Durasi: 1:18:21
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (00:20–01:20) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera diucapkan kepada semua penonton Demi Malaiu untuk segmen perbincangan rakyat demi melayu. Seperti yang tertera pada poster untuk topik perbincangan pada malam ini adalah berkenaan “Silat dan Aqidah Di Mana Salahnya?”. Adakah silat dan akidah itu ada salahnya? Bagi berbicara lanjut tentang topik yang diangkat pada malam ini, Demi Malaiu ingin mengucapkan selamat datang kepada Dr Supyan Hussin yang merupakan mantan Professor UKM yang Dipertua Persatuan Ekskavasi dan Akreditasi Warisan Malaysia. Selamat datang Dr Supyan dan kita juga menjemput Pendekar Mat Ali yang merupakan aktivis dan pengasas seni silat tari Melayu serta Tuan Guru Syeikh Abd Raof Bin Nurin Hafidzahullah yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Pondok Tampin. Assalamualaikum dan selamat datang diucapkan kepada semua panel pada malam ini.
Dr Supyan Hussin = (01:21–01:23) Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (01:24–01:58) Kita tidak mahu membuang masa kerana topik ini sebenarnya mendapat permintaan yang agak tinggi dalam group whatsapp terutama dalam kalangan orang muda. Sebagai pembuka bicara kita akan mulakan dengan Dr Supyan. Dr Supyan boleh jelaskan macam mana silat itu bermula dan ada atau tidak cerita-cerita berkait dengan silat yang generasi hari ini sudah tidak tahu.
Dr Supyan Hussin = (01:58–15:12) Baik, terima kasih. Bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillahi robbil alamin, washolatu wassalamu ‘ala asrofil ambiya’i wal mursalinwa’ala alihi wasohbihi aj ma’in Subhanakala’ilmalana illama‘allamtana innakalatal’alimulhakim, rabbishrohli sodri wayassirli amri wahlulluqdatan millisani yafqohu qouli, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, alhamdulillahi robbil alamin. Silat adalah satu perkataan asalnya bagi pandangan dalam kajian yang saya lakukan ialah datangnya daripada silaturahim. Sebelum perkataan silat atau silaturahim muncul di Nusantara, terdapat juga seni bina diri iaitu pencak yang digunakan oleh orang-orang jawa. Apabila Islam sampai ke Nusantara, perkataan silaturahim telah digunapakai dalam kamus orang-orang Nusantara dan alam Melayu. Silaturahim adalah jalan menuju ukhwah. Ketika Islam sampai di Nusantara, penduduknya terlebih dahulu telah menghadiri kuliah dan halaqah ilmu yang disampaikan oleh guru-guru agama secara formal atau tidak formal. Kemudian apabila raja serta sultan di Nusantara telah menemui Islam, mereka telah menjadikan guru-guru agama dan tok syeikh pada ketika itu sebagai guru agama. Istana telah menjadi sumber ilmu dan platform penyebaran Islam kerana rakyat juga sudah mula menerima Islam. Pondok-pondok dan juga pesantren juga semakin banyak dibina untuk rakyat bagi membolehkan mereka belajar mengaji sekaligus mewujudkan hubungan silaturahim antara manusia pada ketika itu. Namun, berkemungkinan seperti mana yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW pasti ada pihak-pihak yang kurang senang apabila masyarakat mula menerima Islam termasuk satu kepimpinan dalam sebuah kerajaan itu. Oleh itu, masyarakat umum itu perlu mempertahankan diri, maruah dan akidah itu merupakan satu tuntutan. Secara kasarnya silaturahim membawa kepada perkembangan dan proses mempertahankan diri yang berkait rapat dengan asal usul tabi’i silat. Contohnya, sebagai manusia dalam kehidupan kita kebiasaannya jika kita berada di bawah bangunan dan kita nampak terdapat barang jatuh dari atas bangunan hendak menimpa kepala kita, secara tabi’innya kita pasti akan mengambil tindak dengan menahan, menepis atau mengelak. Jika ada orang datang melemparkan sesuatu objek kepada kita pasti kita akan menepis atau menolak. Ini yang dikatakan tabi’i, iaitu tindak balas manusia yang dilakukan secara sedar terhadap sesuatu yang bakal memudarat serta mencederakan mereka melalui pergerakan tangan dan kaki. Berdasarkan pengalaman lalu olahan buah silat ini wujud dari masa ke semasa di dalam apa jenis silat pun ada perkara asas yang ditekankan. Misalnya tepis, buang, kunci, terajang, sepak, serang dan bunuh. Pergerakan kaki sama ada empat tapak atau dua tapak, ke kiri atau kanan itu juga merupakan satu olahan. Melalui olahan-olahan ini, maka terbentuk buah-buah tertentu yang dicipta oleh guru silat. Ianya menjadi modul untuk diaja kepada anak murid. Maka, disitulah bermulanya seni silat Melayu. Jika silat saja yang dipanggil, ia lebih kepada mempertahankan diri atau membela diri. Seni silat Melayu bermakna seni itu dia ada tiga perkara. Pertama, ilmu tabi’in yang diolah. Kedua ialah kemahiran, bagaimana kita menyusun langkah, menepis, membuang, mengunci dan memukul. Manakala yang ketiga ialah pengalaman. Kombinasi antara ilmu, kemahiran dan pengalaman ini menjadikan pergerakan seni bela diri dapat dirancang serta diolah dengan baik dan sempurna dari masa ke semasa. Seni silat ini ada nilainya yang tersendiri. Nilai yang didapati dalam kajian saya ialah akal budi Melayu yang mempunyai tujuh elemen iaitu falsafah, agama, sejarah, pemikiran orang Melayu, budaya orang Melayu, emosi orang Melayu, dan gaya hidup orang Melayu. Tujuh elemen penting ini membentuk akal budi Melayu dan silat adalah salah satu lambang-lambang jati diri budaya tamadun orang Melayu. Oleh itu, jika tidak ada silat maka hilanglah satu lambang dalam kehidupan segenap nusantara ini. Pergerakan dalam silat ini jika kita belajar daripada guru silat misalnya bila ditarik tangan ke atas, ke bawah ataupun dibulatkan tangan semua pergerakan tersebut mempunyai falsafah serta maksud disebaliknya. Pergerakan silat juga menunjukkan budaya orang Melayu yang tidak suka bergaduh kerana banyak gerakan permulaan yang dinamakan bunga silat yang bersifat toleransi. Budaya ini dapat juga kita lihat dalam kalangan kanak-kanak pada zaman dahulu. Jika bergaduh mereka akan mulakan dengan berlanggar bahu terlebih dahulu Kalau kita tengok budak-budak kecil dizaman kita kalau bergaduh itu dia akan mulakan langgar bahu dulu dan jika sudah mula panas baru mereka akan mula bergaduh. Begitu juga dalam silat, pergerakan permulaan dalam tempoh yang perlahan dan sangat berhati-hati itu sebenarnya mempunyai mesej misalnya ‘tak payahlah kita gaduh baliklah rumah’. Itu merupakan sifat dan nilai jati diri yang terdapat pada pada orang Melayu, tapi jika terpaksa bertempur, mereka akan bertempur dalam keadaan sopan. Mereka biasanya akan marah tetapi marahnya masih bersifat sopan. Orang Melayu apabila bersilat, mereka masih faham bahawa kepala adalah tempat yang harus dihormati. Kepala adalah tempat untuk bersujud kepada Ilahi dan disini letaknya akal manusia yang membezakan manusia dengan binatang. Oleh sebab itu orang bersilat tidak nampak mereka angkat kaki sehingga ke kepala tetapi mereka akan memukul pada bahagian bawah leher sampai ke kaki kecuali jika mereka sudah terbang ke atas. Berbeza dengan taekwando, kungfu, karate, jika bertempur pasti kaki akan sampai ke muka atau kepala dahulu. Ini semua terbukti dalam sejarah Hang Tuah, buku-buku sastera seperti sulalatus salatin dan lain-lain kita akan dapati bahawa pertempuran orang-orang Melayu dalam bersilat masih menjaga tata budicara budibahasa. Kesimpulannya, seni silat adalah satu lambang seni silat melayu yang menjadi lambang jati diri orang-orang Melayu dan tamadun Melayu. Seperti budaya busana Melayu, jika sudah tidak terlihat dimata kita pada hari ini bermakna satu lambang Melayu telah hilang dan hilanglah jati diri Melayu juga.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (01:22–16:11) Jika silat orang Melayu lebih kepada menjaga adab, sebagai contoh dalam silat tidak akan menyentuh bahagian kepala. Begitu juga dengan orang Cina yang mana seni kungfu yang lebih banyak terkait dengan kepercayaan agama mereka. Apa pandangan dan definisi Pendekar Mat Ali mengenai cerita-cerita popular Melayu suatu ketika dahulu seperti selendang merah, parang terbang dan lain-lainnya.
Pendekar Mat Ali = (16:13–23:23) Allahumma Sholli ‘ala Sayyidina Muhammad wa’ala Alihi Washohbihi Ajma’in. Pada pandangan saya silat ialah satu ilmu perang yang merujuk pada identiti bangsa. Setiap bangsa seperti Cina, India dan Melayu mempunyai falsafahnya yang tersendiri dalam seni bela diri. Mungkin yang sama fitrahnya ialah cara menumbuk, sepak dan terajang secara alami. Namun yang berbeza adalah identiti yang terbentuk mengikut keadaan dan situasi. Ibarat orang Melayu makan sambal belacan tetapi orang Cina tak makan sambal belacan. Begitu juga silat yang terbentuk mengikut falsafah yang ada disekitarnya. Sebagai contoh, orang yang berada di Kawasan pergunungan silatnya akan berunsurkan cara orang di gunung. Begitu juga orang yang berada di laut. Lihat pada gerak silat mereka dari kaki, kekuda, kudrat dan lain-lain. Dalam dunia silat, seni itu diistilahkan sebagai bahasa yang sangat subjektif. Lihat seni silat disebelah selatan dan utara, lengoknya berbeza. Seperti orang Petani Kelantan, lenggoknya meleweh mereka akan mengambil masa dahulu dahulu atau orang kata ambil angin atau seru angina dahulu. Kemudian disebelah selatan pula mereka lebih laju dan tangkas seperti orang minang, mereka tidak suka meleweh. Ini semua tidak salah kerana silat ini tiada syarat jika tidak buat begini ianya bukan silat, tidak. Silat datang dalam pelbagai bentuk yang mana ilham tersebut hadir dari pengalaman seorang pendekar itu dalam perang. Setelah melalui pengalaman perang tersebut mereka akan pulang dan mengajar kepada anak bangsanya gerak silat yang digunakan dalam pertempuran perang tersebut. Apa kaedah untuk menyerang semula, apa langkah yang selamat dan tidak selamat, bagaimana menggunakan senjata tanpa meninggalkan gerak tari dan lain-lain. Ada yang bertanya kenapa perlu gerak tari, tak boleh ke kalau kita terus tumbuk je? Harus diingatkan orang Melayu ini ada identiti dan falsafah yang tersendiri. Bila nak masuk rumah orang kita pasti akan beri salam dahulu kerana peradaban Melayu sejak dahulu sudah diajarkan begitu. Kita mengambil jalan berdamai terlebih dahulu dengan menangkis dan mengelak bukan memulakan dengan menumbuk. Kenapa mengambil jalan berdamai lebih baik? Kerana yang pertamanya merujuk pada guru saya, orang bersilat mempunyai fikiran yang waras dalam saat akhir sebelum mereka bertarung. Mereka masih boleh berfikir dengan bijak terlebih dahulu untuk bergaduh atau tidak. Jelas di sini orang silat akan lebih mendahulukan akal waras dari nafsu amarah tadi. Falsafah itu sangat dekat dengan apa yang diajar oleh para-para ulama’ dan tuan-tuan guru kita. Jika kita perhatikan, guru-guru kita dulu merupakan pemimpin kepada pendekar-pendekar Melayu yang memberi semangat, jati diri, menanamkan jihad fisabilillah menentang penjajah. Maka itulah antara sebab menjadikan mereka semangat untuk mengajar anak bangsa mempertahankan diri dan tanah air. Jika kita hanya mengharap pada institusi askar sahaja tidak memadai. Oleh itu rakyat perlu tahu ilmu menjaga dirinya untuk menghadapi satu keadaan yang tertentu. Contoh jika kita berada di dalam rumah hatta di luar rumah sekalipun kalau kita diserang dengan perompak, paling tidak kita tahu bagaimana untuk melawan semula dengan membuka langkah silat. Maka ibu bapa disarankan untuk mengajar anak-anak tentang ilmu silat agar mereka mempunyai jati diri dan tertanam adat Melayu dalam diri. Memasuki gelanggang silat ibarat memasuki masjid. Bagaimana kita menghormati masjid begitulah kita perlu menghormati gelanggang silat. Sebelum mula bersilat, pesilat digalakkan untuk berwuduk terlebih dahulu. Kemudian mula bersilat dalam keadaan berlatih dan memasang niat berlatih lillahi ta’ala kerana Allah dan Rasul. Terdapat beberapa gelanggang silat yang dibuka di surau, seperti gelanggang kepunyaan Tok Gajah. Tujuannya adalah untuk mendekatkan anak muda dengan agama dan silat itu sendiri supaya kedua-duanya menjadi ibarat isi dan kuku. Dunia persilatan itu perlu lengkap zahir dan batin. Seperti kata P. Ramlee silat itu kebatinan tanpa kebatinan ia adalah senaman biasa sahaja. Wallahualam.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (23:25–24:24) Terima kasih diucapkan kepada Pendekar Mat Ali yang merupakan aktivis dan juga pengasas seni silat tari Melayu. Seterusnya beralih ke Tuan Guru Syeikh Abd Raof yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia dan Ahlijawatakuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang. Soalan untuk tuan guru adalah sepertimana pandangan-pandangan generasi muda dan generasi moden hari ini, ada elemen-elemen silat seperti terpesong dengan dakwaan-dakwaan dari segi pembacaan, perkongsian orang ramai yang mengatakan segelintir tok-tok guru menggunakan khidmat-khidmat tertentu. Bagaimana sebagai bangsa Melayu orang Islam sendiri untuk memastikan generasi hari ini boleh belajar silat dan tidak terjebak dalam perkara yang melanggar hukum syarak? Silakan, tuan guru.
Haji Abd Raof Bin Nurin = (22:32–34:04) Perkara yang dikatakan terdapat unsur pendamping ataupun khadam yang digunakan dalam ilmu seni silat di alam Melayu ini sudah lama cuma ia hanya berlaku dalam segelintir ahli-ahli persilatan sahaja. Perkara ini berbalik kepada individu itu sendiri. Mereka yang ingin memasuki alam seni persilatan ini perlu kukuh dengan persediaan ilmu dan pengetahuan sebelum memasuki gelanggang. Seni silat ini merupakan warisan sesepuh pada zaman dahulu dan anak-anak muda perlu mengambil perhatian dalam bidang ini. Jika dilihat sejarah peradaban Melayu pada zaman keagungan Melayu di Acheh, di Melaka dan lain-lain tempat tidak lekang dengan tokoh-tokoh pejuang serta tokoh-tokoh pendekar yang mempertahankan sultan. Tidak terkecuali yang mempertahankan kerajaan Islam Melayu, bangsa dan agama. Mereka adalah pendekar-pendekar yang bersalasilahkan guru-guru dari para ulama’ solihin dan orang soleh. Mungkin berlaku beberapa percampuran dari adat-adat resam dulu-dulu tetapinya ianya sangat minimal bilangannya yang ada sekarang. Apa yang penting anak bangsa Melayu khasnya orang muda yang mahu menceburi bidang ini perlu memastikan peribadi mereka bersedia kepada 3 perkara iaitu 6 rukun iman, 5 rukun islam dan 1 rukun ihsan. Jadi persediaan kepada 3 perkara iman, Islam dan ihsan itu adalah sangat diperlukan supaya apa sahaja bentuk penyelewengan akidah atau akhlak dapat dielakkan. Perkara ini bukan sahaja perlu dalam persilatan malah dalam perniagaan, politik, pemerintahan, pentadbiran hatta dalam bidang agama. Tiga perkara ini perlu diperkukuhkan terlebih dahulu. Seorang pendekar perlulah mempertahankan Allah dan Rasul, agama, negara dan bangsa dengan sepenuh jiwa raga. Jadilah seorang pendekar yang beriman dan soleh. Isu jin, khidmat khadam dan sebagainya itu hanya masalah kecil yang mana Malaysia mempunyai ramai tokoh ulama’ yang pandai dan boleh menyelesaikannya. Seni silat dan segala pergerakan latihan silat itu tidak rosak jadi ini yang perlu diberi tumpuan bagi siapa yang menyertai seni silat. Ini merupakan satu perkara sememangnya ada dalam asas agama. Saidina Umar R.A. contohnya dalam satu wasiat ataupun pesan beliau menitip pesan bahawa ajarkan kepada anak-anak untuk berenang, berkuda dan memanah. Jelas menunjukkan Islam itu adalah satu ajaran agama yang mengajar umatnya supaya kuat jasmani dengan asas rohani yang kuat. Ianya merupakan hubungan langsung manusia dengan Allah SWT melalui Rasulullah S.A.W. Oleh itu, untuk menyelesaikan masalah kerohanian dalam persilatan alam Melayu perkara itu boleh diselesaikan. Pertamanya selain dari persediaan tiga perkara tadi, perlu dikuatkan juga dengan ilmu pengetahuan agama. Perlu sentiasa mencari, berdamping dan belajar dengan orang-orang soleh serta para ulama’ untuk mendapat nasihat. Setiap peribadi individu yang menceburi bidang pertahanan diri ini perlu memeriksa diri secara kasarnya terhadap kesan daripada apa yang telah diamalkan dalam latihan, apakah hasil yang diperoleh. Jika kepandaiannya hanya menangkis, mempertahankan diri, menumbuk, menunjal dan sebagainya tetapi dari sudut perasaan u’budiyah kepada tuhan bertambah jauh seperti mereka bertambah bongkak dan sombong dengan kehebatan kependekaran yang ada, itu sudah tidak mencapai maksud. Melalui gerakan-gerakan yang timbul ilmu persilatan, pesilat seharusnya bertawaja dengan memerhatikan yang memberi gerakan, bukan bertawaquf dengan semata-mata timbul rasa ujub, bangga dengan kepandaian serta gerakan itu sahaja. Pesilat perlu memandang pada yang memberi kepandaian dan kemahiran mempertahankan diri sehingga gerakan tersebut betul-betul kerana dia, Allah swt. Setelah itu akan timbul perjuangan seorang pendekar yang hakiki mempertahankan agama, bangsa dan tanah air lillahitaala akan wujud dalam jiwanya. Anak bangsa hari ini perlu kembali pada jati diri dengan menumpukan kepada warisan sesepuh dahulu dari kita melihat anak-anak muda terpengaruh dengan pembawakan barat. Contohlah dari segi kesenian tarian mereka yang tidak langsung dikaitkan dengan agama. Sebahagian riwayat dalam kitab ada menceritakan bagaimana hebatnya Saidina Umar RA sehingga boleh mengejar kuda yang sedang berlari pantas, dipegang telinga dan dilompat ke atas kuda tersebut. Itu kehebatan yang anak muda boleh jadikan ikutan berbanding tarian barat yang tidak mendatangkan manfaat tersebut. Itu dari segi jasmani, manakala dari segi kerohani ianya perlulah berkisar mengenai hubungan dengan Tuhan, Al-Quran, sunah Nabi. Jadi, syabas kepada anak muda yang sedang berusaha membina jati diri Melayu Islam. Yakin apa yang diwarisi ini ada kaitan dengan agama walaupun tanjak, samping, keris, pedang, sundang dan lain-lain warisan semua ada kaitan dengan agama. InsyaAllah.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:05:42–1:06:10) Terima kasih diucapkan kepada Tuan Guru. Seterusnya kita sudah masuk pada bahagian kesimpulan. Sebagai kesimpulan mungkin Dr Supyan boleh kongsikan sedikit berkaitan tajuk hari ini silat dan akidah dimana silapnya, adakah ia silap atau cuma kurang dan ada yang perlu ditambah baik? Silakan Dr.
Dr Supyan Hussin = (1:06:11–1:12:02) Berpegang pada prinsip bahawa seni silat ini ada kaitan dengan Melayu dan Melayu ada kaitannya dengan Islam. Maka Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam dan di sini ada paksinya iaitu akidah. Jadi, oleh kerana itu apa sahaja tindakan dalam seni silat ini tidak boleh melanggar parameter akidah. Orang Melayu hari ini harus mendalami sesuatu perkara itu dengan lebih rapi misalnya apabila orang-orang Melayu dulu membakar atau menganyam kemenyan untuk tujuan apa? Ianya untuk cantic, bersih dan lembutkan keris selain untuk menjaga keutuhan keris itu, ia pasti ada rasionalnya. Masyarakat tidak seharusnya dengan mudah mengatakan bahawa menggunakan kemenyan pada zaman dahulu itu adalah kurafat sedangkan kita tidak ada ilmu mengenainya. Maka itu yang perlu didalami dahulu. Dalam hal seni silat ini juga harus bersandarkan kepada jawapan rasional serta penerangan yang boleh disampaikan individu yang sememangnya ahli dalam bidang tersebut. Seni silat ini adalah lambang jati diri, budaya dan warisan tamadun orang Melayu. Kemudiannya, seni silat ini asalnya di istana yang memperlihatkan kehebatan pendekar-pendekar Melayu yang tinggal di istana. Mereka ini menjadi benteng yang mempertahankan kerajaan dan mereka jugalah yang duduk di istana bagi mempertahankan kedaulatan raja-raja. Hari ini silat sudah dijadikan satu sukan olahraga maka ia tidak lagi menjadi seni. Silat ini haruslah dikembalikan kepada istana dan ia tidak boleh diberikan kepada NGO untuk dihidupkan bersendirian. Oleh itu, ia harus diletakkan semula dibawah naungan istana supaya istana memberikan panduan bimbingan seumpamanya. Jika berlaku sesuatu dalam negara, selain askar dan polis, pesilat juga boleh dijadikan barisan hadapan mempertahankan raja dan negara. Jika orang awam yang dijadikan salah satu barisan hadapan mungkin tidak ada kehebatan, ketangkasan, keberanian untuk mempertahankan Islam mempertahankan raja dan kerajaan. Oleh itu, semua pesilat negara dinasihatkan walaupun berlainan aliran mereka perlu tetap memegang pada prinsip silaturahim. Di Indonesia pada tahun 2018, terdapat satu program perhimpunan pesilat-pesilat seluruh Indonesia di bawah pencak silat Indonesia. Terdapat hampir 5000 individu dan 1000 kumpulan pesilat kecil. Dalam kalangan pesilat tersebut ada yang pernah belajar dengan guru mereka tetapi apabila bertembung mereka masih menghormati guru mereka begitu juga sebaliknya walaupun mereka mempunnyai pertubuhan silat yang berbeza. Jadi jelas tidak ada konsep territorial. Ketaksuban kepada seorang guru itu tidak timbul kerana mereka lebih mementingkan ilmu untuk dikembangkan. Seperti Nabi Muhammad SAW berpesan pada umatnya supaya hendaklah dsampaikan kepada yang lain walaupun satu ayat maka dengan itu berkembang ilmu tersebut. Wallahualam, Sekian, Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:05:42–1:12:56) Seterusnya mempersilakan kesimpulan daripada Pendekar Mat Ali untuk tajuk silat dan akidah, dimana silapnya. Silakan.
Pendekar Mat Ali = (1:12:59–1:14:46) Allahumma Solli wa solli Ala Muhammad, sebuah pantuan saya akan bacakan petikan daripada Dato’ Laksamana Hang Tuah orang yang biijaksana serta dekat dengan Tuhan. Kata beliau pantunnya ;
Bangun pagi bersolat subuh agar ceria menghadap Ilahi.
Tingkah laku pakaian tubuh, waspada selalu membawa diri,
Tak tumbuh tak melata, akar kayu selalu dicari,
Pencak silat budaya kita, amalkan selalu pertahankan diri,
Batik jawa bulan purnama, dipakai puteri diwaktu senja,
Pekerti mulia menjaga nama, walau dimana jagalah ia.
Belajar mengaji ilmu tarikan, dengan guru dipulau api,
Berkat muafakat sentiasa diberkati, selamat sejahtera penjaga diri.
Gerak tari hebat direka, dondang sayang sentiasa ceria.
Keris dihunus hendaklah waspada, agar tidak membawa waspada.
Keturunan asli si batik jawa, pakaian Melayu tradisi kita.
Megah sekali menjaga budaya, tak lekang dek panas, subur sentiasa.
Tanah melayu tanah pusaka, megah berdiri disinggah sana.
Adat dijunjung nama dijaga, takkan Melayu hilang didunia.
Wallahualam.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:14:46–1:14:59) Terima kasih diucapkan kepada Pendekar Mat Ali. Terakhir kesimpulan tentang silat dan akidah untuk tatapan serta pedoman rakyat Malaysia, khususnya bangsa Melayu dan orang Islam daripada Tuan Guru Haji Abd Raof. Silakan.
Haji Abd Raof Bin Nurin = (1:15:03–1:17:21) Kesimpulannya dari apa yang telah dibincangkan tadi, silat perlu dipertahankan kerana ia merupakan warisan sesepuh orang Melayu. Pencemaran dari sudut kerohanian yang sedikit itu hanya perlu buang yang keruh ambil yang jernih, berusaha betulkan apa yang salah sahaja serta ambil yang bermanfaat sahaja. Jangan kerana nila setitik habis susu sebelanga. Tugas kita hanya perlu luruskan lunas-lunas agama dari segi ilmu akidah, fekah dan tasawuf. Jalan yang lebih selamat adalah dengan kita memperbanyakkan pengajian dan berdamping dengan ulama’-ulama’ solihin. Maka sohbah itu sangat penting. Terima kasih.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:17:23– 1:18:13) Terima kasih diucapkan kepada para panel pada malam ini yang telah memberi ulasan yang cukup baik tentang silat dan akidah. Pihak kami mengucapkan terima kasih. Hari ini kita lihat banyak komen-komen yang memberi kata-kata semangat untuk bangsa Melayu agar terus mencintai silat hingga ke peringkat yang lebih baik. Jadi kita akan bertemu lagi pada episod akan datang dengan tajuk yang lebih menarik. Assalamualaikum.