Adakah hanya orang Melayu dan Islam sahaja yang layak untuk menyandang jawatan pemimpin di negara ini?
Mengikut kepada perlembagaan, tiada syarat khusus bagi seseorang yang berhasrat untuk menjadi pemimpin bahkan perdana menteri sekalipun.
Tidak kira kaum mana sekalipun, apabila berada di negara ini dan memegang jawatan mana-mana parti politik.
Namun demikian, para pemimpin dan ahli-ahli parti politik di seluruh peringkat terutamanya wajib mempertahankan kedaulatan perlembagaan yakni ini termasuklah kesucian agama Islam dan perkara-perkara yang melibatkan hak-hak bumiputera dan orang Melayu sebagai penduduk peribumi di negara ini.
Ahli politik khasnya berjawatan di dalam parti-parti Melayu, bukan sahaja mereka wajib mempertahankan kepentingan Islam dan hak kepentingan orang Melayu, tetapi kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu juga wajib dipertahankan.
Wajib bagi mereka untuk melakukan sedemikian. Tetapi malangnya, apa yang kita lihat, kebanyakan ahli politik hari ini sebahagian daripada mereka rela untuk menjadi pak turut kepada kepimpinan di atas mereka di semua peringkat sehingga beberapa perkara menjadi isu besar.
Sepatutnya semua ahli politik lagi-lagi yang berjiwa Melayu atau parti politik dalam kalangan orang Melayu itu sendiri perlu memberanikan diri untuk mengatakan tidak kepada perkara-perkara yang bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang.
Hal ini kerana ini adalah sebahagian tanggungjawab besar mereka.
Apabila termaktub dalam Perlembagaan, itu semua menjadi peranan wakil rakyat tanpa mengira bangsa.
Namun demikian, ianya agak sukar untuk mengharapkan bangsa lain mempertahankan bangsa yang lain, kerana adalah lumrah bagi seseorang manusia itu akan mempertahankan kumpulan dan kelompoknya sendiri yang mempunyai persamaan dengan mereka.
Perkara ini memang diakui oleh pakar psikologi, Plous, telah mendapati bahawa manusia lebih berempati, lebih memilih untuk membantu dan lebih tertarik kepada orang lain yang mereka anggap serupa dan mempunyai ciri-ciri yang sama dengan mereka.
Kerana ini juga, ada banyak isu yang timbul terutamanya hinaan kepada Raja-Raja, menganggu hak keistimewaan orang Melayu, dan kesucian Islam kerana bukan semua orang dapat mengaitkan perkara ini dengan mereka.
Tambahan pula, ahli politik Melayu pula tidak menunjukkan ciri-ciri yang mereka betul-betul memperjuangkan perkara-perkara ini, apatah lagi yang bukan Melayu.
Untuk menyenangkan mereka, masing-masing membiarkan NGO yang membuat kerja.
NGO-NGO ini memanglah menawarkan diri kerana ada rasa tanggungjawab untuk mempertahankan semua perkara ini, tetapi sebenarnya peranan yang paling penting ialah ahli politik itu sendiri.
Pemimpin beginilah yang kita perlukan dalam negara kita yang banyak mempertahankan kepentingan Islam yang termasuk dalam Perlembagaan.
Begitu juga dengan ahli-ahli politik di bawah, kita hendak lihat berapa ramai yang sanggup meletakkan jawatan tentang isu Melayu, Islam dan ekonomi.
Exco dan MP, perlu mengugut sahaja. Jika tidak mengubah keputusan dalam masa sebulan, maka mereka akan menjadi bebas.
Ugut demi kepentingan Melayu dan Islam. Tidak ada seorang pun yang begitu sekarang. Jadi, soalan tentang apa tugas ahli-ahli politik ini.
Tugas mereka memang wajib mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.
Isu tentang Raja-Raja Melayu ini bukan sedikit, tetapi sudah sampai tahap ada yang mengugut hendak menghilangkan Raja-Raja dan menjadikan negara ini Republik.
Di mana suara-suara pemimpin Melayu yang begitu lantang menyentuh tentang isu ini malah ada sesetengahnya yang menyokong, yang biadap yang ditahan di Dang Wangi semuanya pemimpin politik Melayu dan bukan Melayu.
Mereka berkumpul ramai-ramai di luar balai polis mempertahankan orang yang menghina Raja-Raja.
Kita berharap ada tindakan yang drastik akan diambil supaya pemimpin-pemimpin ini akur kepada tuntutan Melayu. Sebenarnya, kita boleh menjadi penyebab mereka cakna akan isu-isu ini.
Kesimpulannya, walaupun tiada syarat khas untuk menyandang jawatan sebagai pemimpin, ahli politik mahupun perdana menteri, namun bakal-bakal pemimpin ini mestilah ‘beraku janji’ untuk menjaga kesucian agama Islam dan hak-hak bumiputera dan Melayu.
MISI CAPAI 100,000 LIKE SEBELUM 31 DISEMBER 2022
Anda memiliki tulisan mengenai Melayu yang ingin dikongsikan? Hantar di sini.
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!