Budaya

Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu Tarikan Unik Di Bota, Perak!

Jika mahu mencari sebuah perkampungan Melayu klasik yang wujud pada zaman ini, rasanya tidak rugi jika berkunjung ke Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu.

Dengan perjalananan kira-kira 1 jam dari Bandaraya Ipoh, pengunjung akan menempuh perjalanan sekitar 49KM sebelum sampai ke kawasan perkampungan yang cukup menarik.

Kredit Foto: Ezany Roslan

Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu terletak dalam kawasan tanaman pokok kepala sawit dan dibangunkan bersempadan dengan sebatang sungai.

Menurut Yang DiPertuanya, Osman Abdul Rahman, kawasan seluas empat hektar itu digazet kerajaan negeri Perak sebagai lokasi pelancongan kebudayaan negeri.

Kredit Foto: Che Nur Alinar Mohamed

“Ia dibuka semenjak 1998 dan dalam perkampungan ini, pengunjung berpeluang menyaksikan ambience perkampungan Melayu lama secara nyata.

“Dalam masa sama, majoriti orang yang tinggal dalam kawasan perkampungan kadang-kala berbusana atau sekurang-kurangnya memakai tengkolok serta tanjak,” katanya.

Kredit Foto: Eddie Janggut

Osman Abdul Rahman yang juga dikenali sebagai Tok Kelana berkata demikian kepada Demi Malaiu sewaktu kunjungan dalam Majlis Silaturahim Nusantara dan Pameran Senjata Nusantara.

Dari segi suasana, Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu memiliki satu pintu gerbang yang memaparkan identiti dan jati dirinya tersendiri.

Kredit Foto: Norsiha Hj Hashim Siha

Di sebelah kanan terdapat pondok pendaftaran serta sebuah bangunan menyerupai balairong seni yang boleh memuatkan kira-kira 500 orang dalam satu masa.

Di sebelah kiri pula, tersedia sebuah surau kayu yang boleh memuatkan kira-kira 100 orang dalam satu masa dan membangkitkan nostalgia seperti dalam filem lama.

Kredit Foto: Rosli Din

Tidak jauh dari situ terdapat sebuah kandang pemeliharaan kambing serta kuda, padang untuk bermain kuda serta padang untuk aktiviti memanah.

Di hujung perkampungan pula, mengalirlah Sungai Perak yang menyaksikan pelbagai rentetan sejarah dan peristiwa daripada satu zaman kepada zaman yang lain.

Ujar Tok Kelana, perkampungan itu dikelola oleh Persatuan Budaya dan Kesenian Misa Melayu Perak sepenuhnya bersama bantuan sukarelawan.

Kredit Foto: Arm Muhammad

Mengulas lanjut tentang Majlis Silaturahim Nusantara dan Pameran Senjata Nusantara yang berlangsung baru-baru ini, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran keris yang pelbagai pada waktu siang.

Namun pada sebelah malam, persembahan Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak) dan pertunjukan silat yang dipersembahkan memukau para pengunjung.

“Perkampungan ini dibiayai sepenuhnya melalui jalan infaq ahli-ahli perkampungan secara mingguan iaitu sebanyak 30 peratus daripada hasil pendapatan masing-masing.

“Kalau dari segi aktiviti harian pada hari biasa, ia pengunjung boleh melihat bagaiman perkampungan Melayu asli serta latihan kesenian dan kebudayaan dijalankan,” katanya.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker