Sebelum ini pernah tular kenyataan seorang pemuda Melayu beragama Islam yang ‘bising’ tentang kos pengebumian orang Melayu Islam jika meninggal dunia.
Namun sebenarnya, ia bukanlah hanya tertumpu kepada orang-orang Melayu sahaja namun jika seseorang itu merupakan mualaf daripada kaum lain sekali pun, kosnya masih sederhana.
Berdasarkan sekeping gambar yang tular, terdapat empat elemen yang perlu dilaksanakan untuk pengebumian orang-orang Islam di Malaysia.
Antaranya kos set kain kafan lelaki atau perempuan (RM235 – RM255), penggalian tanah wakaf (RM250), upah mandi jenazah (RM120) dan papan tanah wakaf (RM100).
Dalam erti kata lain, kos untuk pengebumian seseorang umat Islam di Malaysia cuma sekitar RM705 bagi jenazah lelaki dan RM725 bagi jenazah wanita.
Namun jika menyertai khairat kematian yang disediakan oleh AJK masjid atau komuniti di sesebuah kawasan, peserta hanya perlu membayar RM60 untuk tempoh enam hingga 12 bulan.
Maka apabila berlaku kematian, tidaklah ahli keluarga si mati kelam-kabut sampai pening kepala bak pemuda Melayu Islam yang awal-awal tadi, kurang ilmu dan tidak bertanya, terus tularkan demi like, share dan retweet.
Sehubungan itu, disarankan untuk umat Islam di Malaysia tanpa mengira kaum Melayu, Cina, India, Bumiputera dan lain-lain, usahlah jadi kera sumbang dan cuba bercampur sikit dengan masyarakat.
Harga Keranda Untuk Beragama Hindu Puratanya Bernilai RM500
Bagi masyarakat India yang meninggal dunia dengan agama Hindu misalnya, kos untuk pembelian keranda sahaja bernilai RM500.
Menurut Malaysia Hindu Sangam, kos biasa untuk tujuan yang sama biasanya bernilai sekitar RM2,500 hingga RM2,800 tidak termasuk kos pengangkutan yang mencecah kira-kira RM500.
Pembakaran mayat di krematorium kendalian kerajaan pula melibatkan sekitar RM100 dan RM200.
Kos Cina Malaysia Mati Boleh Cecah RM58,888!
Dalam ada segelintir orang-orang kita yang tak pernah bercampur dan buat hal sendiri kalut soal kenapa nak mati pun kena sediakan kos pengebumian, lagi tragis kalau kenangkan nasib sahabat kita.
Majoriti orang Melayu atau umat Islam di Malaysia tidak pernah bertanya berapa pula kos kalau orang-orang Cina yang bukan beragama Islam mati di Malaysia.
Berdasarkan perkongsian Agensi 1818 yang terlibat dalam soal menguruskan pengebumian, orang-orang Cina di Malaysia tidak terkecuali membeli satu tanah khas hanya untuk mati.
Mengikut tawaran plot kubur jenis E di Taman Memorial Guang Quen yang berlokasi di Gelang Patah, Johor dengan keluasan 10 kaki X 13.5 kaki, harganya mencecah antara RM68,800 sehingga RM73,888.
Namun demikian, tawaran dibuka dengan diskaun RM20,000 menjadikan plot kubur di situ boleh dibeli pada harga RM53,888 hingga RM58,888.
Kalau dibuat kira-kira, kos kebumi orang Cina yang bukan beragama Islam boleh mencecah harga sebuah kereta model Perodua dan juga Proton namun inilah budaya mereka yang kita hormati.
Jangan Cepat Melenting & Tidak Bersyukur
Maka dengan itu, kepada orang-orang Melayu dan umat Islam tanpa mengira kaum di negara ini, usahlah cepat melenting apabila melihat sesuatu kira-kira yang berkait dengan kos untuk kerja-kerja pengebumian.
Dalam kita rasa mahal dan melampau, ada lagi yang lebih mahal daripada sangkaan kita dan telah Allah SWT berikan jiwa dan fikiran untuk kita menilai sebelum bercakap.
Syukurlah kita dilahirkan sebagai orang-orang Melayu yang azalinya beragama Islam dan Allah SWT membuka pintu hati umatnya dari kaum lain selain Melayu, kembali ke fitrah bersama Islam.
Sesungguhnya jadi Melayu dan Islam di Malaysia itu cukup indah dan mudah, janganlah cepat termakan dengan dakyah musuh-musuh Islam yang membuatkan kita juga cepat melenting tanpa usul periksa.
Belajar tentang Melayu dan Islam itu bukan sahaja cukup berakhir dengan subjek Pendidikan Islam atau Sejarah menerusi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) di universiti.
Perjalanan kita masih jauh dan ilmu yang kita miliki masih lagi cetek untuk menjadi seseorang hamba Allah SWT yang bagus, berkualiti dan ditunggu-tunggu ke alam abadi selepas dunia yang sementara ini.
Apa komen anda tentang perbezaan kos pengebumian di Malaysia ini? Kongsi dan tinggalkan di ruangan komen Demi Malaiu!