Menurut Perlembagaan Persekutuan 1963 (sebelum ini ialah Perlembagaan Merdeka 1957) pada Perkara 3(1) menjelaskan bahawa agama Islam merupakan Agama Persekutuan. Dan dalam masa yang sama agama-agama lain masih bebas diamalkan oleh setiap penganutnya sebagaimana dalam Perkara 11(1).
Namun begitu, agama-agama lain dikenakan syarat bahawa penyebaran apa-apa kepercayaan atau agama bukan Islam tidak dibenarkan dilakukan di kalangan orang Islam sebagaimana dalam Perkara 11(4).
Malah, Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.
Jangan Tafsir Perkara 11 Perlembagaan Secara Berasingan
Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama tidak sepatutnya dipecahkan atau ditafsir secara berasingan. Bahkan, di antara satu perkara dengan perkara yang lain juga tidak seharusnya ada percanggahan, apatah lagi di dalam Perkara 11 Perlembagaan.
Semua pihak perlu membaca keseluruhan peruntukan kerana di dalam Perkara 11 terdapat 1, 2, 3 dan seterusnya 4. Dalam Perkara 11 (3)(a) menyatakan tiap-tiap kumpulan agama mempunyai hak untuk mentadbir agama sendiri, itu jelas.
Tetapi ia tidak boleh dibaca sebegitu sahaja. Kita kena baca Perkara 11 (1), iaitu setiap orang berhak untuk menganut dan mengamalkan agamanya tertakluk kepada untuk menyebar kepada orang bukan Islam dan tidak boleh sebar kepada orang Islam.
Umum mengetahui Perkara 11 (1) Perlembagaan Malaysia ada memperuntukkan bahawasanya setiap orang di Malaysia berhak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama.
Walau bagaimanapun, fasal 4 jelas melarang penyebaran agama-agama lain selain Islam dan secara tidak langsung ia memberi keistimewaan kepada Islam berbanding agama-agama lain.
Jadi usaha menyebarkan agama Islam tidak wajar dipersoalkan apatah lagi ia menepati peruntukan Perlembagaan dalam Perkara 3 (1) iaitu Islam adalah Agama Persekutuan.
Tiada Paksaan Dalam Islam
Konsep dakwah Islamiyah adalah satu ‘seruan’ untuk mendidik masyarakat dengan nilai-nilai Islam serta cara hidup Islam dan sama sekali tidak membenarkan wujudnya segala bentuk paksaan untuk mereka menerima Islam. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud; “Tiada paksaan dalam agama (Islam)”. Kebebasan beragama masih jelas terpelihara.
Hakikatnya, tindakan golongan liberal yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan hak asasi dengan mengutuk usaha penyebaran dakwah Islam kepada seluruh umat manusia di bumi Malaysia dilihat bercanggah dengan perlembagaan sama sekali.
Mereka inilah yang sepatutnya disiasat dan dikenakan tindakan serta merta kerana membuat kacau ganggu dan cuba menghuru-harakan kestabilan dan keamanan negara.
PDRM Wajar Siasat Propaganda Cetus Islamophobia
Kita harap PDRM bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat, dan masyarakat Islam mesti tampil mempertahankan Islam selain membuat laporan polis terhadap kebiadaban pihak berkenaan yang menjadi batu api cuba membakar api perkauman dan menyemai persepsi kebencian bagi menyubur Islamophobia dalam agenda propaganda mereka di Malaysia.
Umum perlu tahu, Islam merupakan agama yang mencakupi seluruh aspek kehidupan sehingga turut membincangkan dan mengiktiraf segala persoalan berkaitan bukan Muslim.
Tugas menyeru bukan Muslim kepada ajaran Islam ini telah dimulakan oleh Rasulullah SAW selaku perintis utama dan diteruskan oleh umat Islam sehingga kini.
Memandangkan, Malaysia merupakan negara yang menghimpunkan golongan bukan Muslim yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam satu komuniti.
Maka, strategi dakwah terhadap golongan ini perlu dipelbagaikan supaya seiring dengan perkembangan dunia pada masa kini. Hal ini kerana elemen yang perlu diberi perhatian bukan sahaja berkaitan perbezaan agama bahkan perbezaan kaum itu sendiri.
Inilah sebahagian cabaran-cabaran Muslim di Malaysia yang perlu diatasi oleh para pendakwah dalam usaha menyeru mereka kembali kepada Islam.
Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Surah Ali Imran (3): 104