Durasi: 1:32:40
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:08 – 2:32)
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera. Terima kasih kerana masih setia bersama Perbincangan Rakyat Demi Melayu. Pada malam ini, kita akan bawakan tajuk, “Rahmat Bahagia, Tuhan Kurniakan, Raja Kita, Selamat Bertakhta.” Bait-bait ini, Rahmat Bahagia, Tuhan Kurniakan, Raja Kita, Selamat Bertakhta ini seringkali kita nyanyikan dalam lagu Negaraku. Untuk mengupas tentang bait-bait kata-kata ini, Perbincangan Rakyat Demi Melayu pada malam ini ingin menjemput beberapa panel. Yang pertama, kita ada Ustaz Engku Ahmad Fadzil, yang merupakan ahli jawatankuasa, Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia. Assalamualaikum, ustaz. Seterusnya, kita juga ada Prof. Dr. Supyan Hussin, yang merupakan mantan profesor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yang Dipertua Persatuan Ekskavasi dan Akreditasi Warisan Malaysia (PEDAWAM). Seterusnya, kita juga ada Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Datuk Mokhtar, yang merupakan pensyarah Undang-undang dan Perlembagaan, Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Assalamualaikum dan selamat datang diucapkan kepada para panel pada malam ini.
Para panel = (2:33 – 2:34)
Waalaikumussalam wbt.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (2:35 – 3:14)
Baik. Apabila kita bercakap dan juga menyebut tentang kata-kata Rahmat Bahagia, Tuhan Kurniakan, Raja Kita, Selamat Bertakhta, mungkin daripada pandangan Prof. Dr. Supyan Hussin, sebagai pembuka topik, pembuka bicara pada malam ini, dari segi definisi, mengapa budaya kita ini mengangkat kedudukan raja-raja di tempat yang tinggi dan rakyat seringkali dididik untuk mendoakan kesejahteraan kepada baginda? Mungkin Prof. boleh kupas, sejak bila amalan ini atau tradisi ini telah dididik dalam masyarakat Melayu? Silakan, Prof.
Prof. Dr. Supyan Hussin (ahli panel) = (3:15 – 13:33)
Terima kasih. Bismillahirrahmanirrahim. (baca doa pembuka bicara) Alhamdulillah, kita merafakkan kesyukuran terhadap Allah SWT di atas limpah kurnia-Nya, kita dapat meneruskan siri-siri webinar bicara tentang hal-hal yang berkaitan dengan tamadun Melayu, warisan Melayu dan bagaimana hubungan dunia Melayu dengan dunia Islam ini sendiri dan bagaimana mungkin kita dapat mengambil langkah-langkah bagi mengharmonikan suasana keadaan pada akhir zaman ini. Baik, kembali kepada persoalan yang dikemukakan oleh saudara moderator tadi. Saya ingin mengajak para pendengar, penonton untuk kembali kepada zaman sebelum Islam lagi. Disebut dalam al-Quran, bagaimana sebelum zaman Nabi Muhammad SAW ini sudah pun ada sistem raja. Kita mendengar bagaimana Raja Namrud, kita dengar bagaimana Raja Firaun dan kita juga membaca kisah dalam al-Quran dan juga dalam sirah nabawiyah berhubung dengan Nabi Sulaiman a.s. juga sebagai raja. Kita mendengar kisah Raja Zulkarnain dan juga sampailah hari ini, kita mendengar perkataan raja dan kita mendengar perkataan sultan. Pada zaman Nabi SAW itu, tidak ada disebut raja dalam kelompok kaum Bani Quraisy tetapi ada pembesar-pembesarnya. Jadi, kita boleh rangkumkanlah, ada dua karakter yang disebut dalam al-Quran, iaitu yang pertama ialah umara’ ataupun kita kata pemimpin, raja-raja dan yang kedua ialah ulama, iaitu para imam, pembimbing kepada kehidupan. Jadi, kalau kita lihat, nabi-nabi mewakili kelompok ulama manakala raja-raja mewakili kelompok umara’ tetapi ada dalam kalangan nabi-nabi juga ialah umara’, pemimpin-pemimpin juga. Bagi setiap kaum yang Allah SWT utuskan nabi-nabi ini, Dia hantar kepada kaum masing-masing. Misalnya, Allah SWT menghantar Nabi Ibrahim a.s kepada kaumnya. Kaum Nabi Ibrahim a.s. ini ada raja bernama Namrud di Babylon. Kepada Nabi Musa a.s. pula, Dia hantar kepada Raja Firaun. Jadi, sistem raja ini sudah ada sejak dahulu lagi. Apabila Rasulullah SAW meninggal dunia atau wafat, terbinalah sistem khalifah. Khalifah ini kedudukannya lebih besar daripada raja kerana menguasai empayar, bukan menguasai satu daerah kecil ataupun negeri kecil, negara kecil tetapi satu empayar yang meliputi kawasan-kawasan, negara-negara bawah takluk jajah sesuatu penguasaan. Di bawah khalifah itu, ada sultan-sultan pula. Jadi, dalam dunia Melayu ini, kita tidak dapat lari daripada apa yang telah pun dilakukan, diwarisi dari zaman dahulu lagi, yang disebut dalam al-Quran tentang raja-raja. Kita telah bermula awal lagi, bukan bermula dari kerajaan Melaka, bukan bermula dengan adanya raja yang disebut sebagai Parameswara, abad yang ke-14 tetapi lebih awal dari itu lagi. Kita tahu dalam sejarah Alam Melayu ini, sudah ada raja pada abad yang kedua lagi. Kedah Tua umpamanya adalah antara kawasan atau wilayah yang lebih besar daripada ini. Jadi, apabila kita bacakan ataupun sebutkan dalam lagu Negaraku, kita kata Rahmat Bahagia itu yang merupakan kata-kata doa yang disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong. Rahmat bahagia… Tuhan kurniakan… Raja kita… Selamat bertakhta. Baik, perkataan rahmat ini cukup besar bagi kita sebagai seorang Muslim kerana tanpa rahmat Allah sepertimana izin Allah, kita tidak terpilih untuk menjadi seorang Muslim. Seseorang selalunya berdoa, “Ya Allah, ampunkanlah dosaku.” Sebenarnya, perkataan yang lebih mulia, lebih baik ialah, “Ya Allah, aku mohon rahmat-Mu agar Kau ampunkanlah dosaku.” Baik, rahmat ini satu perkara yang besar, yang mungkin akan diulas oleh ustaz sebentar lagi tetapi saya hendak sebut di sini, ada dalam kalangan manusia yang beriman ini merasakan bahawa segala amal kehidupannya menjamin dia untuk masuk syurga. Dia sembahyang tidak tinggal, puasa tidak tinggal, haji tidak tinggal, bersedekah tidak tinggal. Dia merasakan seolah-olah segala amalnya itu menjadi lesen besar, menjadi sesuatu yang melayakkan dia untuk masuk ke syurga. Tetapi sebenarnya, kalau tidak mendapat rahmat daripada Allah, belum tentu dia dapat masuk syurga. Hanya kerana rahmat Allah dia dapat masuk dan bukan kerana amal-amalnya. Begitulah kita. Kita kata kita bersyukur atas nikmat iman dan Islam kerana itulah nikmat yang paling baik yang manusia boleh dapat. Tetapi itu adalah kerana rahmat Allah. Ada orang yang tidak mendapat rahmat Allah ini, tidak mendapat nikmat iman dan juga nikmat Islam. Begitu juga setengah-setengah orang yang mungkin bekerja hebat, memegang jawatan besar, mendapat gaji yang besar, kehidupan yang hebat, kehidupan yang kaya-raya tetapi tidak mendapat rahmat Allah. Maka, apabila tidak mendapat rahmat Allah, kemungkinan dia berada dalam keadaan kehidupan yang tidak bahagia, tidak seronok, tidak sejahtera, sakit, menghadapi masalah psiko dan macam-macam lagi. Jadi, dengan rahmat Allah, maka seseorang itu berada dalam keadaan yang diredai oleh Allah SWT. Jadi, apabila kita sebut rahmat bahagia, sebenarnya kita mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan rahmat ke atas raja-raja kita. Kenapa kita doakan begitu? Kerana dalam Islam, raja ialah payung kepada negara. Raja ialah payung kepada rakyat. Raja ialah payung kepada agama Islam. Apabila mereka ini dipertanggungjawabkan pada hakikatnya sebagai seorang pemimpin, penguasa di satu-satu tempat, dalam konteks Malaysia ini, negara kitalah. Maka, mereka sebenarnya memikul amanah yang digariskan oleh Allah SWT dan juga yang disampaikan oleh Nabi SAW bahawa mereka bertanggungjawab dalam menjaga kesucian Islam. Mereka bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan akidah umat Islam. Mereka bertanggungjawab dalam memastikan keadilan tertegak di atas muka bumi ini. Jadi, wajarlah kita mendoakan itu kerana mereka memegang tanggungjawab yang besar. Kita sentiasa memohon Allah SWT agar memberi rahmat kepada mereka dari sudut kesihatan, dari sudut kewarasan, dari sudut kekuatan, dari sudut keberanian, dari sudut mujahadah. Jadi, doa-doa ini cukup penting. Kita sampaikan dalam bentuk nyanyian lagu. Baik. Saya hendak pergi sikit kepada soal rahmat tadi. Kita mendoakan itu kerana kita yakin bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar. Baik. Bagaimana keadaan setengah-setengah pihak yang mengkritik bahawa ada individu, raja-raja atau sultan-sultan ini yang tidak mempunyai atau tidak menunjukkan ciri-ciri ataupun terlibat dalam perkara-perkara yang dikatakan sebagai kemungkaran, perkara yang tidak baik atau seumpamanya? Baik. Kita kena faham, dalam konteks perbincangan kita ini, kita sebut tentang institusi raja-raja, bukannya individu raja-raja. Individu manusia, boleh berubah dari satu masa ke satu masa. Kalau dahulu, keadaannya kurang baik, kali ini dia bertambah baik. Iman itu boleh naik turun bergantung pada amalan. Jadi, kalau kita menggunakan perspektif individu, mungkin kita sendiri pun ada masalahnya juga. Tetapi kalau kita menggunakan perkataan institusi raja-raja, maka kita telah meletakkan institusi raja-raja Melayu pada tempatnya. Institusi raja-raja ini bukan terdiri daripada raja sahaja, dia terdiri daripada Majlis Raja-Raja. Dia terdiri daripada penasihat raja-raja. Dia terdiri daripada sistem yang mengurus sistem raja tadi. Maka, dengan doa rahmat bahagia, kita mohon kepada Allah, kurniakan kepada raja-raja seperti yang kita nyanyikan itu sebenarnya, mudah-mudahan Allah SWT merahmati dan kemudian memberi petunjuk dan memberi bimbingan, memberi hidayah kepada raja-raja kita. Insya-Allah, mudah-mudahan permulaan ini telah memberi sedikit gambaran bahawa kita orang Melayu bukan suka-suka hendak menubuhkan sistem beraja tetapi ini ada hubung kait dengan pemerintahan yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada kita sebagai manusia, iaitu sebagai khalifah di atas muka bumi. Wallahuaklam. Sekian dahulu, assalamualaikum wbt.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (13:34 – 14:44)
Terima kasih diucapkan kepada Prof. Dr. Supyan atas penerangan itu. Boleh dikatakan institusi raja ini bukanlah benda baharu dan sudah lama ada dan kekal berevolusi. Dan untuk soalan yang … yang mana kita lihat dan kaitkan dengan Tanah Melayu, dengan Malaysia ini sendiri, yang kita tahu, raja-raja Melayu ini dikekalkan sebagai pelindung kepada agama Islam. Itu yang jelas. Apakah yang akan terjadi kalaulah raja-raja ini, yang berada di institusi itu tidak melindungi agama Islam? Adakah rakyat boleh sesat dari segi akidah dan bagaimana dengan keadaan hari ini? Sedangkan kita boleh lihat, raja-raja masih lagi menjadi ketua bagi agama Islam tetapi iman rakyatnya seolah-olah semakin nipis. Dalam hal ini, siapa yang tidak mendapat mesej yang jelas untuk menghormati institusi raja itu, untuk kita mendekatkan diri kepada Allah? Silakan, ustaz.
Ustaz Engku Ahmad Fadzil (ahli panel) = (14:46 – 25:24)
Bismillahirrahmanirrahim. (baca doa pembuka bicara) Alhamdulillah, terima kasih kepada saudara moderator dan seterusnya kepada rakan-rakan ahli panel. Menjurus kepada soalan yang ditanyakan pada akhir itu, siapakah sebenarnya yang tidak mendapat mesej yang jelas? Sebelum kita menjawab soalan tersebut, pertama kita memahami hakikat terlebih dahulu. Soalan mengatakan raja-raja dikekalkan, di situ ada unsur intention. Bukan saja-saja kewujudan raja-raja dalam institusi negara kita ini. Ada objektif yang besar, iaitu raja-raja, bahkan mana-mana orang walaupun dengan nama yang berbeza, mungkin tidak dinamakan raja tetapi dinamakan dengan nama yang lain, mereka memikul amanah kepimpinan. Dari segi Islam, mereka memang wajib melaksanakan hukum-hakam Islam. Itu memang tanggungjawab yang dipikul oleh mana-mana pemimpin sekali pun. Untuk menjaga keutuhan agama Islam. Sebab itu, syarat utama menjadi pemimpin dalam Islam mestilah orang itu beragama Islam. Bermakna, dia beriman dengan dia percaya kepada kebenaran dan kesucian agama Islam itu sendiri. Alhamdulillah, konsep menjaga agama ini bukan sahaja ada dalam agama kita, bahkan diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 37(1). Sebab itu, hati-hati dalam mendengar retorik-retorik daripada orang-orang politik. Kalau suatu masa dahulu, mungkin kita masih ingat, satu slogan mengatakan bahawa perlembagaan kita ialah perlembagaan sekular. Ini perlembagaan Lord Reid. Kita tidak kata perlembagaan kita ini sempurna kerana ia hasil susunan manusia, tentulah ada kekurangan tetapi adalah tidak tepat langsung untuk melabelkan perlembagaan kita sebagai sekular kerana sekular itu memisahkan agama daripada public space, agama tidak ada ruang, tidak ada tempat di ruang awam. Sedangkan, Perlembagaan Persekutuan ialah dokumen awam. Bahkan, dalam konteks negara kita, dokumen undang-undang yang tertinggi itu mengiktiraf peranan raja untuk menjaga agama, iaitu saya sebut tadi dalam Perkara 37(1) dibaca bersama dengan Jadual 4. Jadual 4 ini memang original language dalam bahasa Melayu, iaitu kami, nama sultan yang berkenaan yang akan menjadi Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia, bersumpah dengan melafazkan wallahi, wabillahi, watallahi. Bersumpah dengan nama Allah, maka dengan lafaz ini, berikrarlah kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku, ada apa yang diakui oleh Yang di-Pertuan Agong, sehinggalah dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa agama Islam. Jadi, inilah sumpah perlembagaan Yang di-Pertuan Agong. Kita tahu apabila Yang di-Pertuan Agong bersumpah, bererti sumpah baginda mengikat segenap organ-organ kerajaan kerana baginda bukan bersumpah atas personal capacity tetapi atas kapasiti baginda sebagai The Supreme Head of Federation, sebagai ketua tertinggi negara, maka tentulah sumpah perlembagaan baginda ini menjadi tanggungjawab setiap organ kerajaan, baik legislatif, parlimen ataupun eksekutif, menteri-menteri ataupun judiciary, iaitu mahkamah untuk memastikan agama Islam terjaga pada setiap masa. Kalau kita ambil pengajaran daripada ayat suci al-Quran, Surah Saff ayat 26, Allah SWT berfirman kepada Nabi Daud a.s. (baca ayat al-Quran). Firman Allah SWT, “Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di muka bumi mengganti pemimpin-pemimpin yang terdahulu.” Khalifah ini asal maknanya orang yang datang kemudian. Dahulu telah dipimpin oleh pemimpin lain. Jadi, jangan orang yang memegang tampuk kepimpinan menyangkakan dia akan kekal di situ kerana akan ada khalifah, akan ada orang yang menggantinya. Maka, yang pertama, (baca ayat al-Quran), ini tanggungjawab pertama seorang pemimpin dan begitulah juga konteks seorang raja memastikan manusia itu dijalankan hukum-hakam secara sebenarnya. Itu yang pertama. Yang kedua ialah (baca ayat al-Quran), dan janganlah sekali-kali kamu itu mengikut hawa nafsu. Jadi, ada dua perkara penting dalam ayat ini. Jalankan hukum antara manusia dengan hukum yang sebenar, yang diwahyukan oleh Allah SWT dan yang kedua, jangan menurut hawa nafsu. Itu secara teori. Kalau kita lihat secara praktiknya, bagaimana raja-raja menjalankan hukum yang sebenarnya dalam negara kita, sistem yang kita gunakan, mungkin nanti Prof. Khairil akan memperincikan, ialah sistem raja berperlembagaan. Bererti, bidang kuasa raja-raja telah ditetapkan oleh Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri dalam konteks undang-undang syariah, misalnya. Bahkan, dibantu oleh jabatan mufti dalam penetapan hukum-hakam, pengenalpastian hukum-hakam, dibantu oleh jabatan agama Islam dalam pelaksanaan dan juga dibantu oleh mahkamah-mahkamah syariah dalam bentuk penguatkuasaan. Hati-hati, pada zaman kita telah ada serangan-serangan untuk menghapuskan undang-undang syariah ini. Ini perlu dikawal dengan berhati-hati. Yang kedua, janganlah menurut hawa nafsu. Jadi, secara praktikal, nampaknya sangat ideal dalam konteks negara kita ini, raja-raja dan juga Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak on advice, mengikut nasihat. Cuma persoalannya, nasihat siapa? Kalau Yang di-Pertuan Agong, kita tahu atas nasihat Perdana Menteri kecuali beberapa perkara yang mana baginda akan mengikut budi bicara baginda sendiri. Yang lain itu baginda hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri ataupun kita kata secara umumnya ialah kabinet. Jadi, kalau secara teori, nampak cantik. Hanya elemen bahawa baginda mungkin tersilap membuat keputusan dapat diminimumkan kerana keputusan baginda berdasarkan nasihat yang telah dibincangkan oleh kabinet. Cuma dari segi praktikal, yang dikatakan kabinet ini, kebanyakannya terdiri daripada ahli politik yang menang pilihan raya sebagai member of parliament. Di sinilah risiko elemen nafsu termasuk semula. Kerana apa? Kerana dalam budaya politik yang ada sekarang ini, budaya berbohong, budaya memfitnah, bahkan sanggup menjual sokongan untuk habuan material, mungkin kita katakan dalam bentuk rasuah dan sebagainya, itu sangat subur dalam budaya orang mendambakan undi daripada pengundi. Jadi, kita kena fikir balik, bagaimana untuk check and balance elemen nafsu itu telah berleluasa sehingga kita lihat, seolah-olahnya sebaliknya. Peranan raja pula menasihati orang-orang politik supaya lebih rasional, supaya tidak melampau dalam berpolitik. Maka, di situlah mungkin ada kepentingan the inner circle, orang-orang yang menasihati raja, Majlis Penasihat Raja ataupun orang-orang besar yang masih lagi ada risiko sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari rhm. Nabi SAW memberitahu bahawa (baca petikan hadis). Apabila Allah SWT membangkitkan seorang nabi dan diganti oleh khalifah, maka ada dua inner circle. Satu (baca petikan hadis). Satu, inner circle yang menggalakkan raja tadi melakukan kebaikan dan yang kedua, (baca petikan hadis), inner circle yang menyuruh melakukan kejahatan dan menggalakkan kejahatan. Jadi, di sini mungkin boleh dipertimbangkan pada masa akan datang sebagai mengelakkan elemen-elemen tukang nasihat memberi nasihat yang tidak betul. Mungkin boleh dipertimbangkan pewaris raja kita akan dilatih di akademi khas diraja dengan silibus yang khusus untuk agama dan juga untuk keduniaan. Jadi, mesej yang dikatakan tidak sampai itu saya lihat secara jujur dalam negara kita ini, of course kalau tidak orang kata, ada raja-raja pun, masyarakat masih teruk. Tetapi bayangkan kalau tidak ada raja. Dalam keadaan raja masih boleh mengeluarkan titah, boleh mengarahkan mufti untuk mengeluarkan fatwa, berkaitan dengan satu isu pun masih teruk, bayangkan kalau tidak ada autoriti. Tetapi kalau mesej yang tidak sampai saya lihat, selalunya kepada ahli-ahli politik yang telah dibutakan dengan nafsu untuk berkuasa, yang telah dipekakkan dengan gelojoh untuk mendapatkan habuan politik. Maka, akhirnya, undang-undang yang sepatutnya beroperasi dengan baik, sepertinya kurang efektif. Insya-Allah, kita akan sama-sama mendengar selepas ini daripada Prof. dari sudut undang-undang. Setakat itu. Wassalamualaikum wbt.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (25:25 – 26:48)
Baik. Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Engku Ahmad Fadzil atas penerangan itu. Jadi, apa yang boleh kita katakan amat penting kalau ada akademi diraja untuk melatih penasihat-penasihat. Kita mungkin boleh bersetuju dan rasanya rata-rata rakyat bersetuju bahawa sekiranya ahli politik gagal untuk mengambil mesej yang ditekankan, dititahkan oleh institusi diraja, akan menjadi satu barah yang sangat serius kepada anggota masyarakat. Untuk soalan yang seterusnya, kita hendak ajukan kepada Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Datuk Mokhtar tentang di Malaysia, kita ada raja berperlembagaan tetapi kalau kita lihat hari ini, secara halusnya dalam media sosial sudah ada seperti suara-suara sumbang yang berbisik. Contohnya, macam gerakan antimonarki. Mereka ini boleh dikatakan sudah ada dan bagaimana dengan mereka ini yang boleh dikatakan tidak sealiran dan sudah menunjukkan tanda-tanda untuk tidak menghormati istana? Adakah memang sudah ada satu tindakan yang khusus atau mereka ini hanya akan dipanggil oleh pihak berkuasa, ditahan dan sebagainya atau ada lagi perkara-perkara lain yang wajar untuk mereka jangan buat kalau tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka? Silakan.
Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Datuk Mokhtar (ahli panel) = (26:50 – 37:03)
Terima kasih, tuan moderator. Yang saya hormati, Tuan Lokman Hakiem. Juga yang saya kasihi, Prof. Dr. Supyan dan yang saya hormati, Ustaz Engku Ahmad Fadzil dan juga penganjur, Sheikh Karim, nampaknya tidak bersama kita kali ini tetapi beliau ada… Okey. Soalan itu adalah amat menarik sekali kerana menyentuh tentang gerakan antimonarki. Bagi saya, tindak balas yang kita boleh ambil terhadap gerakan ini ada empat. Pertama sekali, tindakan undang-undang. Kedua, tindakan bersifat politik. Ketiga, tindakan bersifat sosial dan keempat, tindakan berlandaskan agama. Jadi, ada empat tindak balas yang kita boleh ambil terhadap gerakan antimonarki ini. Tetapi sebelum itu, izinkan saya, tuan moderator, untuk menyentuh sejarah gerakan antimonarki ini. Pertama sekali, perlulah kita sedari sebagaimana yang Prof. Supyan beritahu tadi, di Malaysia ataupun di Tanah Melayu, tidak pernah tidak beraja. Sistem politik tradisional sememangnya mempunyai raja sejak dahulu lagi. Apabila kita lihat perkataan government dalam bahasa Inggeris, di Malaysia, kalau diterjemahkan, dikatakan kerajaan. Kerajaan itu berasal daripada perkataan raja. Apabila ada raja, ada kerajaan. Ada raja, ada pemerintahan. Tiada raja, tiada pemerintahan, tidak ada sistem politik. Jadi, itu menunjukkan bagaimana pentingnya kedudukan raja dalam sistem politik tradisional. Apabila kita merdeka, sistem politik tradisional ini dikekalkan tetapi tidak secara mutlak kerana kita berubah daripada raja yang mempunyai kuasa mutlak kepada raja berperlembagaan sebagaimana Ustaz Engku Ahmad Fadzil ada sebutkan tadi. Jadi, di sini institusi raja itu masih tetap dikekalkan. Memang ada gerakan antimonarki ini sekarang. Tetapi sebelum itu, saya ingin bawa perhatian tuan-tuan dan puan-puan sekalian bahawa gerakan antimonarki ini sudah pun wujud sebelum merdeka lagi. Malah, gerakan antimonarki ini berjaya menguasai Tanah Melayu seketika. Kita ada dua situasi gerakan antimonarki ini berjaya. Pertama sekali, de facto, secara in fact. Ia berlaku apabila tentera Jepun menyerahkan negara kita kepada pihak Inggeris apabila mereka tewas peperangan. Apabila pihak Jepun menyerah kalah pada 19 Ogos 1945, maka pihak Inggeris telah mengambil alih jajahan tetapi ada satu waktu yang tidak ada pihak berkuasa Inggeris. Negara kita telah berlaku kacau-bilau. Ini yang dikatakan interregional. Ketika ini, pihak Bintang Tiga berkuasa serta bermaharajalela membunuh, menzalimi orang sesuka hati. Keadaan ini telah dilaporkan dalam pelbagai suratan sejarah dan di sinilah de facto raja cuba dihapuskan. Siapakah di sebalik gerakan ini? Bintang Tiga ataupun Parti Komunis Malaya. Di sinilah berlakunya permulaan gerakan antimonarki. Apabila kerajaan Inggeris kembali, maka negara kita telah diasaskan dengan Malayan Union. Malayan Union ini merupakan satu republik. Walaupun raja-raja itu mempunyai peranan, tetapi tidak mempunyai kuasa dalam politik ataupun dalam pemerintahan. Jadi, di sini berlaku situasi yang kita tidak mempunyai raja-raja ataupun monarki. Ini diakui oleh pihak penjajah bahawa sistem yang tidak beraja ini memang tidak sesuai, tidak boleh diterima oleh masyarakat di Malaysia. Jadi, Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah dihidupkan semula pada tahun 1948, 1 Februari 1948 untuk menggantikan Malayan Union. Jadi, ada dua situasi kita tidak mempunyai raja, iaitu pertama sekali, ketika peralihan kuasa daripada Jepun kepada Inggeris yang Bintang Tiga telah bermaharajalela, telah membuat kezaliman kepada penduduk tempatan dan keduanya apabila Malayan Union ditubuhkan. Sekarang ini, jika kita lihat gerakan Parti Komunis Malaya telah menyerah kalah ataupun membuat perjanjian damai pada tahun 1989. Mereka telah menyerah kalah dan tidak mahu melakukan subversif lagi. Sekarang kita dapat melihat sebagaimana yang tuan moderator sebutkan, bisikan-bisikan gerakan antimonarki. Kita bimbang bahawa gerakan antimonarki ini mungkin ada kaitan dengan lipatan sejarah. Itu yang kita amat risau sekali dan kita dapat lihat gerakan antimonarki ada menyebabkan unsur-unsur subversif. Oleh itu, kita perlu belajar daripada sejarah. Untuk keadaan sekarang, apabila kita sudah merdeka dan parti komunis sudah menyerah kalah ataupun mencari perjanjian damai, masih ada lagi gerakan antimonarki. Siapakah dalang? Wallahuaklam. Tetapi apa tindak balas yang kita boleh ambil terhadap gerakan ini? Seperti yang disebut tadi, ada tiga. Pertama sekali, bersifat undang-undang. Kedua, bersifat politik. Ketiga, sosial dan agama. Dari segi undang-undang, kita boleh melakukan pendakwaan. Pendakwaan dilakukan berdasarkan undang-undang yang sedia ada. Kita boleh gunakan Akta Hasutan. Kita boleh gunakan Kanun Keseksaan. Kita boleh gunakan Akta Multimedia dan Komunikasi. Kita boleh gunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Ini semua ialah undang-undang yang kita boleh gunakan untuk menghalang berlakunya kekacauan oleh pihak-pihak yang mahu menghapuskan institusi raja. Menggunakan kuasa yang sedia ada, maka penerbitan, media sosial yang membangkitkan kemarahan ataupun rasa sakit hati terhadap institusi raja, kita dapat kekang dengan menggunakan kuasa berdasarkan undang-undang. Malah, tuan pengerusi, apabila kita lihat ada sesetengah pihak cuba menggunakan elemen-elemen keganasan ataupun terrorist. Maka, di sini, boleh juga kita gunakan Akta Pencegahan Keganasan ataupun Prevention of Terrorism Act yang tahanan tanpa bicara boleh dibuat. Ini berlaku yang mereka cuba menubuhkan republik Islam. Di sini digunakan nama Islam juga tetapi bersifat antimonarki. Kita amat risau sekali bahawa orang yang mengatakan demi keadilan, demi kesamarataan, apakah sebenarnya agenda mereka? Benarkah mereka benar-benar mahukan keadilan ataupun sebenarnya mereka mahu menjatuhkan Islam dengan menggunakan nama Islam? Itu kita amat risau sekali. Telah kita lihat ada kumpulan-kumpulan pengganas yang membunuh orang Islam atas nama Islam. Kita harap orang Islam tidak terpedaya dengan dakyah-dakyah yang menggunakan keganasan-keganasan ini. Itu dari aspek undang-undang. Kedua, tindak balas kita melalui politik. Politik ini ada dua. Satu, politik melalui pilihan raya yang kita menggunakan kuasa mengundi untuk memilih pemimpin yang akan menyanjung tinggi Perlembagaan Negara dan juga institusi raja-raja. Di sinilah kuasa kita sebagai pengundi. Jika kita hendak melaksanakan amanah kita dengan memilih pemerintah yang mempunyai kepentingan sendiri, yang mengutamakan kepentingan negara lain, tidak mendaulatkan negara sendiri, maka kita telah mengkhianati amanah yang diberikan oleh Allah untuk memilih pemerintah. Di sini ialah tanggungjawab kita untuk mengundi kerana sebagaimana yang dilaporkan, kajian dibuat, majoriti orang yang tidak mendaftar untuk mengundi dan tidak pergi mengundi ialah orang Melayu Islam. Jadi, kita sebagai seorang warganegara Malaysia yang mempunyai hak dan kuasa untuk memilih pemerintah, kenapa tidak mendaftar untuk mengundi? Kenapa tidak pergi mengundi? Bercakap di belakang berdegar-degar tetapi apabila tiba masa untuk berbuat sesuatu, berkuasa untuk sesuatu, mereka undur ke belakang dan tersipu-sipu malu. Ini bukan sifat seorang Melayu dan seorang Islam. Jadi, kita perlu menggunakan hak kita untuk menggunakan kuasa politik ini bagi memilih pemerintah yang akan menyanjung Perlembagaan, memastikan institusi raja dan agama kita terpelihara dan memastikan kesejahteraan semua rakyat Malaysia juga terjaga. Itu adalah melalui pilihan raya. Politik juga membenarkan kita untuk terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam membuat keputusan undang-undang walaupun tiada pilihan raya. Ini melalui sistem demokrasi berparlimen. Kita tidak pergi ke Parlimen tetapi wakil rakyat kita pergi ke Parlimen. Di sinilah kita sebagai seorang Melayu dan Islam perlu sedar bahawa kita mempunyai tanggungjawab memastikan wakil rakyat yang kita pilih itu bertindak mengikut lunas-lunas Perlembagaan, agama dan mengikut kemahuan kita atas pilihan yang kita buat. Dari segi sosial pula, kita boleh menggunakan hak kita untuk berpersatuan bagi meminta agar semua tindakan yang dibuat oleh kerajaan adalah memelihara kemaslahatan rakyat dan juga agama Islam. Sudah tentu dari aspek agama, sebagaimana Ustaz Engku Ahmad Fadzil telah beritahu tadi, bahawa pentingnya ketua agama Islam, iaitu raja-raja Melayu dalam mempertahankan Islam secara keseluruhan. Jadi, mungkin setakat ini dahulu perbincangan saya. Insya-Allah, saya akan buat lebih terperinci lagi kemudian. Terima kasih.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (37:05 – 39:54)
Baik. Terima kasih diucapkan kepada Prof. Madya Dr. Khairil Azmin atas komentar tadi. Kepada anda yang sedang menonton ini, kalau sudah layak untuk daftar mengundi, tolong daftar mengundi kerana peratusan yang dikeluarkan memang untuk orang Melayu sangat rendah dan cukup membimbangkan. Jadi, sebelum kita beralih ke pusingan yang kedua, kita ingin bacakan dahulu antara komen yang ditinggalkan oleh penonton kita di Facebook Demi Malaiu. Antaranya, yang pertama saya ingin memilih komen daripada Hj Anuar Ibrahim. Okey, katanya, “Benar. Mana-mana individu tidak semestinya dilahirkan kuat iman. Zaman kegemilangan Islam pun ada ulama yang masyhur telah dizalimi.” Seterusnya, daripada Hj Anuar lagi. Katanya, “Inner circle raja-raja jangan malas terus menuntut ilmu dan buat kerja dan khidmat umum demi keredaan Allah, baru dapat rahmat-Nya.” Daripada Nur Azmah pula katanya, “Dalam kalangan masyarakat kita sekarang ini memang ramai yang tak hormat dengan institusi raja-raja, mungkin kegagalan sistem pendidikan memberi penerangan tentang kepentingan raja-raja dalam menjaga Islam sebagai agama Persekutuan, dalam masa sama media sosial tidak memainkan peranan mendidik.” Daripada Zaha Hamid, “Tanah Melayu mempunyai raja-raja yang paling ramai di dunia. Semenanjung emas yang mesti dijaga dengan baik. Jangan biarkan tanah air tergadai kerana salah tadbir.” Daripada Faisal Said, “Undang-undang negara dalam banyak hal mengikat kuasa raja-raja pada nasihat Perdana Menteri. Baru-baru ini, dah dua kali Ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyelamatkan negara dari ketidaktentu hala. Apakah masa telah tiba untuk kuasa raja-raja diperkuatkan?” Dan daripada Putra Demang, katanya, “Anak Melayu hari ini boleh dikatakan kurang kesedaran yang jelas atau tidak sedar pentingnya institusi diraja di negara ini.” Baik. Jadi, untuk memasuki pusingan kedua, soalan ditujukan kepada Prof. Dr. Supyan. Frasa yang sering kita dengar bahawa raja ialah payung negara dan rakyat sentiasa dinaungi rahmat-Nya tetapi sepertimana yang kita ingin petik daripada antara komen daripada ustaz tadi, ada segelintir ahli politik ini seolah-olah mengambil kesempatan demi kedudukan mereka. Padahal, kalau kita lihat jawatan mereka itu hanya kecil sahaja, tidak mengatasi institusi diraja. Silakan.
Prof. Dr. Supyan Hussin (ahli panel) = (40:01 – 50:07)
Terima kasih, saudara moderator. Assalamualaikum wbt. (baca selawat ke atas Nabi) Sebelum saya menjawab soalan yang dikemukakan itu, saya ingin sebut, ada beberapa bentuk sistem beraja. Yang pertama, sistem beraja mutlak, iaitu raja ialah ketua kepada negara dan raja bertanggungjawab dalam mentadbir secara total. Negara yang mengamalkan sistem beraja mutlak ini, antara lain ialah Arab Saudi, Brunei, United Arab Emirates, Qatar, Oman, Tonga. Kemudian, kita ada satu lagi sistem yang disebut sebagai sistem raja berperlembagaan separuh. Maknanya, setengah-setengah. Antara lain, negara yang mengamalkan raja berperlembagaan separuh ini ialah Bahrain, Jordan, Kuwait, Maghribi, Monaco dan juga satu lagi negeri di sebelah Eropah. Satu lagi ialah raja-raja Komanwel. Kerajaan Komanwel ini merupakan tanah-tanah jajahan oleh British, oleh England. Ketua kepada kerajaan Komanwel dalam sistem raja berperlembagaan ini ialah Queen Elizabeth sendiri. Beliau telah mewakilkan Jeneral Gabenor ataupun Gabenor Jeneral untuk menjaga negara-negara di bawah tanah jajahan British ini, yang Queen Elizabeth ialah raja berperlembagaan. Kita ada satu lagi bentuk raja berperlembagaan, yang raja mempunyai kedudukan istimewa dalam pemerintahan sepertimana yang ada di Malaysia tetapi konsep sebenarnya raja berperlembagaan ini telah diamalkan dahulu. Kalau kita katakan dahulu belum ada perlembagaan sebuah negara, sebenarnya konsep raja, rakyatnya dan juga pengikutnya berbentuk begini, iaitu sultan atau raja ialah orang yang paling berkuasa. Kemudian, sultan memberikan kuasanya, delegasi kuasanya kepada beberapa orang untuk menguruskan negara. Kalau zaman dahulu, kita ada bendahara. Bendahara ini macam Perdana Menteri. Dia menerima arahan, menerima perintah daripada raja untuk melaksanakan kerja. Maka, Perdana Menteri atau bendahara melakukan kerja dan bendahara jugalah yang menasihati raja dalam perkara-perkara tertentu, bukannya mengarahkan raja. Perdana Menteri ataupun bendahara bukan mengarahkan sultan tetapi memberi nasihat. Sultan ada prerogatif atau kuasanya sendiri untuk menerima nasihat atau tidak. Tetapi dalam konteks raja berperlembagaan ini, dalam konteks kita ini, ada klausa-klausa tertentu yang raja mesti menerima, tetapi misalnya kita ambil contoh, dalam pelantikan Perdana Menteri dalam negara kita. Sebenarnya, yang memutuskan Perdana Menteri itu boleh dilantik atau tidak, sah atau tidak walaupun telah dipersetujui oleh ahli-ahli politik, ahli-ahli Parlimen, raja masih ada kuasa untuk menolak. Ini menunjukkan bahawa konsep institusi raja-raja kita ini masih lagi mengamalkan ciri-ciri raja-raja Melayu dahulu. Tetapi ada dalam kalangan orang politik ini yang tidak faham konsep raja-raja Melayu dan juga sistem monarki berperlembagaan ini. Mereka merasakan bahawa raja ini hanyalah untuk ritual ceremony ataupun majlis-majlis ritual sepertimana di England. Ini ialah satu kefahaman yang menyimpang dan menyeleweng kerana raja-raja kita bukan raja ceremonial. Tetapi mereka mempunyai kuasa-kuasa politik yang tertentu, yang telah digariskan. Kenapa perkara ini berlaku? Kenapa ahli politik jadi begini? Antara lain yang disebut oleh salah seorang yang memberi komen di Facebook tadi mengatakan bahawa, rakyat kita ini sebenarnya literasi terhadap institusi raja ini terlalu rendah, terlalu kecil. Kenapa? Ini berlaku kerana dalam sistem pendidikan kita, kita tidak memberi maklumat, kita tidak mendidik, kita tidak membimbing anak-anak sekolah ini untuk memahami sistem yang ada di negara kita. Seolah-olah sistem raja ini, satu perkara terpinggir, terpencil dan tidak perlu diketahui. Apatah lagi dengan sekolah vernakular, sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil, yang mungkin tidak ada langsung pendidikan sivik mengenai sistem beraja di negara kita. Pada hari ini, kita melihat media juga tidak membantu mendidik, membimbing masyarakat memahami kedudukan institusi raja-raja dalam negara. Akhirnya, mereka menjadi musuh kepada perkara yang mereka jahil, yang pepatah Arab kata, manusia menjadi musuh kepada perkara yang dia tidak tahu. Jadi, apabila dia tidak mengetahui kedudukan raja, kedudukan sultan dalam negara, maka mereka menjadi musuh. Mereka mulalah mewujudkan apa yang disebut oleh Prof. Madya tadi, timbul ataupun wujudnya kelompok-kelompok yang memberi gambaran buruk terhadap raja-raja, yang menentang monarki. Perkara ini pernah berlaku sebelum ini di Indonesia umpamanya. Apabila komunis telah berjaya meracuni pemikiran rakyat Indonesia, berlakulah pembunuhan beramai-ramai terhadap raja-raja, kerabat diraja, keluarga diraja sehingga punah, hancur keseluruhan kerabat diraja dan tidak ada lagi raja yang boleh menjadi, mengambil takhta. Sebahagiannya melarikan diri dan menukar nama-nama raja, nama-nama mereka. Kalau mereka membawa nama Tengku, membawa nama-nama Raja Muda seumpamanya, keseluruhan nama itu telah dihapuskan kerana bimbang mereka boleh dibunuh. Pada hari ini, banyak keturunan keluarga daripada diraja ini sebenarnya ada dan menjadi orang biasa tetapi mereka sebenarnya mempunyai salur-galur keturunan daripada raja-raja kerana komunis dan juga pihak-pihak tertentu yang mahu menghapuskan sistem beraja di negara kita. Saya ingin sebut satu perkara sikit untuk meraih perhatian tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Sebenarnya, sistem beraja ini kalau kita lihat, di Tanah Melayu ini, kita mempunyai elemen-elemen yang mempunyai salur-galur leluhur daripada ahli bait, daripada Rasulullah SAW. Ada daripada raja-raja kita dulu-dulu ini yang telah berkahwin dengan cucu cicit susur-galur Nabi Muhammad SAW dan berada dalam istana. Mereka menjadi sebahagian daripada golongan istana ataupun ahli bait. Saya tertarik dengan satu buku yang ditulis oleh Haji Muzaffar Datuk Haji Muhammad dan juga Tun Suzana Tun Othman. Ini bukunya. Dalam buku ini, Zuriat Rasulullah SAW, antara lain telah berada di Alam Melayu. Buku ini mengisahkan bagaimana ahli-ahli bait ini berada dalam kelompok-kelompok kepimpinan diraja suatu masa dahulu. Kemudian, berlakulah perubahan-perubahan zaman dan juga ancaman-ancaman menyebabkan kita lihat ada dalam kalangan zuriat Rasulullah SAW yang berada di sini yang sudah tidak tahu kedudukan mereka, asal usul mereka, darah daging mereka dan ada juga yang tahu tetapi mereka tidak berani untuk tampil ke hadapan. Kita maklum bahawa pada akhir zaman nanti, darah-darah daripada keturunan Rasulullah daripada ahli bait ini akan muncul, akan bersama dengan kelompok akhir zaman untuk bersama-sama menghadapi suasana yang lebih getir, yang lebih berat, yang lebih menakutkan. Jadi, kita percaya bahawa pada akhir zaman nanti, raja-raja Melayu ini akan kembali berkuasa, akan kembali meletakkan diri mereka sebagai penguasa dan juga pemerintah pada akhir zaman. Jadi, buat masa ini, kita mengharapkan semua pihak, khususnya Kementerian Pendidikan mewujudkan mata pelajaran Sivik, memberi literasi, mendidik masyarakat. Media penerangan kerajaan Malaysia mesti melaksanakan perkara itu. Kemudian, Majlis Raja-Raja, institusi raja-raja dianggotai kemungkinan satu kelompok yang dipanggil pusat pendidikan diraja harus memikirkan bagaimana perkara ini boleh dilakukan. Kemudian, penasihat-penasihat diraja, yang kita faham, penasihat diraja ini ada Orang Besar Empat, Orang Besar Enam Belas, ada Orang Besar 32, yang seharusnya memainkan peranan untuk mengangkat kembali kedudukan sistem raja-raja ini supaya mereka memahami, rakyat memahami kedudukan yang sebenar. Akhir sekali, saya ingin sentuh tentang bagaimana pentingnya keluarga-keluarga diraja harus mendapat pendidikan, bimbingan yang cukup, rapat baik daripada ulama, daripada para penasihat yang jujur dan menjunjung pemerintahan beraja. Kita tidak mahu ada penasihat yang lebih meletakkan kepentingan raja-raja untuk menjadi penasihat tetapi tidak meletakkan perjuangan. Perjuangan itu satu benda besar dalam negara supaya mereka memainkan peranan yang lebih baik dan meletakkan kedudukan raja-raja ini di tempat yang sepatutnya di negara kita. Wallahuaklam. Sekian dahulu, assalamualaikum wbt.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (50:08 – 51:05)
Terima kasih diucapkan kepada Prof. Dr. Supyan. Saya tertariklah dengan buku itu. Saya harap kepada anda yang menonton, Prof., mungkin boleh tunjuk buku itu. Tunjuk sikit. Ha, ini. Tajuknya, Zuriat Rasulullah & Raja-raja Melayu. Kepada anda yang sedang menonton, wajib untuk kita cari dan baca buku ini sebagai penambah ilmu pengetahuan kita tentang rahsia yang mungkin telah disembunyikan, insya-Allah. Baik. Seterusnya, ditujukan kepada Ustaz Engku Ahmad Fadzil. Tadi kita ada sebut tentang sudah ada gerakan antimonarki dan telah dikupas oleh Dr. Khairil. Mungkin ustaz boleh kupas dari segi agama pula, apa hukum-hukumnya terhadap mereka yang cuba menjatuhkan raja ini yang kita boleh katakan sudahlah menjaga agama Islam, memerintah dengan baik tetapi mereka tetap cuba untuk menghapuskan. Silakan, ustaz.
Ustaz Engku Ahmad Fadzil (ahli panel) = (51:07 – 1:02:36)
Terima kasih, saudara Lokman Hakiem. Bismillah, alhamdulillah (baca doa pembuka bicara). Kadang-kadang pertanyaan sebegini menjadi agak sensitif bagi sebahagian golongan yang mereka sebenarnya berada dalam suasana seperti fantasi. Mereka kadang-kadang complaint, tidak puas hati apabila raja-raja lalu di jalan raya, polis pengiring suruh mereka ke tepi. Jadi, mereka berasa ini satu benda yang menyakitkan hati mereka, seolah-olah di dunia ini keadaannya manusia hidup sama. Memang di negara mana pun, memang akan ada orang yang dikelaskan sebagai VIP ataupun VVIP yang mendapat laluan yang berbeza daripada orang lain. Kalau mereka ingin membuang raja-raja, mereka cuma akan menggantikan dengan raja yang lain, yang mungkin kita katakan tidak mengikut sistem yang sudah baik ini. Bahkan, boleh dikatakan misalnya yang kita lihat di sesetengah negara, yang mereka membuang raja, mengambil sistem republik, sistem presiden, selepas itu mereka sendiri merasakan dizalimi oleh presiden yang mereka angkat. Kalau dari segi agama, jelas hukum keluar daripada ketaatan sahaja, jangan kata hendak menjatuhkan, tetapi sudah tidak mahu lagi taat kepada raja adalah haram dan berdosa. Ini yang kadang-kadang orang jadi sensitif. Dia kata, “Alah, ini biasalah. Ustaz-ustaz ini mereka nak bodek raja-raja. Mereka nak cari makan. Ini ulama dunia.” Padahal, ini hukum yang disepakati oleh pelbagai mazhab. Bahkan, mazhab yang luar daripada ahli Sunnah wal Jamaah juga ada yang sepakat dengan ahli Sunnah wal Jamaah kecuali golongan khawarij yang terkenal suka keluar daripada ketaatan, melakukan kekerasan. Jadi, apatah lagi kalau sampai gerakan cuba menjatuhkan raja yang memerintah dengan baik. Itu bahkan boleh merupakan jenayah bughah. Ada kriteria-kriteria tertentu. Kalau dari segi hukum Islam, up kepada level yang dipanggil bughah. Kalau sudah jadi bughah, bahkan wajib diperangi golongan tersebut. Tetapi masyarakat kita ada satu sensitiviti, sebahagian mereka yang tidak faham sebagaimana yang disebut oleh Prof. Supyan tadi, (baca petikan hadis). Manusia menjadi musuh kepada apa yang mereka tidak kenal. Jadi, sepatutnya perlu diperkenalkan dalam silibus kita tentang kepentingan institusi raja-raja ini dan lebih perlu lagi, misalnya, kita elakkan daripada mengiktiraf sistem-sistem yang misalnya, baru-baru ini, ada kecoh isu UEC, yang lebih menjarakkan lagi orang Malaysia sendiri dengan sistem yang diamalkan di negara kita. Saya masih ingat ketika JAKIM share dalam laman Facebook mereka, (sebut dalam bahasa Arab). Sultan merupakan bayangan Allah di muka bumi. Ini methaphorical, bukan bayangan dengan makna fizikal. (sebut dalam bahasa Arab) Barangsiapa yang memuliakan sultan, maka Allah memuliakan dia. (sebut dalam bahasa Arab). Barangsiapa yang menghina sultan, maka Allah akan menghina dia. Kecoh di Facebook JAKIM itu kerana mereka ini mempunyai mentaliti politik kepartian yang teruk. Jadi, apa sahaja yang masuk dalam kepala otak mereka, mereka akan tapis dengan sentimen politik kepartian. Mereka menganggap seolah-olah hadis itu diutarakan untuk membodek kerajaan pada masa itu. Ini jelas satu kekeliruan kerana kewajipan taat kepada pemerintah ini hukum syarak yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan hadis walaupun diperkatakan hadis tadi ada sebahagian ulama mengatakan daif, ada yang mengatakan sahih tetapi tidak ada yang menilainya palsu tetapi memang disokong oleh dalil al-Quran dan hadis. Misalnya, (sebut dalam bahasa Arab). Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul dan juga kepada ulil amri. Memang ada pandangan yang kuat mengatakan ulil amri di sini ialah ulama tetapi tidak juga menafikan bahawa ulil amri dalam makna pemerintah, juga wajib ditatati. Ini yang pelik. Tadi kita bercakap tentang keharaman keluar daripada ketaatan, apatah lagi menggulingkan raja yang memerintah dengan baik. Tetapi kalau kita lihat dari segi hukum, hatta kalau raja itu memerintah dengan zalim pun, haram kita mengangkat senjata cuba menggulingkan raja. Ini yang menimbulkan kehairanan. Kalau raja yang adil, okeylah. Tetapi bagaimana kalau raja atau pemerintah itu zalim? Padahal, ini sebenarnya daripada hadis Nabi SAW. Bahkan, Nabi SAW describe dalam bentuk yang lebih membimbangkan lagi. Nabi SAW memberitahu, (sebut dalam bahasa Arab). Akan ada selepas daripadaku pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut hidayah aku. Padahal, raja-raja kita, alhamdulillah, secara umumnya masih patuh, masih taat, masih memelihara agama. (sebut dalam bahasa Arab) Tidak mahu lagi mengikut sunah Nabi SAW. Sedangkan raja-raja kita, alhamdulillah, rata-ratanya masih mengikut sunah Nabi SAW. (sebut dalam bahasa Arab) Akan bangkit dalam kalangan mereka orang-orang yang hati mereka merupakan hati-hati syaitan. (sebut dalam bahasa Arab) Rupa sahaja manusia tetapi hati jahat seperti hati syaitan. Bayangkan. Alhamdulillah, belum pun berlaku di negara kita. Mungkin ada kekurangan sana, sini pada pemerintah kita. Mungkin ada kekurangan sana, sini hatta pada diri peribadi tuanku-tuanku raja tetapi kita belum jumpa yang sampai boleh describe sebagai yang mempunyai hati syaitan. Alhamdulillah, tidak ada. Itu pun apabila ditanya oleh Sayidina Huzaifah bin al-Yaman r.a., (sebut dalam bahasa Arab). Kalau diuji dengan keadaan macam itu, macam mana patut buat? Lalu, Nabi SAW menjawab, (sebut dalam bahasa Arab). Hendaklah kamu dengar dan taat kepada pemerintah. Ini yang kalau kita cerita pada orang ramai yang tidak faham, mereka menyangkakan bahawa kita sedang menyeru orang supaya menyokong kezaliman. Sebab orang-orang jahat pun kita taat. Padahal, tidak demikian. Kita orang Islam tidak boleh melakukan kezaliman dan tidak boleh reda dengan kezaliman. Reda sahaja tidak boleh, apatah lagi membantu kezaliman, tidak boleh. Tetapi ada beza antara tidak reda dengan kezaliman dengan tidak bangkit menentang pemerintah yang zalim. Di situ ada beza. (sebut dalam bahasa Arab) Walaupun dipukul belakang kamu. (sebut dalam bahasa Arab), walaupun dirampas harta kamu. Ini yang mereka tidak suka. Ini ustaz-ustaz ini, ustaz yang menyokong orang-orang zalim. Tidak, ya. Ini ialah pesanan daripada Nabi SAW sendiri. Kenapa? Lihat, ya, dalam akidah tahawiyah, yang imam ini, kitab akidah beliau dipakai oleh golongan yang tidak sependapat, iaitu golongan ahli Sunnah wal Jamaah, berpegang dengan akidah tahawiyah ini tetapi pada masa yang sama, tidak sependapat dengan mereka golongan yang mengaku ahli Sunnah wal Jamaah juga tetapi dalam kalangan wahabi, juga berpegang dengan akidah tahawiyah tetapi mengikut tafsiran mereka sendiri. Jadi, dalam kitab ini, disebut (sebut dalam bahasa Arab), kami tidak berpegang boleh menderhaka kepada pemimpin-pemimpin dan orang-orang yang berkuasa walaupun mereka zalim. (sebut dalam bahasa Arab), dan kami tidak berpandangan boleh mendoakan keburukan kepada pemimpin. Bayangkan. Kadang-kadang, kita sebab berbeza politik, kita mendoakan kehancuran, bala dan sebagainya kepada orang yang menjadi pemimpin. Bukan kita hendak menyokong kezaliman tetapi kita mendoakan moga-moga Allah memberi hidayah kepada dia ataupun Allah menggantikan dengan yang lebih baik. Tetapi (sebut dalam bahasa Arab), hendak tarik ketaatan, tidak boleh. (sebut dalam bahasa Arab), dan kami berpendirian taat kepada pemimpin ini termasuk taat kepada Allah. (sebut dalam bahasa Arab), sebagaimana pemimpin tidak menyuruh berbuat maksiat. (sebut dalam bahasa Arab), dan kami doakan kepada pemimpin ini supaya mereka itu mendapat kemaafan, keampunan daripada Allah SWT dan semoga mereka itu mendapat kebaikan. Kenapa? Kerana kebaikan pemimpin ini membawa kebaikan kepada rakyat. Jadi, kalau saya boleh berikan tiga sebab kenapa, mungkin ini waktu saya sudah hampir habis. Kenapa agama kita tidak membenarkan kita bangkit menggulingkan pemerintah? Jangan kata pemerintah di negara kita ini, alhamdulillah, tidak berlaku apa yang kita bayangkan tadi. Rampas harta, pukul orang sesuka hati dan sebagainya. Tidak berlaku tetapi kalau pun berlaku, kenapa dilarang? Pertama, kerana hendak menolak mudarat yang lebih besar. Lihat apa yang berlaku di negara-negara Arab apabila mereka bangkit cuba menggulingkan pemerintah mereka melalui Arab Spring, akhirnya menjadi Arab Winter. Sekarang ini berada dalam keadaan yang lebih teruk daripada sebelum kebangkitan. Yang kedua, kalau kita benarkan menggulingkan pemerintah dengan alasan zalim, maka setiap pemerintah baharu yang naik, tentulah juga boleh dituduh zalim oleh musuh-musuh politiknya. Dan yang ketiga, kalau kita mahu mengambil pengajaran daripada sejarah, tidakkah sahabat Nabi yang mulia, salah seorang daripada Khulafa al-Rasyidin, salah seorang daripada 10 orang yang dijamin masuk syurga, iaitu Sayidina Uthman bin Affan r.a. juga digulingkan, bahkan dibunuh dengan alasan yang diberikan oleh pemberontak bahawa Sayidina Uthman memerintah secara zalim. Jadi, kalau dalam undang-undang syariah, kalau boleh saya simpulkan, kalau dah sampai kepada peringkat bughah, itu wajib pemerintah perangi. Bukan untuk membunuh mereka tetapi untuk memadamkan api fitnah. Maksudnya, kalau sudah berjaya ditangkap, sepatutnya tidak dibunuh kerana tujuannya hanya untuk memadamkan api fitnah. Tetapi kalau tidak sampai kepada peringkat bughah, mungkin boleh dijatuhkan hukuman takzir. Tetapi kalau di negara Malaysia, mungkin Prof. nanti boleh detail kan, Penal Code, Artikel 121 dan juga adik-beradiknya sampai 121(d). Itu nampaknya lebih keras lagi. Orang yang dianggap melancarkan perang kepada Yang di-Pertuan Agong boleh dijatuhkan hukuman mati. Itu mungkin saya rasa Prof. Dr. Khairil Azmin orang yang lebih sesuai untuk berbicara tentang itu. Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum wbt.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:02:38 – 1:03:30)
Baik. Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Engku Ahmad Fadzil. Baik. Untuk soalan yang seterusnya, kepada Prof. Madya Dr. Khairil Azmin tentang apa yang ustaz ada sebut tadi. Kalau kita lihat, kebelakangan ini sudah ada berita-berita rakyat ditahan kerana menghina, mengeluarkan kenyataan-kenyataan jelik kepada institusi diraja dan benda itu dilakukan oleh orang-orang kita. Ada orang-orang kita. Bagi kita, ia sesuatu yang cukup menyedihkan. Mungkin Prof. boleh huraikan serba sedikit, apa akta-akta yang ada dan kenapa benda ini perlu ada untuk memastikan mungkin api fitnah itu tidak berlaku dan untuk memastikan institusi ini kekal ada, di samping kita boleh katakan, di mana Rahmat Bahagia, Raja Kita, Selamat Bertakhta dan sebagainya. Silakan.
Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Datuk Mokhtar (ahli panel) = (1:03:31 – 1:13:59)
Okey. Terima kasih, tuan moderator. Apabila kita berhadapan dengan golongan antimonarki ataupun sebarang aktiviti yang mempunyai usaha untuk menghapuskan institusi raja-raja di Malaysia, maka kita sebenarnya sedang berhadapan dengan orang yang ingin melanggar undang-undang dan melanggar Perlembagaan. Jadi, kalau kita boleh buat kesimpulan bahawa antimonarki ini ialah anti Rukun Negara. Mereka ialah anti Perlembagaan. Mereka ialah anti undang-undang dan antikedamaian dan ketenteraman. Pertama sekali, Rukun Negara kita ialah sebagaimana yang kita tahu, Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Jadi, apabila orang itu mahu menghapuskan institusi diraja ataupun antimonarki, maka dia bersifat anti dengan Rukun Negara, iaitu tiada kesetiaan kepada raja dan negara. Orang itu juga merupakan anti-Perlembagaan kerana dalam Perlembagaan memang terang-terang sudah menyatakan bahawa ketua utama negara bagi Persekutuan ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, iaitu salah seorang raja-raja Melayu. Ini kita boleh rujuk pada Perkara 32. Malah, ada banyak Perkara-Perkara dan Fasal-Fasal Perlembagaan berkaitan dengan raja-raja Melayu. Contohnya, Perkara 38 berkaitan dengan Majlis Raja-Raja. Juga Perkara 181 berkaitan dengan kedaulatan raja-raja. Ini sudah tentu menunjukkan bahawa institusi raja ialah sebahagian daripada Perlembagaan yang perlu kita junjung sebahagian daripada sistem pemerintahan politik negara. Maka, orang yang ingin menghapuskan institusi raja atau antimonarki bersifat anti Perlembagaan dan juga anti Rukun Negara. Malah, mereka merupakan anti undang-undang. Kenapa? Kerana peruntukan berkaitan dengan raja-raja Melayu wujud dalam semua Undang-Undang Tubuh Negeri di negeri-negeri Melayu. Semua negeri ada menyatakan tentang kedudukan dan peranan raja-raja Melayu. Malah, dalam undang-undang berkaitan dengan agama Islam ada menyatakan fungsi dan juga kuasa ketua-ketua agama Islam negeri-negeri, iaitu raja-raja Melayu dan juga Yang di-Pertuan Agong. Jadi, ini semua menunjukkan bahawa raja-raja ialah sebahagian daripada Rukun Negara, sebahagian daripada Perlembagaan dan sebahagian daripada undang-undang. Orang yang antimonarki ini sebenarnya antikedamaian. Mereka tidak suka akan kedamaian, mereka tidak suka akan ketenteraman. Apa yang mereka mahu adalah kacau-bilau. Apa yang mereka mahu ialah perpecahan, pergaduhan antara kaum, antara agama, antara bangsa. Mereka mahu kekacauan. Kenapa saya kata begitu? Kerana kita perlu ingat, Rukun Negara ini dibuat, dihasilkan selepas berlakunya tragedi 13 Mei, iaitu rusuhan kaum. Apabila berlaku rusuhan kaum, maka kerajaan pada ketika itu telah berusaha untuk mencari formula bagi menyatukan semua warganegara Malaysia. Maka, wujudlah Rukun Negara. Rukun Negara ini kita perlu hidupkan. Apabila kita lihat negara jiran seperti Indonesia, mereka begitu taat kepada Panca Sila. Malah, Panca Sila ini disebutkan pada setiap kali berlakunya majlis keramaian. Malah, apabila diadakan tarian ataupun segala majlis rasmi, Panca Sila ini diutamakan. Kita sepatutnya menetapkan prinsip Rukun Negara dalam hati, jiwa anak-anak kita kerana kita mahu mereka faham dan patuh pada Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. Apabila ini hilang, maka hilanglah taat, hormat, cinta akan negara. Hilanglah taat kepada pemerintah. Oleh itu, kita perlu menerapkan Rukun Negara, secara tidak langsung kita menerapkan kefahaman dan juga penghayatan pada institusi raja-raja. Apabila kita berhadapan dengan orang-orang yang antimonarki, apa yang kita boleh buat? Sebagaimana yang saya terangkan tadi, golongan ini ialah anti Perlembagaan, anti undang-undang, antikedamaian. Bermaksud, mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan undang-undang. Apa yang boleh kita laksanakan ialah kita laporkan kepada pihak berkuasa. Buat laporan polis. Apabila ada usaha yang cuba menghapuskan sistem raja, antimonarki, kita buat laporan polis. Apabila disebarkan sama ada dalam media sosial ataupun media cetak segala tindakan yang cuba menghancurkan ketenteraman awam dengan menghapuskan sistem beraja, kita buat laporan polis. Kenapa? Kita mahu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan pada gerakan yang cuba menghapuskan peruntukan Perlembagaan, yang cuba menghapuskan institusi raja dan cuba menghapuskan formula kesejahteraan dan kedamaian di Malaysia. Undang-undang yang berkaitan ada banyak. Sebagaimana yang sudah disebutkan tadi dan yang ustaz ada sebut tadi, ada beberapa undang-undang termasuklah Kanun Keseksaan. Jadi, sini kalau diizinkan, saya hendak sebut satu per satu. Pertama sekali, sekarang kebanyakan usaha dibuat melalui Internet, website, Whats App, Telegram dan pelbagai lagi, iaitu media sosial, media yang memang sukar untuk dikawal melalui Internet. Maka di sini, undang-undang yang terpakai ialah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan peruntukan yang berkaitan ialah Seksyen 23 berkaitan dengan penggunaan tidak wajar, kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. Maka, di sini kita boleh buat laporan kepada pihak yang berkuasa berkenaan dengan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komen permintaan atau apa-apa yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut ataupun mengganggu orang lain. Itu peruntukan Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia. Seterusnya, mungkin kita jumpa risalah, buku, majalah yang antimonarki, menimbulkan rasa benci pada sistem pemerintahan Malaysia, menimbulkan rasa benci antara kaum, maka kita boleh gunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 Seksyen 71 berkaitan dengan hasil penerbitan ini. Maka, di sini berkait dengan apa-apa sama ada makalah, karikatur ataupun kartun, fotograf ataupun gambar, laporan, nota, tulisan, bunyi, muzik, lagu-lagu yang menghasut, kenyataan dan pelbagai lagi yang memudaratkan ketenteraman awam, moral, keselamatan, menggemparkan ketahanan awam, maka menteri boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 71. Seterusnya, Akta Hasutan. Sebagaimana yang mungkin ramai sudah tahu, iaitu bawah Seksyen 31, hasutan, kecenderungan menghasut itu termasuklah kecenderungan yang mendatangkan kebencian atau penghinaan ataupun membangkitkan perasaan tidak senang kepada mana-mana raja atau kerajaan. Jadi, di sini disebut raja atau kerajaan, bukan sahaja kepada kerajaan yang memerintah sama ada Persekutuan atau negeri, malah raja sebagai ketua Persekutuan dan juga ketua negeri. Juga apa-apa kenyataan yang membangkitkan rakyat mana-mana raja atau penduduk mana-mana wilayah, cuba mendatangkan perbalahan dengan cara yang tidak sah dan juga menimbulkan rasa tidak puas hati, tidak setia dalam kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong. Di sini ada banyak alasan untuk digunakan Akta Hasutan kerana orang yang ingin menghapuskan raja ini akan menyakitkan hati, hendak menimbulkan keresahan, hendak menimbulkan perbalahan antara kaum, antara bangsa dan antara agama kerana apabila berkaitan dengan agama seperti yang Ustaz Engku Ahmad Fadzil sebutkan tadi, ketua agama Islam kita ialah sultan ataupun raja. Bukan sahaja menyentuh sensitiviti bangsa, malah juga agama. Dan Kanun Keseksaan, terdapat beberapa peruntukan. Sebagaimana yang disebut oleh ustaz tadi, iaitu Seksyen 121 dan juga Seksyen 121(a). Seksyen 121 berkaitan dengan berperang atau mencuba untuk berperang atau mengubah hati lawan yang di-Pertuan Agong, raja atau Yang di-Pertua Negeri. Jadi, ini berkaitan dengan penggunaan kekerasan dan ini pernah digunakan terhadap kumpulan Al-Ma’unah yang cuba menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan keganasan. Seterusnya, pada pandangan saya, apabila ada golongan antimonarki ini yang cuba menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan kekerasan, maka Akta Pencegahan dan Keganasan 2015 juga boleh digunakan oleh pihak berkuasa, iaitu boleh menggunakan kuat kuasa tahanan tanpa bicara kerana kita lihat sebelum ini Akta Keselamatan dalam Negeri, iaitu Internal Security Act pernah digunakan dalam banyak situasi. Namun, apabila undang-undang ini telah dibatalkan, dimansuhkan, maka digantikan dengan undang-undang lain. Antara undang-undang yang boleh digunakan untuk menangani keganasan-keganasan termasuklah untuk menjatuhkan institusi dengan kekerasan, maka Akta Pencegahan dan Keganasan ini boleh digunakan. Jadi, sebenarnya ada banyak undang-undang yang kita boleh gunakan bagi menyekat segala aktiviti yang mungkin menghapuskan institusi raja sama ada dalam media sosial, di penerbitan, lagu, muzik ataupun benda-benda yang boleh menyakitkan hati dan juga segala bentuk kekerasan. Yang pentingnya ialah kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengambil tindakan bersifat proaktif dengan membuat laporan polis, dengan mengutarakan perkara ini kepada pihak berkuasa agar tindakan diambil kerana pada masa yang sama, kita tidak mahu menjadi orang yang mengambil undang-undang dan melaksanakan undang-undang tanpa berpandukan lunas-lunas Perlembagaan. Kita seharusnya bersifat sensitif terhadap menjaga kemurnian kesejahteraan negara kita dan juga agama kita. Kita perlu mengambil tindakan proaktif dengan mengambil tahu apakah yang tersebar dalam media sama ada baik atau tidak untuk agama, bangsa dan negara kita. Mungkin setakat itu sahaja, tuan moderator. Terima kasih.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:14:00 – 1:14:39)
Baik. Terima kasih juga diucapkan kepada Dr. Khairil Azmin… Dan kita… tinggalkan oleh penonton kita… Okey, Putra Demang, katanya, “Para cendekiawan… perlu memikirkan semula… bagaimana… berperlembagaan… di Malaysia…” (jeda) Okey, sebentar. (jeda)
(gangguan Internet)
Prof. Dr. Supyan Hussin (ahli panel) = (1:16:35 – 1:16:37)
Nampaknya talian terputus.
Ustaz Engku Ahmad Fadzil (ahli panel) = (1:16:43 – 1:16:48)
Kalau ikut jadual, kesimpulan.
Prof. Dr. Supyan Hussin (ahli panel) = (1:16:49 – 1:17:57)
Kita sudah sampai pada penghujung. Kesimpulan, ya, mungkin kalau kita boleh teruskan pun, tidak mengapa, bagi mengisi ruang. Jadi, mungkin agaknya bolehlah antara kita teruskan dan kita mengisilah ruang mana yang patut. Jadi, mungkin saya boleh mulakan sebagai kesimpulan. Saya amat seronok dan gembira mendengar hujah-hujah dan juga pandangan-pandangan daripada kedua-dua ahli panel kita, Yang Berbahagia Ustaz Engku dan juga Prof. Madya Dr. Khairil. Cukup padat, bernas dan saya percaya kita mengharapkan banyak pihak supaya lebih mendalami hal-hal berkaitan dengan raja-raja ini. Jadi, saya percaya dalam kesimpulan kita ini pentingnya kita meningkatkan literasi maklumat dalam masyarakat kita, khususnya golongan anak muda kita supaya mereka memahami tentang konsep raja, skop sistem raja berperlembagaan, institusi raja-raja dan juga memahami tentang…
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:17:58 – 1:18:01)
Okey. Kita mengalami gangguan untuk seketika ini.
Prof. Dr. Supyan Hussin (ahli panel) = (1:18:03 – 1:18:06)
Kita dah masuk bahagian kesimpulan, moderator.
(jeda)
Prof. Dr. Supyan Hussin (ahli panel) = (1:18:11 – 1:21:49)
Boleh ya, sambung lagi. Jadi, kalau boleh saya sambung sikit lagi kesimpulan adalah penting juga media penerangan kerajaan supaya memainkan peranan membimbing, mendidik, mendedahkan kepada masyarakat umum. (jeda) Boleh saya teruskan, Hakiem? Putus-putus, Hakiem. Jadi, kita harap lebih banyak pendedahan dibuat secara formal dan tidak formal. Cara formal adalah melalui Kementerian Pendidikan, melalui sistem pendidikan kita, buku sekolah, aktiviti-aktiviti sekolah dan juga media penerangan kerajaan, dalam tv dan juga radio, harus memainkan peranan ini dan mendedahkan kepada masyarakat. Apatah lagi tentang batas-batas undang-undang yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak yang menghina raja, menghina institusi raja-raja, menghina Islam. Jadi, dalam perkara yang mereka tidak faham inilah yang menyebabkan suasana menjadi begitu. Saya boleh rumuskan secara keseluruhan bahawa Malaysia ini ialah salah satu negara di Nusantara. Di Nusantara Melayu maknanya di Asia Tenggara, yang penduduk-penduduk induk, kita sebut penduduk induk di Pentas Sunda ini ialah orang berkulit sawo matang, yang namanya Melayu, rumpun Melayu yang sinonim dengan Islam. Manakala orang luar, yang saya sebut ini orang luar dari Pentas Yanzhi, bukan Pentas Sunda. Pentas Sunda ini kita, penduduk induknya orang-orang yang mempunyai bahasa Melayu, pakaian cara Melayu, berbudaya Melayu, makanan cara Melayu dan segala adab, adat istiadat kita sebagai penduduk induk negara ini. Jadi, yang ini perlu difahami bahawa kita ada sistem raja. Manakala mereka yang datang dari Pentas Yanzhi, Pentas Yanzhi ini di bahagian utara, yang penduduk itu terdiri daripada orang yang kulit putih, kuning dan mata sepet. Ini orang dari sebelah sana. Dia bukan penduduk induk di negara kita yang sudah ada sistem raja. Satu lagi kelompok manusia dari sebelah Pentas Deka, iaitu penduduk dari Benua India yang kulit mereka gelap sedikit, walaupun ada hidung mancung tetapi mereka bukan penduduk induk. Penduduk induk di negara kita ada 69 peratus. Maka, kita harus berpaksikan kuasa politik raja, kuasa politik Melayu sebagai kuasa politik penduduk induk, bukannya pihak luar. Pihak luar ini biasanya terdiri daripada mereka yang membawa fahaman komunis melalui parti-parti politik ataupun NGO dan juga kelompok parti politik yang membawa fahaman liberal yang mahu menghapuskan sistem beraja yang ada di negara yang penduduk induknya ialah orang-orang Melayu, rumpun Melayu. Jadi, kita harap semua pihak mengambil peranan masing-masing untuk mengharmonikan suasana negara, mengamankan negara, bukan mencari jalan helah untuk menimbulkan suasana tegang, suasana tidak elok dalam negara. Jadi, kalau perkara ini berlaku, sebagaimana yang disarankan oleh Prof. Madya Dr. Khairil tadi, kita buat laporan polis. Kita ambil tindakan tertentu untuk memberhentikan gelombang-gelombang yang negatif, yang tidak baik ini. Sekian dahulu, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum wbt.
Para panel = (1:21:51 – 1:21:53)
Waalaikumussalam wbt.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:21:59 – 1:22:00)
Saya ada gangguan sedikit.
Ustaz Engku Ahmad Fadzil (ahli panel) = (1:22:01 – 1:22:04)
Baik. Saya teruskan, ya.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:22:04 – 1:22:08)
Kita teruskan dengan panel seterusnya untuk membuat kesimpulan. Silakan, ustaz.
Ustaz Engku Ahmad Fadzil (ahli panel) = (1:22:09 – 1:26:28)
Bismillah, alhamdulillah (baca selawat ke atas Nabi). Sebagai kesimpulan kepada tajuk perbincangan kita pada malam ini yang saya percaya semua ahli panel, Prof. Supyan, Prof. Madya Dr. Khairil Azmin sepakat betapa pentingnya kita mempertahankan dan memperkasakan institusi raja-raja di negara kita. Walaupun tadi ada saranan daripada Prof. Madya juga diulang kembali oleh Prof. Supyan, kalau ada ancaman-ancaman, desakan-desakan untuk menggulingkan institusi raja-raja dan sebagainya, kita perlulah membuat laporan polis. Tetapi to be fair, to be realistic, macam orang putih kata, its take two to tango. Kalau kita sahaja yang asyik membuat laporan polis tetapi pihak berkuasa tidak mengambil tindakan yang sewajarnya, maka tujuan kita untuk menjaga institusi raja-raja ini tidak tercapai. Sebab itu, bahkan akan menimbulkan kekecewaan kepada mereka yang bersungguh-sungguh ingin mempertahankan Perlembagaan, ingin mempertahankan undang-undang, ingin mempertahankan institusi raja-raja apabila melihat pihak yang sepatutnya mengambil tindakan tegas, tidak mengambil tindakan tegas. Kita tengok misalnya, apa yang telah disebutkan oleh Prof. Dr. Khairil tadi, bahawa Perkara 121 Penal Code pernah digunakan terhadap Al-Ma’unah dan hukumannya ialah hukuman mati. Tetapi kita tidak semestinya melihat kepada Perkara 121 sahaja kerana itu mungkin ada elemen persenjataan tetapi Perkara 121(a) misalnya, sangat luas. Whoever compasses, imagines, bayangkan, imagine sahaja sudah termasuk dalam kesalahan. Maknanya, dia sudah membayangkan ingin mencederakan atau menyebabkan kematian kepada Yang di-Pertuan Agong ataupun mana-mana sultan, itu juga berdepan dengan hukuman mati. Kerap kali berlaku mungkin ialah Perkara 121(b), juga digunakan perkataan yang luas. Whoever compasses, imagines, invents or intends the deposition of the Yang di-Pertuan Agong from the sovereignty of Malaysia. Maknanya, mana-mana orang yang kononnya hendak mengatakan satu masa kita tidak ada sultan, boleh didakwa di bawah Perkara 121(b) yang membawa hukuman penjara seumur hidup. Yang ini jelas lebih membimbangkan dan lebih ada detail effect berbanding dengan Akta Hasutan semata-mata. Tetapi yang saya baca dalam media sosial, ramai meluahkan kekecewaan walaupun banyak laporan polis dilakukan, sepertinya tiada tindakan yang tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat. Bahkan Perkara 121(c) memberikan hukuman yang sama kepada orang yang membantu dan orang yang sengaja tidak memberi maklumat juga dianggap melakukan kesalahan yang boleh dipenjarakan tujuh tahun ataupun denda. Maknanya, kalau kita tahu ada gerakan hendak menggulingkan raja-raja tetapi kita sengaja tidak mahu melaporkan, itu juga kita boleh didakwa di bawah kesalahan Perkara 121(d) ini. Jadi, kalau dari segi undang-undang, insya-Allah kita tidak kurang undang-undang yang boleh dikuatkuasakan tetapi kita perlukan kesungguhan. Saya seru lagi sekali kepada orang-orang yang aktif dalam politik, our politicians, jangan terlampau obses dengan short term political games. Jangan terlampau taksub dengan keuntungan politik jangka masa pendek. Misalnya, isu UEC itu perlu dipertimbangkan dengan betul-betul. Biarlah dalam berpolitik, kita mengambil kira kesejahteraan rakyat Malaysia jangka masa panjang. Setakat itu. Saya mohon maaf atas kesilapan. Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum wbt.
(jeda)
Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Datuk Mokhtar (ahli panel) = (1:26:34 – 1:30:33)
Mungkin saya boleh sambung, tuan moderator, buat kesimpulan. Di sini, saya ingin menyeru kepada semua warganegara Malaysia agar berbangga dengan apa yang kita ada. Khususnya orang Islam, janganlah disebabkan kerana islamofobia ataupun orang barat memperkecil-kecilkan, meremeh-remehkan Islam, kita malu hendak mengaku kita beragama Islam. Janganlah apabila orang memperkecil-kecilkan bangsa Melayu, adat Melayu, tamadun Melayu, kita malu hendak mengaku kita Melayu. Apabila orang memperkecil sistem politik kita berdasarkan raja, maka kita malu hendak mengaku kita Melayu. Ini ialah satu perkara yang amat menyedihkan. Kenapa? Kerana kita tiada jati diri. Mereka menganggap bahawa apabila kita berpegang pada agama, berpegang pada bangsa, kita akan kolot, kita akan mundur. Ini salah sama sekali. Kita ambil monarki sebagai contoh. Negara yang kita ikuti sistem politiknya, iaitu negara United Kingdom, sehingga hari ini mereka masih mengekalkan institusi raja. Adakah dengan mengekalkan institusi raja kita tidak demokrasi? Adakah dengan mengekalkan institusi raja kita tidak akan maju, kita akan kolot? Tidak. Itu semua ialah fitnah. Malah, negara Asia yang maju, negara Jepun mengekalkan maharaja Jepun, institusi raja. Jadi, segala kata-kata yang mengatakan dengan mengekalkan institusi raja kita tidak demokrasi, akan kolot, itu ialah fitnah semata-mata. Negara yang menghapuskan sistem raja juga, lihat negara barat, iaitu Rusia, mereka telah menjatuhkan… menggantikan sistem komunis. Maharaja China dijatuhkan, diganti dengan sistem komunis. Kita tidak mahu sistem politik kita berubah daripada yang sedia ada kepada sistem yang akan mengundang ketidaktenteraman dan kecelaruan. Itu kita tidak mahu. Kita sudah ada sistem yang bagus, kekalkan. Raja berperlembagaan dan demokrasi, kita kekalkan dengan begitu. Jika kita lihat Rukun Negara, iaitu Kedaulatan Undang-undang, daulah, kita mendaulatkan undang-undang. Orang Melayu, orang Islam memang berpandukan undang-undang dan syariat. Ada pepatah perbilangan, biar mati anak, jangan mati adat. Apa yang dimaksudkan adat? Adat itu ialah undang-undang. Kita mendaulatkan undang-undang. Jika anak kita melakukan kesalahan jenayah, maka kita ikut undang-undang. Jika dia patut dihukum bunuh, maka kita kena ikut hukuman ataupun adat undang-undang tersebut. Itu ialah adat Melayu. Itu ialah undang-undang bagi orang Melayu. Jadi, konsep rule of law ataupun kedaulatan undang-undang itu memang sudah berpaksi dalam kebudayaan dan pemikiran umat Melayu. Kita ialah bangsa yang berdasarkan kedaulatan undang-undang, berpandukan syariat. Kita telah membina satu sistem politik yang sesuai untuk masyarakat yang kita ada berdasarkan konsep raja berperlembagaan. Maka, di sini kita perlu yakin, kita perlu bangga dengan sistem diraja dan jangan terpengaruh dengan fitnah-fitnah yang mengatakan bahawa institusi raja, agama, bangsa kita adalah kolot. Kita perlu bangga sebagaimana Tuan Lokman bangga menggunakan tengkolok dia, maka kita juga perlu bangga menggunakan identiti kita. Bukan sahaja secara berpakaian, malah cara kita berfikir, cara kita bertindak. Kita bangga dengan sejarah kita kerana orang yang malu dengan diri sendiri aialah orang yang tidak mempunyai jati diri. Terima kasih, assalamualaikum.
Lokman Hakiem Abd Samad (moderator) = (1:30:36 – 1:31:08)
Baik. Jadi, diucapkan terima kasih kepada para panel yang hadir pada malam ini untuk membicarakan topik Rahmat Bahagia, Tuhan Kurniakan, Raja Kita, Selamat Bertakhta. Dengan itu, kita sudah berada pada penghujung program. Ucapan terima kasih ditujukan kepada Prof. Dr. Supyan, Ustaz Engku Ahmad Fadzil dan juga Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Datuk Mokhtar atas kesudian untuk membicarakan topik yang cukup penting. Jadi, bagi mengakhiri program pada malam ini, kita akan tinggalkan program kita dengan nyanyian lagu Negaraku. Mari kita hayati bersama-sama, insya-Allah.