Pencemaran Ilmu Berlaku Di Universiti, Kesucian Manhaj ASWJ Gagal Dipelihara!

Sebelum wujud sekolah kebangsaan, institut pengajian tinggi dan sebagainya, institusi madrasah dan pondoklah yang banyak membentuk akidah orang Melayu.
Sehubungan itu, sumbangan institusi ini termasuk para ulama turath harus dihargai kerana menerusinya, manhaj ahlus sunnah wal jamaah terpelihara.
Namun berbeza dengan situasi hari ini bermula selepas merdeka, perlahan-lahan kepentingan memahami Islam dari sudut akidah sengaja dihakis.
Bangsa Melayu didoktrin untuk menerima sistem pelajaran baharu dan antara fokusnya adalah hafal, ingat dan faham lalu dijawab dalam peperiksaan.
Setelah lulus dalam peperiksaan, seseorang itu akan pergi ke peringkat yang lebih tinggi namun tidak membawa kepentingan jati diri bersama.
Kesannya, ada yang cuba-cuba untuk belajar Islam menurut cara pemikiran dan akidah bukan cara orang Melayu, penghujungnya kucar-kacir.
Disebabkan segelintir bangsa tempatan yang membangun juga tiada jati diri, maka mudah untuk menerima sesuatu yang baharu asalkan nampak logik.
Hal ini demikian secara tidak langsung menjejaskan keperluan dan kepentingan untuk mengukuh fahaman akidah ahlus sunnah wal jamaah.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Abdullah Jalil, usaha para ilmuan akademik dalam menjaga kesucian dan ketulenan manhaj ahlus sunnah wal jamaah semakin pudar.
Masing-masing mungkin tidak bercakap tentang perkara ini kerana tiada dalam silibus pengajaran mereka atau mereka juga mungkin tidak mengetahui apa yang dimaksudkan dengan fahaman akidah ahlus sunnah wal jamaah.
Lebih menakutkan, pengetahuan para ilmuan mengenai jati diri dan akidah mengenai Islam sangat terbatas, sama seperti orang awam yang lain.
“Untuk mengatasi masalah sedia ada, pemerkasaan ilmu berlandaskan manhaj ahlus sunnah wal jamaah perlu dikuatkuasakan agar pencemaran ilmu tidak berlaku.
“Sekiranya dibiarkan, ia hanya membuka ruang kepada kerosakan akal fikiran dan akidah generasi pada masa akan datang,” katanya.