boleh para panel jelaskan dengan topik “Raja-raja Melayu Jati Diri Negara: Apa Tugas Kita?” Jadi, untuk kesimpulan pertama, kita hendak mengalu-alukan Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli untuk memberi hujahan. Silakan.

Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin (ahli panel) = (1:14:54 – 1:20:08)

Baik. Saya hendak melihat begini sebenarnya. Kalau kita menganggap raja itu sebagai bapa dalam keluarga besar Malaysia, kita lihat dalam keluarga kita sendiri. Ibarat anak dengan bapa. Kita perlu menjadi anak yang baik. Itu ayat yang paling mustahak sebenarnya. Kita kiaskan kepada yang saya sebut pada peringkat awal tadi. Jangan nakal dan mesti selalu beradab dan bersopan. Kalau beradab, bersopan, tidak nakal, yang sebenarnya ini adalah menjaga nama baik bapanya. Itu yang harus kita fikirkan. Kemudian, raja-raja ini sebenarnya mempunyai kuasanya yang tersendiri, yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Kita sudah sebut, raja tadi ialah bapa kepada keluarga besar. Kenapa pula kita sebagai seorang anak, hendak mempertikaikan kuasa bapa kita, yang selalu menjalankan amanahnya, tanggungjawabnya untuk membela, menjaga, memelihara, melindungi anak-anaknya? Ini yang kita kena fikirkan. Kemudian, satu lagi, jangan dipersusahkan benda yang mudah. Permudahkanlah segalanya demi rakyat yang tercinta agar negara kita hebat, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dan jangan dipersusahkan perkara yang mudah. Sebab raja-raja kita ini bagai kayu besar di tengah padang, rimbun daun tempat berteduh, kuat dahan tempat bergantung, kukuh batang tempat bersandar, besar akarnya tempat bersila. Pandangan saya kepada semua orang termasuk saya sendiri, jika rakyat karam di laut, ada pelampungnya. Tuan-tuan dan puan-puan, fikir-fikirkanlah. Jika panas di darat, ada penaungnya. Basah di hilir, ada penudungnya. Patah di hulu, ada penyambungnya. Kemudian, saya suka mengulas semula sebenarnya. Kembalilah kita semua pada Rukun Negara itu sendiri. Kita kena budayakan, kita kena amalkan apa yang disarankan oleh Rukun Negara. Pertama, Kepercayaan kepada Tuhan. Kedua, Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Jelas di situ. Yang pertama, agama, kemudian raja dan negara. Keluhuran Perlembagaan, ini satu lagi tiang seri yang perlu kita pegang erat dan kukuh. Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan. Itu yang saya kata, biar mati anak, jangan mati adab. Saya suka menyorot sedikit syair yang disebut oleh Almarhum Za‘ba, syair Kelebihan Ilmu. Jika kita sebagai anak, kita perlu ada ilmu selengkap-lengkapnya terutama kalau kita hendak memahami institusi raja ini.

Ilmu itu gembala sakti,

Sinarnya cerah cahaya sejati,

Asal puncanya namun didapati,

Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat dinilaikan,

Sebuah dunia belinya bukan,

Kuasanya besar sukar digunakan,

Di laut, di darat, di rimba dan di pekan.

Masa seorang ialah taulan,

Teman berdekar suluh berjalan,

Masa berhimpun ia pengenalan,

Hias penyata polan si polan.

Bagi yang duka ia penghibur,

Ia penerang bagi yang kabur,

Ialah kandil di dalam kubur,

Lamun dengannya beramal subur.

Jadi, tuan-tuan dan puan-puan, kita kena kembali semula kepada ilmu untuk memahami tentang institusi raja ini yang sangat penting. Berani saya sebutkan, kembalikan semula beberapa kuasa raja kita yang boleh digunakan untuk melindungi rakyat dan untuk mempermudah pergerakan rakyat yang cukup sempit sekarang ini dengan ancaman pandemik COVID-19. Sekian, terima kasih.

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:20:09 – 1:20:23)

Baik. Jadi, bagaimana pula dengan Prof. Datuk Seri Dr. Awang tentang kenyataan raja berperanan sebagai bapa kepada keluarga besar Malaysia dan kaitan dengan topik pada malam ini? Silakan.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (ahli panel) = (1:20:24 – 1:26:43)

Ya, benar bahawa sebagai sebuah negara, rakyat kita dinaungi oleh seorang ketua sebagaimana sebuah keluarga dinaungi oleh seorang ayah, ibu bapa. Jadi, dalam konteks ini, kita harus berpegang pada ajaran agama kita. Agama kita mengatakan reda Allah itu bergantung pada reda ibu dan bapa. Ini dapat dikiaskan, reda Allah pada rakyat juga bergantung reda pimpinan khususnya raja kepada rakyat. Saya mengatakan demikian oleh sebab dalam konteks sebagai ulul amri, sebagai pemimpin negara yang diberi amanah oleh Allah, dalam kitab lama mengatakan raja sebagai bayangan Allah, iaitu soal keadilan, soal menjaga kebenaran kepada semua rakyat, lapisan rakyat, ini tugas besar. Oleh sebab itu, raja-raja perlu didampingi oleh para ulama. Jadi, gabungan atau panduan para umara’ dengan para ulama ini sangat penting. Jadi, jangan sampai raja-raja dibiarkan bersendirian dalam konteks menentukan hala tuju negara, dalam konteks menentukan perjalanan dasar-dasar negara. Jadi, para ulama perlu ada keberanian, perlu ada kesungguhan untuk berpadu tenaga dengan raja-raja dan kumpulan eksekutif agar tidak berlaku kesilapan dalam percaturan dasar dan juga pelaksanaan dasar-dasar negara yang akan menimbulkan kemelut, menimbulkan musibah kepada negara dan rakyat. Jadi, sangat penting dan jangan kita lupakan bahawa raja-raja kini bukan raja mutlak. Sudah berkali-kali disebut oleh semua panel bahawa raja yang ada ialah raja berperlembagaan. Raja yang tertakluk pada peraturan-peraturan yang diperlembagakan. Oleh sebab itu, kita perlu melihat kedudukan raja-raja ini sebagai tonggak negara atau payung negara yang sangat penting dijaga, dihormati dan ditaati. Saya menyarankan supaya marilah sama-sama kita, baik golongan cendekiawan mahupun golongan masyarakat awam, menghayati, memanfaatkan sekian banyak bahan persuratan klasik yang memberikan soal tanggungjawab raja, tanggungjawab menteri atau wazir, tanggungjawab penjawat awam ataupun pegawai kerajaan dan tanggungjawab rakyat. Sebagai contoh, satu kitab ketatanegaraan yang penting, Tajus Salatin atau Mahkota Raja-raja, cukup lengkap. Sifat mulia raja yang boleh dipelajari, ada ciri-cirinya. Wazir, menteri, Perdana Menteri dan sebagainya dan segala menteri ada sifat-sifat yang perlu dipenuhi. Demikian juga pegawai kerajaan atau penjawat awam, ada sifat-sifat dan tidak ketinggalan, rakyat juga ada taklif dalam menentukan negara digerakkan, mempunyai hala tuju yang betul. Jadi, saya kira penghayatan terhadap karya-karya klasik kita ini yang patut diangkat, dikaji, dikerjakan dan didedahkan kepada pemimpin supaya kita merujuk kepada kitab-kitab yang sahih. Saya hendak menegaskan kitab seperti Tajus Salatin, Bustanus Salatin dan sebagainya, kitab kenegaraan boleh dikatakan 100 peratus didatangkan daripada nas, daripada al-Quran, daripada hadis Nabi, daripada ijtihad para ulama, daripada sahabat, daripada sirah. Alangkah sayangnya kalau sistem ketatanegaraan kita termasuk sistem beraja kita ini tidak dapat digerakkan dengan betul kerana soal kejahilan kita memahami sifat-sifat raja, sifat menteri, sifat penjawat awam dan rakyat itu sendiri. Yang terakhir, yang saya hendak sebut, saudara pengerusi dan rakan-rakan panel, tadi disebut oleh Prof. Shamrahayu, betapa pentingnya penguatkuasaan undang-undang. Soal Akta Hasutan ini perlu digunakan dengan sepenuh-penuhnya atau apa sahaja undang-undang, pihak penguasa, PDRM dan sebagainya perlu mengambil tindakan, dakwaan oleh peguam negara terhadap golongan yang menghina raja-raja kerana menghina raja itu bererti menghina negara, menghina seluruh rakyat. Inilah golongan penderhaka yang perlu dikenakan tindakan tegas. Selain melalui undang-undang, saya kira ini juga tanggungjawab masyarakat dan rakyat. Rakyat ada kuasa menghukum mana-mana pihak, mana-mana golongan yang hendak menjatuhkan sistem beraja yang telah terbukti secara lama, lebih 100 tahun, bahkan lebih daripada itu sebagai unsur kestabilan dan keutuhan pemerintahan negara. Jadi, kuasa rakyat juga penting. Jangan kita berdiam diri melihat rakan rakyat kita dengan sewenang-wenangnya membuat karikatur yang menghina raja, membuat karikatur yang menghina pemimpin yang adil dan secara terbuka dalam media. Walaupun telah ada tindakan-tindakan tetapi saya kira ini nampaknya tidak begitu meredakan kebiadaban pihak yang mempunyai kewarganegaraan. Jadi, pada hemat saya, walaupun orang seperti ini yang meruntuhkan pancang-pancang kenegaraan, perlu dicabut hak kerakyatannya. Biarlah mereka tinggal di pulau seorang diri. Baik. Terima kasih. Mudah-mudahan forum pada malam ini memberikan dampak dan kesan yang serius. Kita bukan sekadar untuk bercakap-cakap kosong tetapi mesti ada tindakan susulan semua lembaga sosial dan sektor pendidikan pada peringkat sekolah hingga peringkat universiti, persatuan-persatuan, agensi-agensi kerajaan dan semua ahli kerajaan bertanggungjawab memelihara sistem keutuhan negara kita sebagai yang dimaktubkan dalam Perlembagaan termasuk tentang soal kedudukan raja-raja sebagai payung negara. Terima kasih. Assalamualaikum wbt.

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:26:45 – 1:26:55)

Baik. Dan yang terakhir, bersama dengan Prof. Datuk Dr. Shamrahayu tentang kesimpulan bagi tajuk “Raja-raja Melayu Jati Diri Negara”. Silakan.

Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz (ahli panel) = (1:26:57 – 1:33:31)

Terima kasih, saudara pengerusi. Pertama, saya fikir tindakan strategik perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk mengangkat institusi beraja ini dalam kerangka perundangan yang ada. Walaupun kita menyatakan bahawa raja berperlembagaan ataupun raja bertindak atas Perlembagaan tetapi Perlembagaan itu sebenarnya memberi ruang yang begitu luas kepada institusi beraja. Jadi, tindakan-tindakan strategik dari segi pendidikan, walaupun saya dididik dalam bidang undang-undang, saya lebih percaya kepada menanam kefahaman dan penghayatan dalam kalangan generasi supaya mereka bukan sahaja dikawal oleh undang-undang tetapi mereka mengawal diri mereka sendiri dengan mengenali nilai-nilai dalam negara itu. Jadi, pada saya, pendidikan itu amat penting oleh sebab sekarang ini kita tidak ada pedang untuk memerangi globalisasi dan sebagainya. Kita tidak ada pedang untuk berperang tetapi kita sediakan perisai untuk bertahan supaya nilai-nilai warisan itu ada dalam diri, ada dalam hati setiap generasi kita. Jadi, tindakan strategik ini perlu diambil. Bagaimana tindakan strategik ini perlu diambil? Ia memerlukan top down ataupun daripada pihak kerajaan dengan sistem pendidikan, mendalami nilai-nilai berkaitan dengan institusi beraja ini, menerapkan, memberikan penghayatan yang jelas kepada para penyampai ilmu ataupun para guru. Seterusnya, saya fikir, satu lagi perkara yang perlu dielakkan ialah ketegangan hubungan antara institusi beraja dengan kerajaan. Kedua-dua institusi ini tidak boleh dilihat sebagai mempunyai haluan yang bercanggah atau haluan yang berbeza. Kedua-duanya hendaklah bergerak secara serentak dan kemudiannya barulah membolehkan kerajaan itu memahami peranan institusi beraja. Sekiranya tidak, akan melahirkan prasangka-prasangka tertentu antara kedua-dua ini. Rakyat pula mungkin akan melihat percanggahan-percanggahan antara kerajaan dengan raja dan mereka akan menjadi tukang sorak antara kedua-dua ini. Yang ruginya nanti kedua-dua sistem itu sendiri. Sekiranya demokrasi itu kuat, yang ruginya nanti ialah institusi beraja. Sekiranya demokrasi itu lemah, maka yang ruginya nanti ialah institusi demokrasi itu. Jadi, pada saya, kedua-duanya janganlah dilaga-lagakan. Kita mengambil peduli tentang hubungan baik antara raja dengan kerajaan. Sekiranya ketegangan itu berlaku, maka ia akan juga mendatangkan kemudaratan ataupun kekurangan kepada negara kita. Yang ketiganya, untuk menambah baik institusi beraja ini, saya fikir kita juga perlu belajar daripada negara-negara lain terutamanya United Kingdom, bagaimana mereka boleh mengekalkan institusi beraja itu dengan boleh diterima oleh rakyat. Walaupun mereka kadang-kadang dikritik hebat oleh rakyat tetapi rakyat juga dalam masa mengkritik, mereka mahu mengekalkan institusi beraja dan memandangnya sebagai relevan lagi. Oleh itu, pada pandangan saya, kita perlu mewujudkan kesedaran ataupun suatu yang special, suatu yang khusus untuk institusi beraja ini terutamanya mungkin media-media yang khusus untuk membuat pelaporan tentang institusi beraja. Sudah tiba masanya bagi institusi beraja untuk tidak lagi berselindung di sebalik istana yang besar itu. Maknanya, istana itu perlu dibuka kepada rakyat melalui media-media yang formal. Maknanya, istana itu mempunyai medianya sendiri dan ia perlu dipertegaskan. Contohnya, apabila kita menyambut hari kemerdekaan, kita perlu ada media istana yang menyampaikan titah-titah Duli-duli raja-raja pemerintah dan juga Yang di-Pertuan Agong. Hal ini penting untuk menunjukkan bahawa raja-raja juga memainkan peranan penting dalam menyambut kemerdekaan atau membolehkan Tanah Melayu merdeka. Hal ini jarang dikenali oleh generasi muda. Banyak generasi muda tidak mengetahui peranan institusi beraja yang menandatangani perjanjian kemerdekaan dan sebagainya. Mereka tidak tahu itu peranan raja-raja. Kalau tidak ditonjolkan peranan raja terutamanya dalam keadaan hari merdeka ini, itu hari amat penting untuk negara kita. Kalau tidak ditonjolkan peranan raja, sampai bila pun generasi kita tidak mempunyai pengetahuan tentang itu. Di sekolah, sikit sekali diletakkan dalam silibus kecuali tingkatan 5 sekarang, dalam buku teks tingkatan 5 sekarang, baru disebut tentang peranan raja-raja mengenai kemerdekaan. Seterusnya, saya fikir, perlu juga kita wujudkan sejarawan diraja. Kalau dahulu, kita ada profesor diraja. Kita perlulah meneliti bahawa perlunya diwujudkan institusi-institusi seperti ini seperti kebudayaan diraja macam di UK, kita panggil The Royal Academy. Di sini belum ada dan saya fikir itulah satu gerakan harus dibuat oleh kerajaan sendiri untuk memperkukuh institusi beraja. Institusi beraja itu sendiri mengambil peranan yang proaktif terutamanya dalam saat-saat ataupun pada hari-hari yang saya sebutkan tadi seperti hari kemerdekaan, maulidur rasul dan sebagainya, perutusan khas daripada istana perlulah dibuat. Saya mencadangkan supaya adanya media atau wartawan diraja, sejarawan diraja, profesor diraja. Ini perlulah diperkukuhkan dengan hubungan yang baik. Akhir sekali, jangan kita roboh rumah pusaka, belum tentu adanya batu-bata untuk kita binanya semula. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum wbt.

Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:33:32 – 1:35:36)

Waalaikumussalam wbt. Baik. Sebelum kita berakhir, saya ingin bacakan antara komen yang ditinggalkan oleh penonton program Perbincangan Rakyat Demi Melayu. Yang pertama, daripada IkhmalShaffiq, “Perlu ada akta dan perundangan khas bagi mereka atau individu yang berani melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Perlu lebih tegas terutama kepada bangsanya yang gemar mencabar institusi raja-raja Melayu.” Daripada Nooraishah Abdul Karim, “Kebimbangan Dr. Shamrahayu berkaitan gerakan antimonarki perlu diberi perhatian kerana dibimbangi ia berkembang seperti api dalam sekam. Tindakan perlu diambil.” Daripada IkhmalShaffiq sekali lagi, “Apa yang perlu kehidupan seharian raja-raja Melayu itu dipertontonkan kepada rakyat.” Yang ini sama seperti yang disyorkan oleh Dr. Shamrahayu. “Dulu mungkin rakyat mudah berjumpa raja, mungkin kebelakangan ini agak sukar untuk melihat sebuah program rasmi melibatkan raja-raja Melayu dipromosikan secara besar-besaran. Sekadar pandang, mungkin perlu ada filem Melayu yang berunsurkan kisah istana dan beraja. Mungkin.” Dan daripada Nasrul Isyam Abdul Hamid, “Islam Melayu raja berpisah tiada.” Baik. Jadi, dengan itu, Perbincangan Rakyat Demi Melayu bagi topik “Raja-raja Melayu Jati Diri Negara: Apa Tugas Kita?” berada pada penghujung rancangan. Insya-Allah, pada minggu hadapan kita akan bersiaran seperti biasa, hari Jumaat, pukul 9 malam dan hari Ahad akan ada siaran yang agak istimewa. Jadi, dengan itu, Perbincangan Rakyat Demi Melayu ingin mengundurkan diri. Assalamualaikum dan terima kasih diucapkan kepada Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz kerana sudi menjadi panel bagi topik yang kita ketengahkan. Terima kasih dan assalamualaikum.

Para panel = (1:35:37 – 1:35:38)

Sama-sama. Waalaikumussalam wbt.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker