Agama

Pembaziran Dalam Bulan Puasa

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Di bulan yang mulia ini kita menahan lapar dan dahaga serta meningkatkan ibadah kita lebih dari bulan-bulan selainnya. Namun menyedihkan kerana ada di antara kita yang secara tidak sedar sudah melakukan ‘dosa’ ketika bulan Ramadhan ini.

Menurut Sinar Harian pada 9 April 2023, peniaga bazar Ramadan di Selangor membuang makanan sekitar 1,326.06 tan makanan yang tak habis dijual dalam tempoh 18 hari berpuasa. Bayangkan jumlah ini hanya di Selangor sahaja. Berat itu bersamaan dengan berat 195 ekor gajah dewasa. Secara purata, sebanyak 73.67 tan sisa makanan dibuang setiap hari sepanjang tempoh 18 hari tersebut.

Di dalam Al-Quran, Surah Al-Israa’ ayat 26-27 berbunyi:

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah Engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Di dalam kitab tafsir Al-Tahrir Wa Al-Tanwir mendefinisikan pembaziran adalah mengeluarkan harta lebih dari kadar keperluan. Terdapat 2 bentuk pembaziran iaitu apabila menggunakan harta untuk perkara yang haram dan juga menggunakan harta pada perkara yang halal namun lebih dari kadar keperluan diri dan keluarganya.

Ayat ‘membazir amalan syaitan’ sudah kita dengar dari kecil lagi. Malah di iklan televisyen juga pernah menyebut ‘sebutir nasi ibarat setitik peluh petani’. Ini semua kata-kata untuk kita terapkan kepada anak kecil untuk elakkan pembaziran. Kita tahu pembaziran untuk tidak elok tapi bila tiba waktu bulan puasa, kita seolah-olah lupa.

Di bulan Ramadhan ini adalah bulan yang mulia, penuh keberkatan, kerahmatan, maghfirah dan pengampunan. Dikatakan dalam bulan ini pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan telah dibelenggu dan pintu syurga terbuka. Godaan syaitan boleh dikatakan berkurangan atau mungkin tiada di bulan Ramadhan ini. Sepatutnya kita jadi lebih sabar dan tidak mengikut nafsu.

Selain dari pembaziran makanan, pembaziran wang ringgit juga sering berlaku di kalangan kita. Di hotel-hotel serta pelbagai restoran seluruh menyediakan ‘buffet’ Ramadhan dengan harga yang kadangkala tidak masuk akal. Satu individu boleh dikenakan sehingga ratusan ringgit untuk menikmati ‘buffet’ di hotel-hotel terkemuka negara. Betul, siapa yang mampu boleh saja pergi tapi semua ini seolah-olah menafikan sebab utama kenapa umat Islam berpuasa. 

Contoh terbaik waktu sekarang adalah melihat umat Islam di Palestin. Mereka masih lagi berpuasa walaupun belum tentu mereka ada makanan untuk berbuka. Sepatutnya kita menghayati dan mengambil iktibar tentang golongan yang kurang berkemampuan. Pada bulan Ramadhan ini tidak kira siapa pun anda; seorang raja, pemimpin negara, orang kaya-raya atau golongan miskin, asalkan anda Muslim anda harus menahan dari makan dan minum. Oleh sebab itu walaupun seumur hidup anda tak pernah tak cukup makan, di bulan puasa ini anda dapat merasai bagaimana saudara-saudara anda yang kurang bernasib baik menjalani kehidupan mereka.

Baca juga>> Evolusi Kegemilangan Kedah Tua Bermula Pada 800 Tahun Sebelum Masihi

Antara langkah yang baik untuk mengelakkan pembaziran makanan di bulan Ramadhan adalah membeli mengikut kadar kemampuan kita untuk makan. Para peniaga juga harus tahu jumlah makanan yang laku dijual supaya tiada lebihan makanan. Janganlah pula dek kerana tidak mahu membazir, makanan semalam dijual semula hari ini.

Selain itu, anda juga boleh bersedekah. Kalau kita terasa sudah terbeli banyak makanan apabila balik dari bazar, kita boleh bersedekah makanan tadi pada yang lain seperti jiran tetangga. Tambahan lagi ganjaran pahala yang besar buat sesiapa yang bersedekah memberi makanan pada orang yang berpuasa.

Baginda SAW juga pernah bersabda:

“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.” (HR At-Tirmidzi).

Semoga dengan ini kita menghayati semula sebab-sebab umat Islam diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan. Kesimpulannya bersederhanalah dalam apa pun perkara. Semoga di bulan Ramadhan ini kita semua mendapat keberkatannya.

Menarik: Ramadhan dan Pembaziran

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker