EkonomiSejarah

Pelabuhan-Pelabuhan Kerajaan Melayu di Alam Melayu

Fungsi sebuah pelabuhan amat penting bagi sebuah kerajaan. Tambahan lagi kebanyakan sebuah kerajaan itu bermula dari penempatan kecil di tepi laut atau sungai dan berkembang menjadi pelabuhan yang pesat. Selain menjadi tempat perdagangan, pelabuhan juga memainkan peranan dalam pembangunan seperti menjadi hub pengangkutan, pusat kebudayaan serta pusat inovasi dan komunikasi bagi penduduk sekitar dan orang luar. 

Jadi tidak hairanlah jika kayu pengukur sebuah kerajaan tersebut boleh dinilaikan dari pelabuhannya. Nusantara atau Alam Melayu bukan saja tertakluk kepada Malaysia pada masa kini tetapi turut juga termasuk sebahagian Asia Tenggara di mana terdapat kelompok orang Melayu yang tinggal di tempat itu. 

 

Kerajaan Champa

Kerajaan Champa, Chiêm Thành atau Cepa adalah sebuah kerajaan yang terletak di kawasan tengah dan selatan Vietnam moden sekitar tahun abad ke-2 (192M) hingga 1832. Masyarakat di kerajaan ini adalah terdiri dari bangsa Cam. Orang Cam ini adalah kelompok etnik Austronesia iaitu Melayu Proto yang wujud di Asia Tenggara. Kerajaan ini telah diasaskan oleh Chu Lien. Raja-raja Champa menggunakan gelaran Rajadhiraja. Para pembesar membantu kerajaan dalam tanggungjawab mengutip cukai, menjaga keamanan dan mempertahankan keselamatan. Champa boleh dibahagikan kepada 5 wilayah iaitu Indrapura, Amaravati, Vijaya, Kauthara dan Panduranga. Pelabuhan terkenal di kerajaan ini adalah Inderapura yang itu ibu kota bagi Champa. Selain itu terdapat pelabuhan lain iaitu Turan, Kam ran, Sri Banoy dan Maliti. Antara barang dagangan Champa adalah gaharu, gading gajah, emas, perak dan beras.

Baca juga>> Tujuh Wali Tanah Melayu: Siapakah Mereka?

 

Kerajaan Funan

Kerajaan ini merupakan kerajaan rumpun Melayu yang terletak di Sungai Mekong. Wujud di sekitar abad pertama Masihi dan telah diasaskan oleh seorang Brahmin bernama Kaundinya. Beliau berkahwin dengan Soma, pemerintah wanita Sungai Mekong dan terbentuklah kerajaan Funan. Lembah Sungai Mekong menjadi lokasi awal penubuhan Kerajaan Funan menjadikan kerajaan ini juga merupakan sebuah pelabuhan. Ibu kota Funan pula terletak di Vjadhapura atau T’o-Mou yang bererti ‘Kota Pemburu’. Nama Funan diambil dari perkataan Cina Fu bermaksud sokong dan Nan bermaksud Selatan. Maknanya adalah memberi sokongan kepada Dinasti Wu (sokong selatan). Kerajaan Funan mempunyai hubungan luar seperti dengan China dan India. Antara sumber utama Funan adalah perdagangan. Antara barang dagangan ialah gaharu, kayu cendana, kapur barus dan damar. Pelabuhan mereka juga digunakan untuk penyebaran agama Hindu dengan berhubung dengan India untuk perdagangan dan agama. Pada abad ke-3, Funan menjadi pelabuhan yang penting dalam Alam Melayu. Pelabuhan Oc Eo adalah pelabuhan utama Funan di mana terdapat banyak pedagang luar seperti dari China, India, Parsi dan Arab bertandang di sini.

 

Kerajaan Kedah Tua

Kedah Tua diasaskan pada abad ke-5 Masihi namun beberapa penemuan di Lembah Bujang dan Sungai Batu telah menunjukkan tamadun ini bermula dari zaman pra sejarah lagi iaitu pada tahun 788 sebelum Masihi. Tamadun Sungai Batu juga dikatakan tamadun tertua di Asia Tenggara. Kerajaan ini yang terletak di pesisiran barat laut Semenanjung Tanah Melayu menjadi pusat perdagangan yang penting dalam jalur perdagangan antara China, India, dan Arab. Pelabuhan seperti Kuala Muda dan Lembah Bujang menjadi pusat perdagangan rempah-ratus, logam dan barang-barang mewah dari Asia Tenggara. Gunung Jerai menjadi penunjuk arah bagi para pedagang luar yang ingin singgah di pelabuhan Lembah Bujang atau Sungai Mas. Ia juga menjadi pusat pertukaran barang, tempat persinggahan dan tempat membaiki kapal bagi pedagang luar seperti Arab, India, Sri Lanka, Parsi dan Eropah sebelum melanjutkan perjalanan ke Timur. Selain itu, pelabuhan ini juga menjadi titik tumpuan pelbagai barang tempatan yang dikumpulkan oleh penduduk setempat, termasuk bijih timah, emas, beras, lada hitam, gading, damar, rotan, tanduk, dan lain-lain. Meskipun terletak di wilayah pesisiran pantai, Kedah Tua juga terkenal sebagai negeri pengeluar padi yang terkemuka kerana memiliki tanah yang subur dan luas.

Kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara atau Alam Melayu berkembang luas terutama dalam aktiviti perdagangan kerana lokasi strategiknya yang terletak di sebelah sungai atau laut. Ditambah lagi orang Melayu juga terkenal sebagai pelaut terkenal yang mampu menciptakan kapal yang utuh serta mahir dalam berdagang. Jadi tidak hairanlah kenapa kebanyakan kerajaan ini diserang oleh kuasa luar yang mahukan keistimewaan yang dikecapi oleh kerajaan-kerajaan ini. 

Menarik: MELAYU DULU HADIR UJIBAKAT JADI LAKSAMANA,MELAYU SEKARANG JADI APA? ( PENDEKAR MAT ALI )

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker