BudayaSejarah

Pesilat Handal Suatu Ketika Dahulu Pasti Akan Berbaiah Dengan Istana Sebagai Pendekar!

Sebelum wujudnya istilah polis dan askar, individu yang memiliki ilmu seni bela diri akan diangkat sebagai pendekar dan bernaung di bawah Istana untuk menjaga kedaulatan agama, bangsa serta tanah air.

Sebab itulah dalam zaman kesultanan Melayu Melaka misalnya, jatawan Temenggung serta Laksamana diwujudkan dan istana akan mencari orang yang terbaik di antara yang terbaik.

Temenggung berfungsi sebagai ketua protokol istana, ketua polis dan penjara serta hakim darat manakala Laksamana ditugaskan menjadi pengawal peribadi sultan serta ketua angkatan laut.

Di posisi inilah Hang Tuah bergelar Laksamana dan berbaiah kepada sultan serta istana untuk menjaga keselamatan agama, bangsa dan tanah air.

Maka tidak hairanlah mengapa pada zaman itu hampir keseluruhan anak-anak muda Melayu akan didedahkan dengan dunia persilatan seawal usia empat tahun demi memupuk minat dan menjalin jati diri.

Apabila sudah matang dan biar pun baru berusia belasan tahun, ilmu persilatan yang dipelajari sejak kecil itu menjadi sebati dan lalu diangkat sebagai pesilat terhandal dan bakatnya dikagumi ramai.

Istana pula pada masa itu cukup mesra rakyat dan mengalu-alukan rakyatnya untuk mempamerkan kehebatan seni mempertahankan diri dan mana-mana yang jaguh akan dipanggil berkhidmat dengan istana.

Di mana buktinya? Lihat sahaja filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Boleh dikatakan sangat banyak filem yang dihasilkan Allahyarham menggambarkan sifat keterbukaan istana dengan masyarakat.

Dalam filem Nujum Pak Belalang, rakyat siap berkampung di halaman istana menunggu keputusan peraduan teka-teki dan manakala dalam Laksamana Do Re Mi, peraduan diadakan untuk mencari pesilat dalam kalangan rakyat.

Itu belum dikaitkan dengan penglibatan antara hero sejarah Melayu, Datuk Laksamana Hang Tuah bersama rakan-rakannya, Hang jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Memang boleh dikatakan baik hubungan rakyat dengan istana atau pun hubungan istana dengan para pendekar memang cukup akrab sehinggalah pembelotan dan pengkhianatan dalaman berlaku.

Pendekar mula dinafikan hak, dibuang dari sistem istana, campur tangan daripada barat kononnya mereka membawa kemodenan duniawi sementara yang tidak harus ditolak dan kini ikatan itu berakhir.

Menjengah masuk ke tahun 2022, syukurlah tanah air tercinta ini masih ada pendekarnya, masih ada pesilat handal yang memelihara ilmu silat biar pun generasi sezaman lebih asyik melayan Avengers.

Semoga sistem istana moden seluruh negeri-negeri dalam Tanah Melayu hari ini melihat akan kepentingan istana memiliki pesilat yang terus berbaiah dengan istana seperti suatu masa dahulu.

Jika berlaku serangan daripada kelompok anti-monarki, pendukung fahaman liberal yang menolak sistem beraja, istana boleh terus kerahkan pendekar ini untuk mencari dalang yang mencemarkan insitusi diraja misalnya.

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button