Agama

Pemimpin Yang Menyesal Di Akhirat

Beratnya tanggungjawab menjadi pemimpin atau menyandang sesuatu jawatan sedangkan ada manusia beranggapan ia satu penghormatan dan peluang keemasan.

Setiap pemimpin akan bertanggungjawab atas segala yang dilakukannya di atas dunia.

Di hari kiamat, ada pemimpin yang menyesal kerana tidak melakukan tugasnya dengan baik. Oleh itu, setiap pemimpin jangan memandang ringan dengan tanggungjawab yang digalas. Sebaliknya, jalankanlah tugas dengan sebaiknya.

Pemimpin juga tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Maka pemimpin tersebut perlu diberi nasihat dan teguran.

Di samping itu, menjadi pemimpin haruslah berlapang dada menerima teguran dan janganlah merasa hina kerana statusnya sebagai seorang pemimpin dan beranggapan mereka langsung tidak boleh ditegur.

Jauhilah, sifat zalim kerana sifat itu akan membawa masalah dan kesusahan di dunia dan lebih-lebih lagi di hari akhirat nanti.

Sesungguhnya, Allah SWT mencintai dan mengasihi pemimpin yang adil dan amanah.

Sifat adil itu nescaya akan membawa banyak kebaikan dalam sesebuah negara.

Rasulullah SAW sendiri pernah berpesan mengenai pemimpin dan kepimpinan dalam sekian banyak hadis yang diriwayatkan antaranya;

Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya kalian akan bersungguh-sungguh menginginkan jawatan, sedangkan jawatan itu akan menjadi sesalan pada hari Kiamat (jika tidak dijalankan dengan baik).” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Kemudian daripada Abu Dzar R.A;

“Saya berkata, ‘Wahai Rasulullah, mengapa tuan tidak mengangkat saya sebagai penjawat?’ Baginda menepuk bahu saya, kemudian bersabda, ‘Wahai Abu Dzarr, sesungguhnya kamu adalah seorang yang lemah (dalam pengurusan), sedangkan sesungguhnya ia (jawatan) merupakan suatu amanah, dan sesungguhnya ia adalah kehinaan dan penyesalan pada hari Kiamat, kecuali bagi sesiapa yang memangkunya dengan benar dan menunaikan kewajipannya pada jawatan tersebut. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Daripada Ma’qil bin Yasar R.A., beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seorang hamba yang diamanahkan oleh Allah ke atas sekumpulan manusia, lalu dia mati sedangkan dia melakukan penipuan terhadap mereka, melainkan Allah mengharamkan baginya syurga.”(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

“Tidaklah seorang ketua yang menguruskan urusan-urusan kaum Muslimin, kemudian dia tidak bersungguh-sungguh (dalam memberi layanan) dan tidak menasihati mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya akan ada dikalangan kamu yang bersungguh-sungguh gilakan kepimpinan sedangkan ia akan menjadi satu penyesalan di Hari Kiamat.”

(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Sedarlah, Manusia itu diberikan sukma(jiwa) dan dua jalan berbeza, satu sukma kefasikan dan satu sukma ketaqwaan. Merugilah bagi mereka yang mengotorinya dan beruntunglah bagi mereka yang mensucikannya.

Justeru, sebagai pemimpin pikullah amanah dan tanggungjawab ini sebaiknya, agar kamu menjadi manusia yang beruntung nantinya.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker