Sejarah

Perbezaan ‘Filem Berasaskan Inspirasi’ Serta ‘Dokumentari’ Dalam Industri Media

Keris Pusaka merupakan satu dokumentari terbitan RTM yang pernah mengangkat cerita Mat Kilau dan menemubual waris serta cucu Mat Kilau itu sendiri iaitu, Mohd. Alhamadi Abu Bakar.

Cerita Mat Kilau yang disampaikan dalam dokumentari ini adalah benar dan tepat kerana ia bukan karya seni yang boleh diolah secara kreatif bagi menceritakan kisah tokoh pahlawan tanah air.

Namun disebabkan ia dokumentari dan disiarkan di kaca TV, tidak ramai generasi hari ini menonton TV, jika ada pun ramai sudah beralih kepada Netlix, Viu dan WeTV misalnya.

Namun malangnya dalam saluran sedemikian, sebanyak mana pun program dokumentari mengenai kisah benar para pahlawan tanah air kita dibuat dan disiarkan, mereka tetap akan cakap tiada.

Mereka mengatakan begitu kerana menontonnya pun tidak dan itulah realiti bagi sebuah dokumentari yang dapat merakam bukti-bukti kisah sejarah tanpa mengubah fakta.

Apabila bercakap tentang filem yang hasilkan berinspirasikan kisah benar, hukum logiknya adalah terletak pada kekreatifan pengarah dan penulis skrip untuk menyampaikan jalan cerita.

Bayangkan jika dokumentari yang dibawa ke pawagam, tanya pada diri kita sendiri, adakah kita akan menontonnya? Mungkin ramai yang mengambil jalan untuk mendiamkan diri.

Perkataan Yang Membawa Maksud Berbeza

Namun apabila bercakap tentang filem dan kerja-kerja kreatif dan ‘berinspirasikan kisah benar’, andai kata fakta sejarahnya cuma 10 peratus yang benar dan lain-lain adalah olahan sutradara, bukan satu masalah.

Lainlah jika sang sutradara pada awal-awal filemnya dengan jelas menulis, ‘Filem ini adalah berdasarkan kisah benar’ namun jalan ceritanya langsung tidak sama, wajarlah ada pihak yang bersuara.

Inspirasi dari kisah benar membenarkan sutradara mengubah watak dan jalan cerita asalnya mesejnya sampai kepada para penonton kerana filem sebegini mencetuskan semangat luar biasa.

Andai kata ada sutradara membuat filem berinspirasikan kisah benar mengenai Perang Bisik, tokoh atau latar belakang yang terlibat jelas takkan terkait dengan sejarah yang sebenar.

Ia cuma akan memaparkan beberapa adegan yang seakan-akan sama seperti kisah benar lalu diinspirasikan kepada karya seni yang baharu mengikut selera penonton masa kini.

Apa-apa pun, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dengan jelas memaparkan perkataan diinspirasikan daripada kisah benar, bukannya berdasarkan kisah benar.

Perkataan diinspirasikan dan berdasarkan itu pun sudah membawa maksud yang cukup berbeza dan penting bagi orang-orang Melayu untuk memahami maksud di sebalik sesuatu perkataan itu.

Didakwa Kisah Inspirasi Dicerita Oleh Orang Yang Salah

Terdapat juga dakwaan cerita Mat Kilau itu biar pun dinspirasikan daripada kisah benar, ia diceritakan oleh orang yang salah dan bukannya keturunan asli waris Mat Kilau.

Apabila perkara ini terjadi, tiada mana-mana pihak pun boleh dipersalahkan kerana yang pertama adakah nama Mat Kilau itu didaftar sebagai satu jenama warisan keluarga?

Jika belum, maka bukan sahaja nama Mat Kilau, malah nama-nama seperti Tok Bahaman, Tok Gajah, Rentap, Dol Said, Mat Salleh haruslah warisnya bertanggungjawab.

Daftar hak cipta warisan keluarga dan isu negatif seperti wujudnya golongan yang suka menuntut kononnya mereka juga adalah pewaris boleh diselesaikan.

Jika ada mana-mana pihak yang mahu membuat filem atau kisah mengenai pahlawan tanah air ini, haruslah mendapat keizinan dan persetujuan ahli keluarga secara undang-undang.

Sama seperti jenama Keluang Man, bukannya boleh diterbitkan sesuka hati kerana ada pemegang IP yang perlu dihormati dan memegang hak cipta secara bertulis.

Biar pun telah ramai pihak cuma untuk menghasilkan filem Keluang Man sebelum ini, semuanya gagal sehingga Astro Shaw berjaya dalam rundingan.

Akhirnya, satu MoU di antara pemegang IP jenama Keluang Man dan Astro Shaw sebagai pihak yang mahu menerbitkan filem berjaya dicapai.

Baca Kisah Benar Dari Laporan Khas

Selain mengetahui kisah sebenar mengenai Mat Kilau misalnya hasil tontonan dokumentari, orang ramai juga bolehlah berkunjung ke Perpustakaan Awam Negeri Pahang.

Tujuannya, di sana dipercayai masih terdapat Laporan Jawatan Kuasa Menyiasat Muchul-nya Mat Kilau dan dalam laporan ini terdapat banyak kisah daripada orang-orang yang mengenali Mat Kilau.

Ada yang bercakap tentang Mat Kilau memiliki banyak nama seprti Mat Dahan, Mat Berahim dan nama-nama ini berbeza mengikut tempat yang pernah Mat Kilau bermaustatin.

Ada pengesahan daripada waris seorang askar Sikh, yang mana ketika askar Sikh itu berkhidmat di bawah kepimpinan British, belakang badannya ditoreh dengan keris sebagai tanda amaran.

Ada cerita mengenai Mat Kilau boleh berbaring di atas daun pisang, ada cerita mengenai Mat Berahim memberitahu bahawa Mat Kilau memakai namanya.

Dan ketika Mat Berahim bertanya satu soalan kepada Mat Kilau, jawapan itu menjelaskan bahawa lelaki itu sememangnya Mat Kilau dan mereka datang daripada satu seperguruan.

Lagi pun zaman dulu masa ada Facebook, Instagram atau TikTok, jika terdengar cerita lisan sekali pun, ia cuma akan sampai secara lisan dan boleh disahkan secara lisan.

Lainlah seperti zaman ini, kita yang berada di Kedah pun boleh sahkan muka kawan kita yang baru tiba dari Sarawak misalnya, setelah bertahun-tahun berkawan dalam Facebook!

Mahu mendapatkan kisah-kisah eksklusif terus ke Telegram anda? Sertai kami di Telegram Demi Malaiu!

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button