Agama

Perlu Ke Pelihara Masjid Dari Tahun 1910 Ini? Sudahlah Reput & Siapa Nak Belajar Agama?

Siapa lagi yang punya kuasa untuk mengangkat nilai-nilai sejarah di kawasan sendiri? Sudah tentulah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana kumpulan ini dilantik menerusi undian rakyat.

Namun setelah pengundian dibuat dan jawatan sudah diberikan, apakah ADUN setempat melaksanakan tugasnya dengan baik dan mengenal pasti kekuatan kawasan yang dikawal selianya?

Baru-baru ini Felo Penyelidik Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin membuat kajian sejarah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dalam kajiannya itu, beliau menemui kewujudan satu bangunan yang diberi nama Masjid Pelangai dan masjid ini dibangunkan pada tahun 1910.

Rosli turut mendedahkan bangunan masjid tersebut tinggal 45 peratus masih dalam keadaan baik termasuk lantai manakala atap, dinding serta mimbar kebanyakannya sudah rosak.

BACA YANG BERKAIT: Pusat Penyebaran Ilmu Terawal Sejak 1910, Masjid Pelangai Di Kuala Pilah ‘Terbuang Waktu’!

Dalam erti pengiraan lain, masuk sahaja tahun 2022, usia Masjid Pelangai itu sudah berusia lebih 100 tahun namun melihat keadaanya tersendiri dalam kawasan orang Melayu, sungguh menyedihkan.

Ketika penulisan ini dibuat, teringat pula pada bangunan lama di Bandar Hilir, Melaka. Masih tersergam dan terpulihara walaupun usianya lebih lama daripada Masjid Pelangai ini.

Dijaga elok apabila ia berada dalam kawasan bukan Melayu dan mengapa bukan Melayu menjaga warisan mereka sekukuh molek namun apabila sampai kepada waris tuan tanah, ia bagaikan musnah.

Setelah menjalankan beberapa risikan, penulis mendapati Masjid Pelangai yang bersejarah itu terletak dalam kawasan ADUN Juaseh, Datuk Ismail Lasim.

Meskipun ada sumber yang menyatakan kawasan masjid itu sudah diwakafkan, sekali pihak yang masih hidup mengabaikan fungsi masjid tersebut, terputuslah pahala pemberi wakaf terdahulu.

Ketahuilah bahawa pahala pemberi wakaf akan terus mengalir selagi mana masjid yang diwakafkan itu boleh digunakan orang ramai untuk beribadah dan pelbagai aktiviti lain.

Namun melihat bangunan Masjid Pelangai yang penuh sejarah dalam tahun 2022, amat menyedihkan kerana tidak boleh digunakan lagi namun masih sempat untuk dipulihara.

Disebabkan kajian dan pendedahan sudah pun dibuat, diharapnya Ismail ambil maklum dan lakukan sesuatu dengan segera demi kepentingan sejarah tanah air.

Bayangkan Ismail gunakan kuasanya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim, apalah sangat kalau kerahkan ahli-ahli partinya bergotong-royong.

Tidak cukup dengan itu? Bukankah Ismail juga merupakan pengerusi bebas bukan eksekutif Boustead Plantations Bhd. Takkan sukar juga untuk memulihkan masjid yang penuh nilai sejarah ini.

Andai kata masjid ini berjaya dipulihkan, Kuala Pilah bukan hanya memiliki kawasan pelancongan baharu berteraskan sejarah, agama serta budaya.

Malah ekonomi masyarakat juga dapat dirancakkan dengan pengurusan yang efektif daripada pemimpin tempatan yang bijak dan berfikir jauh ke hadapan.

Penulis masih kagum dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang segera membaiki sebuah jambatan gantung usang di Sandakan yang tular kerana berbahaya kepada pengguna.

Bung gunakan kuasanya mengarahkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) perbaiki jambatan gantung usang itu dalam tempoh kurang 30 hari.

Kesannya, khidmat tular percuma mendatangkan gerak kerja yang efisien dan gerak kerja yang efisien menghasilkan manfaat kepada masyarakat setempat.

Kredit: Sulaiman Md Nazir, Ketua Aktivis Belia Cinta Sejarah

Nota: Tulisan di atas tidak menggambar pendirian Demi Malaiu sebaliknya ia dikongsi menerusi kiriman pembaca. Sekiranya ada ingin menulis sebarang perkara berkait dengan agama, bangsa serta tanah air, sila emel ke demimalaiu@gmail.com

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker