Bagaimana mungkin negara kita digagaskan untuk menjadi sekular sedangkan kuasa kedaulatan yang menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 bertarikh 5 Ogos ialah Raja-Raja Melayu.
Jika kita teliti dokumen sejarah dan perundangan di negara kita, termasuklah laporan Suruhanjaya Reid, kedaulatan Raja-Raja Melayu masih terpelihara dan diperkukuhkan dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.
Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedaulatan dan prinsipnya di Persekutuan Malaysia yang perlu ditafsirkan mengikut jurisprudens. Ramai yang terkeliru tentang istilah “sekular” yang disebut dalam Memorandum Perikatan kerana mereka hanya melihat dari sudut “linguistik” sahaja tanpa mengkaji keseluruhan peruntukan yang ada dalam Perlembagaan.
Demikian jawaban Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Pengasas Jurisprudens Watan yang berkhidmat di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkenaan persoalan adakah Malaysia sebuah negara sekular semenjak penubuhannya atau sebaliknya.
Jelas beliau, untuk memahami suatu perlembagaan, perlu dirujuk aspek penting iaitu sistemnya seperti dicadangkan oleh Sarjana Venter yang mana ia terdiri daripada sudut falsafah, doktrin dan prinsip yang terkandung dalam perlembagaan itu sendiri.
Begitu juga untuk mentafsirkan perlembagaan, ada pula kaedahnya seperti digariskan dalam kes Mahkamah Persekutuan Indira Gandi. Perlu dilihat pada peruntukan Perlembagaan itu sendiri serta rujukan kepada falsafah undang-undangnya, bahasa yang betul mengikut kefahaman tempatannya, dan konteks sejarah di negara itu.
Pentafsiran peruntukan Perlembagaan ada disiplinnya, istilah yang digugurkan atau tidak digunakan dalam Perlembagaan pastinya mempunyai sebab atau asas perundangan tertentu.
Kembali pula kepada kedaulatan raja-raja yang merupakan otoriti yang mengabsahkan perjanjian dengan British, sudut ini yang paling utama dalam falsafah undang-undang. Dalam terma rujukan Suruhanjaya Reid sendiri mensyaratkan penggubalan Perlembagaan Persekutuan yang perlu mengambil kira kedudukan kedaulatan Raja-Raja di setiap Negeri Melayu.
Jika dikaji undang-undang bertulis sebelum Hari Merdeka lagi, kedudukan Raja-Raja Melayu adalah sebagai pemegang amanah kedaulatan milik mutlak Allah SWT.
Kedudukan ini jelas disokong dalam laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 yang bersetuju kedaulatan Raja-Raja ditakrifkan mengikut adat Melayu.
Dengan berkedudukan sedemikian dan kuasa yang bersandar pada pegangan agama Islam yang membentuk Perlembagaan Persekutuan, Islam tidak boleh dipisahkan daripada aspek awamnya.
Justeru, Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan meliputi aspek awam yang terletak dalam bidangkuasa Persekutuan dan Islam daripada aspek peribadi yang kekal dalam bidang kuasa Negeri.
Isu sekular yang difahami semasa perbincangan antara wakil Kerajaan British yang mewakili Negeri Selat, dengan wakil Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah Kerajaan Melayu dan wakil Parti Perikatan adalah bertujuan untuk memasukkan peruntukan kebebasan asasi seperti terkandung dalam Perkara 5 hingga 13. Istilah sekular tersebut bukan untuk menolak kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Islam sebagai agama Negeri.
Oleh kerana kedaulatan raja-raja Melayu dan prinsipnya berlandaskan ajaran Islam maka patuh syariah merupakan prinsip kedaulatan Malaysia.
Kesimpulannya, bagi menjawab secara tuntas kenyataan tersasar Haris Ibrahim, aktivis politik dan pengasas gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) baru-baru ini, Malaysia bukanlah sebuah negara sekular sama ada sebelum atau selepas pembentukannya.
P.S.: Tahukah para pembaca sekelian bahawasanya istilah sekular tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang merupakan undang-undang tertinggi negara kita.