Isu Semasa

Pengarah Filem Mesti Bijak Dan Kreatif

Drama Kudeta menjadi kontroversi dan tular baru-baru ini di mana babak Dr Maszlee Malik, Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Pelajaran Malaysia yang sedang berjinak-jinak dengan dunia lakon layar itu dikecam ramai apabila melontarkan dialog yang berbaur lucah menyebut bahagian sulit watak yang dibawa oleh Vanidah Imran sehingga menyinggung perasaan ramai pihak terutamanya wanita.

Bagaimanapun, beliau telah tampil mohon maaf secara terbuka atas keterlanjuran dialog yang agak tidak enak didengar yang dilakukan demi memenuhi tuntutan pengarah dan skrip drama berkenaan.

Pensyarah filem, Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr. Zairul Anuar Md Dawam ketika ditanya mengenai isu tersebut samada perlukah dialog sedemikian untuk ditayangkan selain apa pengajaran yang terlalu penting apabila menggunakan dialog berunsur lucah untuk ditampilkan di layar bagi tontonan umum?

Dr. Zairul Anuar berkata, perlakuan, aksi dan dialog adalah elemen penting yang menggerakkan sesebuah cerita. Pengarah, penulis skrip mempunyai pelbagai cara untuk menggambarkan perlakuan aksi atau menyampaikan dialog.

Jelasnya, sesebuah filem atau drama yang baik tidak semestinya menggunakan dialog yang berunsur lucah. Ia jadi lebih baik sekiranya dilakukan dengan lebih berkias mengikut tata cara yang sesuai.

Menurutnya, banyak pilihan lain boleh dilakukan tanpa menghilangkan mesej yang hendak disampaikan.

Tambah beliau, inilah sebenarnya cabaran pembikin filem, mereka tidak dapat melihat konflik dari aspek positif. Apabila disebut konflik kebanyakan mereka akan melihat dari aspek negatif sehingga kadangkala tercetusnya perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai positif sesebuah masyarakat dan akhirnya menenggelamkan mesej positif yang hendak disampaikan.

Ditanya, apakah filem Pulau yang memaparkan aksi yang agak jauh dari rencah budaya Melayu dan resam masyarakat Malaysia amnya merupakan seni visual yang baik?

Beliau berkata, pengaruh tontonan filem-filem luar oleh seorang penulis skrip atau pengarah sering mempengaruhi hasil karya filem yang dihasilkan.

Namun, jika seseorang penulis skrip atau pengarah kreatif dan bijak dalam menyesuaikan idea filem luar yang mereka tonton dengan nilai budaya masyarakat tempatan, sudah pasti filem yang dihasilkan akan jadi lebih baik dan berbeza.

Bagaimanapun, ini tidak banyak dilakukan dalam filem-filem Malaysia. Sedangkan, kita sebenarnya mempunyai banyak bahan yang boleh dijadikan idea cerita dan jika kreatif filem yang dihasilkan pasti mempunyai rasa dan wajah budaya tempatan yang akan menjadi Unique Selling Proposition (USP) untuk membezakan filem kita dan seterusnya bersaing dengan filem luar,” katanya.

 

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker